Taman awam terbaru di Kuantan ini yang dibuka pada tahun lalu menyajikan pemandangan indah Laut Cina Selatan pada waktu malam.

Kawasan yang terletak dekat muara Sungai Kuantan ini merupakan salah satu destinasi terbaru yang menarik untuk dikunjungi.

Menjelang detik 12 malam, kawasan taman awam itu menjadi sibuk dengan kehadiran orang ramai yang datang dari pelbagai tempat termasuklah dari luar negeri Pahang.

Orang ramai yang datang ke sini bukan sahaja boleh menikmati keindahan alam, malah boleh melihat kelibat bot-bot nelayan yang membawa hasil tangkapan ikan ke darat.

Di sini pelbagai aktiviti dijalankan termasuklah memancing, menangkap gambar, berbasikal dan sebagainya.

Malah di kawasan ini juga merupakan tempat kaki pancing melepaskan 'gian' kerana ia dikatakan lubuk pelbagai jenis ikan.

Bagi seorang pemancing, Mohd. Shahrulanuar Latif, 23, dia selalu datang ke sini bersama keluarganya untuk memancing.

"Di sini bukan sahaja boleh memancing tetapi juga kita dapat menikmati keindahan alam sambil menghirup udara segar laut.

"Malah kemudahan di sini juga amat sesuai untuk membawa seisi keluarga datang," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Tambahnya, kawasan ini juga merupakan tumpuan kaki pancing pada waktu malam kerana ia kawasan yang terang sekali gus memudahkan aktiviti memancing.

"Kawasan taman ini juga cantik dan sesuai kerana berada di kedudukan yang strategik iaitu di kawasan Kuala Sungai Kuantan," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Norizan Sabdin, 24, berkata, dia akan datang ke taman ini bersama rakan-rakan kerana suka melihat keindahan malam di sini.

"Memang cantik kawasan ini terutamanya pada waktu tengah malam kerana kita dapat lihat bot-bot nelayan pulang dan pergi ke laut.

"Kalau ketika itu, bulan terang lagilah cantik sebab kita boleh lihat sendiri kecantikan laut pada waktu malam," katanya.

Malah katanya, kemudahan asas di sini juga amat sesuai untuk membawa keluarga datang bersantai bersama-sama.