Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merupakan salah seorang ahli politik yang gemar menyebut perkataan tersebut.

Berita palsu bukan sahaja men­jejaskan sistem demokrasi malah turut menggugat kebebasan bersuara selain mencetuskan ketegangan antara negara-negara di dunia.

Di Perancis dan United Kingdom (UK) berita palsu menjadi ancaman semasa pilihan raya negara yang diadakan pada tahun lalu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Bri­tain, Theresa May mendakwa, pi­li­han raya di negara mereka telah diselubungi dengan berita palsu yang mempengaruhi pelbagai pihak.

Kedua-dua pemimpin tersebut mendakwa negara seteru mereka terutama Rusia terlibat dalam penyebaran berita palsu sehingga menjejaskan proses pilihan raya berkenaan.

Macron merupakan pemimpin pertama menegaskan akan me­nutup laman sesawang dan media sosial yang disyaki mengganggu pilihan raya atas alasan mereka tidak boleh dibenarkan mempengaruhi pendapat umum.

Perancis juga bersedia menggubah undang-undang sedia ada demi melindungi demokrasi se­­lain membolehkan ahli politik membuat permohonan di mah­kamah untuk menutup laman sesawang itu dalam internet.

May pula menubuhkan unit khas dikenali sebagai Unit Komunikasi Keselamatan Negara bagi mengatasi gelombang propaganda anti-Barat.

Kesatuan Eropah (EU) juga telah melancarkan jawatankuasa bertindak untuk merangka undang-undang bagi memerangi berita palsu.

Di Filipina pula, kerajaan pim­pinan Presiden Rodrigo Duterte akan memperkenalkan undang-undang baharu kepada pertubuhan media bagi menghalang penyebaran berita palsu.

Ini bertentangan dengan ke­nyataan Duterte pada Oktober tahun lalu yang tidak akan meluluskan mana-mana rang undang-undang menentang berita palsu atas alasan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya beliau mahu meningkatkan jumlah denda terhadap kesalahan menyebar berita sedemikian.

Hakikatnya tidak semua pihak bersetuju dengan tindakan kerajaan masing-ma­sing mengenakan se­katan terhadap pertubuhan media dengan alasan meng­ancam kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Malah banyak pi­hak menuding jari kepada pemimpin itu sendiri yang menyebarkan berita palsu, sebagai contoh pertikaian antara Duterte dengan Rappler yang di­dakwa sebagai pusat penyeba­ran berita palsu.

Semasa persidangan panel berhubung peningkatan penularan berita palsu di Filipina, wartawan veteran Ellen Tordesillas mendakwa, Duterte adalah sumber nombor satu berita palsu.

Trump merupakan ahli politik yang lantang mengkritik berita palsu namun beliau turut dituduh sebagai penipu untuk mempe­ngaruhi pengundi.

Di Perancis pula walaupun ra­mai wartawan bersetuju de­ngan Macron berhubung pertubuhan media RT yang disyaki mene­rima dana dari Kremlin namun undang-undang baharu itu akan menjejaskan keberkesanan dalam memerangi penyebaran maklumat salah.

Akhbar utama Le Monde melaporkan, undang-undang berhubung isu penting seperti kebebasan akhbar adalah berbahaya malah ada pihak mene­gaskan walaupun undang-undang itu bertujuan baik namun mengundang bahaya dalam EU ketika pergerakan kumpulan berhaluan kanan dan kumpulan nativisme semakin aktif.

Di UK pula, Timbalan Ketua parti Buruh, Tom Watson berkata, jika May mahu me­merangi penyebaran maklumat salah maka beliau perlu me­mulakan­nya dari dalam pejabatnya sendiri.