NEGARA hebat seperti AS masih tidak mampu melawani arus pengaruh komunikasi alam maya yang digunakan sepenuhnya oleh Rusia untuk menabur berita berbentuk palsu dan fitnah terhadap saingan Donald J. Trump (belakang) iaitu Hillary Clinton (depan). GAMBAR HIASAN/ REUTERS

Tetapi apa yang paling dikhua­tiri berita palsu yang mempunyai maksud tersirat dan diolah sebegitu rupa sehingga sukar untuk menafikan kebenarannya. Berita sebegini lazimnya didalangi oleh pihak yang mempunyai kepakaran dan sumber untuk menyebar berita palsu demi memenuhi manfaat dan agenda pihak ketiga. Lebih menggerunkan lagi apabila pihak ketiga ini bukan rakyat Malaysia tetapi elemen dari negara asing yang memperalatkan senario penularan berita palsu demi ­melangsungkan agenda mereka.

Sebab itu dihujahkan pembentukan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu di negara ini adalah antara lain untuk mengekang penularan be­rita palsu ini diperguna oleh elemen asing atau setidak-tidaknya menyukarkan lagi proses itu.

Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Aza­lina Othman Said ­menegaskan jawatankuasa khas yang dimaksudkan itu bertanggungjawab mengkaji undang-undang ber­kaitan sebelum dibawa kepada pertimbangan Kabinet dan ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Bukan menjadi satu perkara asing bagi setiap negara menghadapi fenomena berita palsu dalam dunia komunikasi alam maya terutama sekali apa yang berlaku di media sosial. Tidak kira sama ada negara kuasa besar atau kecil, kesemua rakyat mereka terdedah kepada fenomena ini. Begitu juga sama ada negara tersebut mengamalkan sistem tadbir urus mengikut acuan demokrasi, sosialis atau komunis sekali pun, kesemua negara tersebut terdedah kepada bahaya berita palsu.

Bukan menjadi rahsia lagi wujud elemen campur tangan Rusia dalam pilihan raya pre­siden Amerika Syarikat (AS) 2016. Walaupun dinafikan oleh pentadbiran White House di bawah kepemimpinan Presiden Donald J. Trump, hakikatnya Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan juga Biro Si­asatan Persekutuan (FBI) mengesahkan kesahihan berita campur tangan Rusia.

Walaupun tiada bukti yang menjurus kemenangan Trump disebabkan oleh campur tangan Rusia tetapi terdapat kebimba­ngan pentadbiran Trump sedikit sebanyak dipengaruhi dengan kepercayaan Moscow telah membantu Trump.

Sebab itu juga ketika ini siasatan me­ngenai kaitan Trump dengan Moscow sedang giat dijalankan oleh Pendakwa Raya Robert Mueller.

Hakikatnya negara hebat seperti AS masih tidak mampu melawani arus pe­ngaruh komunikasi alam maya di mana Rusia telah menggunakan sepenuhnya kemudahan tersebut untuk menabur be­rita berbentuk palsu dan fitnah terhadap saingan Trump iaitu Hillary Clinton.

Begitu jua ketika pilihan raya pre­siden Peranchis Mei lepas menyaksikan juga modus operandi Rusia yang serupa digunakan untuk mencalar kredibiliti salah seorang calon pre­siden iaitu Emmanuel Macron yang berhaluan sederhana dan dalam masa sama memuji calon berhaluan kanan iaitu Marine Le Pen.

Sebab itu, tidak menghairankan Presiden Macron men­ca­dangkan perundangan digubal khusus untuk menangani penularan berita palsu kerana jika diambil iktibar yang melanda AS dan Perancis, demokrasi sebenarnya boleh dimanipulasi oleh pihak asing yang berkepenti­ngan.

Begitu juga dengan Britain di mana Perdana Menteri Theresa May telah mengumumkan penubuhan satu agensi khas menangani fenomena berita palsu yang bukan sahaja mampu menggugat demokrasi negara itu malah telah mengancam keselamatan awam di mana negara asing telah menyalurkan berita palsu mengenai Britain.

Memang benar rakyat yang berpengetahuan termasuk dari Malaysia, AS, Perancis dan juga Britain sepatutnya mampu membezakan mana berita sahih dan sebaliknya tetapi hakikatnya kumpulan yang mempunyai niat yang tidak baik adalah begitu licik melaksanakan operasi mereka yang sarat dengan maksud tersirat sehingga ia mempengaruhi keputusan seseorang tanpa ­disedari keputusan yang dibuat berlandaskan maklumat palsu.

Ketika mengulas fenomena penularan berita palsu di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengungkit cerita 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh dan bekalan elektrik terputus di pusat mengira undi. Walaupun pada ketika ini rakyat Malaysia menilai kedua-dua cerita itu sebagai lucu tetapi hakikatnya ketika mula cerita tersebut tersebar pada pilihan raya umum (PRU) 2013, ramai juga yang terpedaya dengan cerita sedemikian rupa.

Sudah agak pasti menjelang PRU-14 akan datang, bakal timbul cerita dan berita palsu dan yang lebih pasti lagi bentuk berita itu akan menjadi lebih tinggi nilai­nya dari segi kualiti manipulasinya berbanding dengan cerita 40,000 pengundi hantu Bangladesh. Bukan mustahil jika penularan berita palsu ini tidak dibendung atau menyukarkan lagi penularannya me­lalui kewujudan undang-undang khusus, maka pihak asing sudah pasti akan mengambil ­kesempatan seperti yang berlaku di AS dan Pe­rancis.

Penggunaan saluran komunikasi di alam maya tidak akan disekat atau dikekang melalui pengenalan undang-undang yang dicadangkan, tetapi setidak-tidaknya akan memudahkan lagi tugas pihak berkuasa memantau, menyekat dan seterusnya menghukum mereka yang menyalurkan berita palsu kerana jika tidak maka berita palsu akan menghancurkan sistem demokrasi Malaysia.