Beliau melontarkan satu soalan ini sahaja kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di kafetaria Ahli Parlimen kelmarin:

“Adakah anda nampak mana-mana parti yang mewakili hanya kaum India hari ini? “Tidakkan? PKR, apalagi DAP bukan...tetapi hanya MIC yang satu-satunya parti yang masih berteraskan masyarakat India.

“Maka berilah kami MIC dan Barisan Nasional (BN) peluang untuk kembali, mungkin bukan dalam tempoh singkat tetapi ruang masih terbuka dalam satu penggal ini, takkanlah Pakatan Harapan akan kembali sekali lagi kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti dengan ‘janji-janji baharu’ manifesto pula yang rakyat lihat kebanyakannya masih belum lagi tertunai hari ini,” kata Saravanan, 50, dalam temubual setengah jam itu.
 

UTUSAN: Apa khabar MIC hari ini?

 

SARAVANAN: Hari ini saya akui MIC kekurangan sokongan pengundi muda berbanding sebelumnya. MIC ibarat ‘parti golongan generasi tua’. Pengundi dari kalangan belia ini berhijrah ke parti lain walaupun ibu bapa mereka penyokong BN.

Namun, selepas pemilihan MIC Sabtu lalu (20 Oktober 2018), kita lihat parti ini memiliki kepemimpinan semua lapisan dari peringkat Pusat, bahagian dan negeri yang menyaksikan ramai pemimpin muda. Kita sudah ada rancangan yang akan diumumkan oleh presiden parti tidak lama lagi untuk mendekatkan parti dengan belia.

Kita dapati orang muda India tetap mahukan MIC menjadi suara mereka meskipun kita tidak menolak peranan mereka juga yang telah menukar kerajaan pada PRU-14, 9 Mei lalu. Namun, mereka telah tersedar bahawa apa yang diharapkan menerusi manifesto Pakatan Harapan yang dicanangkan begitu gah itu tidak menjadi realiti.

Berapa lama tempoh yang MIC sasarkan untuk meyakinkan masyarakat India kepada parti ini?

MIC mesti realistik. Ia tidak boleh dicapai dalam masa singkat. Untuk meyakinkan kaum India kepada perjuangan baharu MIC ini mungkin memakan masa antara lima hingga 10 tahun. Kalau kita berusaha dan lebih agresif dalam tindakan, ‘bonus’ nya mungkin boleh dicapai dalam hanya lima tahun atau satu penggal ini. Kami telah sediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang. Kami ada produk untuk belia. Contohnya, MIC ada universiti perubatan, kolej serta institusi kewangan untuk pembiayaan. Ini semua produk-produk keluaran parti untuk belia, cuma perlu diperhebatkan lagi kedekatannya kepada belia India.

Ada pihak menyifatkan program NAAM ataupun (New Affirmative Action Movement) yang khusus untuk pembangunan belia yang dikelolakan MIC di bawah Datuk Seri dahulu gagal?

Semasa dalam kerajaan BN, saya diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang mana seramai 50 peratus warga Malaysia adalah kumpulan belia, maka merekalah yang akan menentukan masa depan negara dan parti. Tanggungjawab saya waktu itu adalah memberi keyakinan pada golongan belia bahawa kerajaan dan MIC akan membela nasib mereka. Ini termasuklah melalui dasar dan program kerajaan seperti mana NAAM.

Mungkin mereka yang mengatakan NAAM gagal ini tidak menyedari bahawa sebagai institusi latihan, kita telah berjaya. Ada aspek yang disebut ‘kegagalan’ itu kerana ada kalangan mereka setelah mengikuti program NAAM, tidak berjaya mendapat pinjaman atau pembiayaan dari institusi kewangan untuk menjalankan perniagaan dan sebagainya. Ini antaranya berpunca daripada syarat-syarat yang begitu ketat.

Menerusi NAAM, kira-kira 12,000 belia terutama yang tercicir ini dibekalkan dengan kemahiran dan sepatutnya syarikat-syarikat yang memainkan peranan dalam industri, tidak memperketatkan syarat berkaitan pengambilan atau pembiayaan. Namun, dengan syarat-syarat seperti ini menyebabkan wujud kekangan yang menyekat pertumbuhan daya saing belia.

