Tradisi ini diamalkan turun-temurun dan lazimnya permulaan mengaji pada usia kanak-kanak dalam lingkungan lima hingga tujuh tahun. Guru-gurunya pula terdiri daripada tok-tok lebai lepasan pengajian pondok. Selain tok-tok lebai ada juga ustazah yang mengajar.

Tempoh mengaji tiada had. Selagi tidak khatam al-Quran 30 juzuk selagi itulah anak-anak ini akan terus belajar mengaji. Selama tempoh pengajian, anak-anak itu diajar tentang huruf, sifat huruf, tajwid dan pelbagai ilmu lain agar mereka mampu membaca al-Quran dengan baik.

Berkat daripada amalan tersebut, sebahagian daripada kita boleh membaca al-Quran secara bertartil. Kini tradisi mengaji secara tradisional masih lagi diamalkan tetapi diajar dalam bentuk lebih moden apabila terdapat sistem-sistem baharu mula diperkenalkan.

Tujuannya untuk memastikan anak-anak mampu menguasai bacaan al-Quran dalam tempoh yang singkat. Inilah senario secara ringkas jika dikaitkan amalan dan tradisi mengaji al-Quran dengan masyarakat Islam negara ini.

Namun dalam konteks ilmu al-Quran secara keseluruhan terdapat satu kekurangan yang begitu ketara iaitu kegagalan masyarakat Islam kita memahami dan menghayati kitab suci ini melalui tadabbur al-Quran. Dengan kata lain ilmu al-Quran di Malaysia lebih kepada menguasai bacaan.

Sedangkan ilmu al-Quran ini terlalu luas dan antara terpenting adalah soal pemahaman inti patinya agar ayat-ayat Allah SWT ini mampu menjadi panduan kepada kehidupan umat Islam seharian. Di dalamnya terdapat pelbagai perkara antaranya manual kehidupan manusia daripada lahir ke bumi ini sehingga dipanggil menghadap Ilahi.

Juga nukilan kisah umat-umat terdahulu seperti kaum Nabi Nuh, kaum ‘Ad, kaum Thamud dan kaum Nabi Lut yang boleh dijadikan sebagai iktibar tentang bencana ditimpakan oleh Allah ke atas kaum yang ingkar.

Terdapat juga ayat-ayat Allah yang membicarakan tentang tuntutan bersifat amanah, jujur, berfikir tentang kejadian Allah, rajin dan bantu-membantu.

Tidak kurang juga ayat-ayat Allah yang melarang umat Islam menzalimi orang lain, bersifat sombong, khianat dan takbur. Hakikatnya, al-Quran yang merupakan mukjizat kurniaan Allah kepada Rasulullah SAW adalah satu panduan hidup yang wajib diikuti agar kita berjaya di dunia dan akhirat.

Atas kesedaran itulah sekretariat Gerakan #QuranHour mengorak langkah memulakan satu perubahan dalam usaha mengubah kerangka minda umat Islam di Malaysia agar mereka lebih memahami al-Quran melalui QTT (Quran, Tadabbur dan Tazakkur).

Menyedarkan

Gerakan #QuranHour itu dimulakan pada tahun 2015 di bawah inisiatif Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) bermatlamatkan untuk melahirkan Muslim berakhlak mulia hasil daripada nilai serta ibrah daripada al-Quran.

Usaha mulia tersebut tidak terhenti setakat itu sebaliknya diteruskan pada tahun berikutnya sehinggalah tahun ini dengan lebih dikenali atas nama World #QuranHour.

Pengasasnya, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini berkata, apa yang dilakukan oleh pihaknya sejak 2015 itu adalah semata-mata untuk menyedarkan umat Islam bahawa al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi lebih daripada itu.

Yang pasti katanya, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang di dalamnya terdapat khazanah ilmu tidak ternilai. Mahu tidak mahu beliau berkata, ilmu yang terdapat dalam al-Quran itu perlu digali dan kemudian dihadamkan agar segala perintah Allah yang disampaikan dapat memandu manusia ke arah jalan yang benar.

Selain itu katanya, al-Quran juga mampu berperanan sebagai perisai kepada umat Islam daripada perbuatan maksiat dan dosa.

“Percayalah jika kita memahami al-Quran, kita akan menjadi umat terbaik. Jika kita menjadi pemimpin, 
kita akan menjadi pemimpin yang jujur dan amanah. Jika sebagai pekerja, kita akan bekerja dengan rajin dan bertanggungjawab.

“Isunya sekarang sebahagian besar umat Islam kita tidak faham inti pati al-Quran. Mereka gagal menghayati al-Quran dengan sebaik-baiknya. Oleh sebab itu maka berlakulah perkara-perkara buruk seperti pemimpin yang rasuah, pekerja yang malas, masjid dibiarkan kotor dan bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Seperkara lagi katanya, al-Quran juga adalah rujukan terbaik untuk menyelesaikan 1,001 masalah umat iaitu daripada masalah rumah tangga hinggalah soal pemerintahan negara.

“Atas sebab itu untuk program #QuranHour tahun ini kita mahu umat Islam berinteraksi dengan al-Quran melalui kaedah baca, faham dan amal. Melalui kaedah baca, faham dan amal, kita yakin seseorang yang melakukannya mampu menjadikan nilai-nilai mulia daripada al-Quran membentuk jiwa berbudi dan penyayang sehingga menjadi cara hidup seharian setiap insan,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai sambutan program World #Quran Hour peringkat perdana pada tahun ini, Hussamuddin berkata, program tersebut akan diadakan pada 7 Jun ini bersamaan 22 Ramadan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual berangkat ke majlis tersebut sebagai tanda sokongan baginda terhadap program interaksi bersama al-Quran melalui kaedah baca, faham dan amal.

Acara kemuncaknya Hussamuddin berkata adalah program-program yang disusun antara pukul 12.00 tengah hari hingga 1 petang. Dalam slot tersebut, para peserta akan 
mengaji atau membaca surah al-Fatihah dan surah al-Baqarah (ayat 1-5).

Selepas mengaji kata beliau, para peserta akan berinteraksi dengan al-Quran melalui kaedah baca, tadabbur dan tazakkur. Melalui ketiga-tiga kaedah itu mereka akan mengupas intipati surah al-Hujurat yang sebahagiannya banyak membicarakan pembentukan umat berakhlak mulia.

Sementara itu dijangka 49 buah negara turut mengambil bahagian dalam program World #Quran Hour pada tarikh tersebut. Antara negara terlibat ialah Australia, Mesir, India, Rusia, Indonesia, Palestin, Thailand, Seri Lanka dan Brunei.