Oleh sebab kebanyakan kita mungkin pernah terlibat melakukan penyebaran berita palsu sama ada secara sengaja atau tidak. Maka ada antara kita tidak selesa dengan kewujudan Akta Antiberita Tidak Benar ini. Ahli politik pembangkang pula mengambil kesempatan ini untuk memomok orang ramai tentang kemungkinan mereka dihukum atau dipenjara apabila terlibat dalam aktiviti penyebaran atau perkongsian berita yang diterima.

Pengamal-pengamal berita media baru seperti portal, blog, Facebook dan sebagainya juga mula merasa beban dan memikul tanggungjawab untuk menapis dan mengawal diri dari terlibat dalam penyebaran berita palsu yang sudah menjadi kebiasaan dan amalan untuk menarik minat pembaca.

Sebenarnya Akta Antiberita Tidak Benar ini bukan sahaja diper­kenalkan di Malaysia. Namun begitu berita palsu disebarkan kononnya Malaysia adalah negara pertama yang meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar dengan tajuk, “Malaysia Votes for World’s First Anti-Fake News Legislation”. (Rujukan:https://www.google.com.my/amp/variety.com/2018/digital/asia/malaysia-votes-for-anti-fake-news-legislation-1202742220/amp/ )

Hakikatnya Jerman adalah negara pertama meluluskan undang-undang mengawal berita palsu. Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menjadi mangsa berita palsu, juga mencadangkan undang-undang untuk mengawal propaganda dan berita palsu. Negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Singapura juga mencadangkan langkah-langkah mengawal berita palsu.

Mengapakah kita perlu mengambil langkah dan tindakan mengawal penyebaran berita palsu? Pertamanya kita perlu menjaga kesahihan fakta dan kepakaran di mana fakta-fakta palsu telah diviralkan dan disebarkan sehingga ramai menerima fakta yang palsu sebagai benar dan di sebaliknya yang benar sebagai palsu. Kerap kalinya berita palsu diberi kesahihan dengan penyebaran yang lebih kerap. Biasanya berita palsu ditulis dengan cara sensasi dan senang diterima serta menyakinkan.

Sebaliknya berita yang jitu dan berdasarkan fakta yang benar memerlukan penjelasan dan pembentangan secara ilmiah yang mungkin tidak menarik hati pembaca atau memerlukan pemahaman dan penghadaman yang lebih mendalam.

Memupuk

Maka berita palsu dapat membantut dan mengancam penyebaran berita benar dan ilmiah dan pendapat serta hujah pakar-pakar mungkin dipinggirkan apabila berita palsu diviral dan diketengahkan serta diterima sebagai benar.

Keduanya, berita palsu sudah dan telah digunakan oleh politikus untuk memprovokasi emosi rakyat terhadap pihak kerajaan berani mencabar institusi. Misalannya tugas dan kewibawaan institusi seperti polis, SPRM, Jabatan Kehakiman dan sebagainya telah kerap dan sering kali digunakan pembangkang sebagai strategi memupuk perasaan benci dan hilang keyakinan terhadap institusi.

Apabila mereka sudah berjaya membakar emosi dan imaginasi pembaca, akhirnya pembangkang dengan berani membuat dan mereka cerita-cerita palsu terhadap Perdana Menteri dan keluarga. Berita-berita palsu ini amat berkesan dalam menimbulkan perasaan benci dan api emosi. Kejayaan pembangkang memprovokasi pemikiran secara emosi atau emotional thinking berbanding dengan pemikiran rasional atau rational thinking adalah satu trend yang tidak sihat dan boleh mengancam ketenteraman, dan keselamatan negara.

Berita palsu turut digunakan sebagai propaganda dan senjata dalam menjatuhkan beberapa negeri dan pemerintah di benua Arab melalui Revolusi Arab Springs. Akhirnya pengganti mereka adalah boneka dalam genggaman kuasa-kuasa besar.

Misalannya apabila perisikan Amerika Syarikat (AS) menyebar berita palsu bahawa Iran di bawah pemerintahan Saddam Hussein memiliki weapon of mass destruction ataupun senjata pemusnahan secara besar-besaran, dunia terpengaruh dengan propaganda AS yang semata-mata ingin menundukkan Saddam Hussein yang berani mencabar negara Uncle Sam itu.

Akhirnya apabila keadaan sebenar diketahui, sudah tiada masa untuk menyesal kerana nasi sudah menjadi bubur dan arang sudah menjadi abu. Apabila berita palsu boleh direka dan dapat disebar dengan begitu senang sekali, keselamatan negara kita akan tergugat. Lebih-lebih lagi apabila musuh-musuh negara menangguk di air keruh.

Gerak-geri pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang sanggup menjadi alat media asing semata-mata mahu merampas kuasa adalah membimbangkan. Inilah ancaman sebenarnya berita palsu pada negara.

Mahu tidak mahu, kita perlu mempertahankan kedaulatan undang-undang dan meletakkan kepercayaan kita pada sistem kehakiman untuk menentukan fakta sahih, yang mana palsu dan yang mana tidak.

Sudah tentu Akta Anti Berita Palsu akan menjadi perisai untuk mempertahankan solidariti, kedaulatan dan kemerdekaan negara kita Malaysia.

n Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Pusat MCA.