Adakah MIC sedar bahawa ramai kalangan orang India telah beralih memilih parti lain terutamanya PKR?

Sekali lagi ia berkaitan kegagalan MIC. MIC gagal sebelum ini disebabkan satu perkara sahaja kerana kebanyakan peluang untuk masyarakat India dipanjangkan dalam mesyuarat dan berlingkar dalam resolusi sahaja termasuklah dalam perhimpunan agung parti. Ia kemudian dibawa untuk perhatian Perdana Menteri. Ada yang ditunaikan dan ada tidak dipedulikan. Bukan MIC tidak bersuara tetapi apabila ada janji atau rancangan untuk masyarakat India tidak tertunai, MIC masih tidak keluar dari ‘kepompong’ atau masih ‘duduk dalam kerajaan’.

Sebagai contoh, kad pengenalan untuk orang India. Dianggarkan lebih 5,000 orang dari estet dan kawasan tertentu tidak ada dokumen ini, antaranya kerana anak ditinggalkan ibu bapa. Kita maklum di mana-mana negara di dunia pun, bukan mudah isu ini untuk diselesaikan.

Pakatan Harapan kelihatan lebih membela masyarakat India dengan meletakkan empat menteri keturunan India berbanding cuma satu atau dua sahaja semasa era BN?

Menteri keturunan India dengan menteri yang mewakili suara masyarakat India adalah dua perkara berbeza. Malah mereka datang daripada parti berbilang kaum. Ini berbeza dengan MIC yang merupakan satu-satunya parti yang mewakili kaum India. Ada sesiapa nampak, setakat lima bulan pasca PRU-14, keempat-empat menteri berkenaan bercakap atau mengutarakan sesuatu isu yang mempunyai kepentingan masyarakat India? MIC ikhlas dan bersuara untuk masyarakat India. Contohnya, baru-baru ini MIC mempertahankan sebuah tokong di ladang Seafield, Selangor.

Jadi, masih ada peluangkah untuk orang muda bersandar harapan kepada MIC?

MIC mahu memperhebatkan lagi rancangan untuk membantu kumpulan belia yang tercicir ini. Kepada para profesional muda India yang berjaya, sama ada kerajaan itu ada atau tidak, mereka telah berjaya, tetapi nasib mereka yang tercicir ini bagaimana? Dengan tenaga buruh di negara ini yang banyak diisi oleh pekerja asing, mereka tidak ada tempat. Justeru, mesti ada suatu program khas untuk kumpulan ini berkaitan kemahiran, kursus automobil, mekanikal dan lain-lain.

Ini juga bermakna masyarakat India boleh bergantung harap kepada barisan kepemimpinan MIC yang baru dipilih ini?

Ya, kebanyakan mereka berpengalaman dan muda. Presidennya Tan Sri S. A. Vigneswaran adalah bekas Naib Presiden yang kini Yang Dipertua Dewan Negara. Saya sendiri berpengalaman sebagai timbalan menteri selama dua penggal. Tiga Naib Presiden pula adalah Senator Datuk T. Mohan; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivaraajh manakala seorang lagi, Datuk T. Murugiah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dengan adanya team macam ini, MIC yakin boleh menjadi suara kepada masyarakat India.

Dengan MCA kelihatan ‘acuh tak acuh’ terhadap survival BN, bagaimana pula pendirian MIC?

BN tetap ada masa depan. Kalau kita lihat kekuatan keseluruhan kerusi Parlimen yang diraih oleh BN dan Pas pada 9 Mei lalu masing-masing 79 dan 18 kerusi, yang jika dicampurkan menjadi 97 kerusi. Jumlah itu cuma kurang 15 kerusi sahaja untuk memerintah negara (menerusi majoriti mudah 112 kerusi). Ini bermakna kekuatan BN dan Pakatan Harapan yang meraih 122 kerusi agak seimbang. Malah, ketika ini kerajaan tiada majoriti dua pertiga. Dan dengan Pakatan Harapan masih gagal menunaikan perjanjian manifesto mereka, MIC percaya peluang untuk BN mengembalikan mandat rakyat ke pangkuan, masih terbuka luas.