Namun kini setelah memerintah negara sejak 60 tahun lalu, rakyat mengubah tampuk pemerintahan kepada Pakatan Harapan. Segala kepercayaan majoriti rakyat yang memilih kerajaan baharu tidak boleh lagi terlampau mengharapkan kepada wakil rakyat BN untuk membantu mereka.

Semua beban tanggungjawab dan harapan untuk kehidupan yang lebih baik kini bergantung kepada Pakatan Harapan.

Kalau ingin kos sara hidup kita yang tinggi sekarang berubah, jangan mengharap akan turun sekelip mata.

Semua peringkat masyarakat menantikan perubahan yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan baharu, baik di peringkat pusat mahupun negeri.

Kerajaan terdahulu banyak membantu golongan bawahan, tetapi banyak juga yang merungut tidak cukup dengan pendapatan mereka. Harga barangan keperluan harian yang ting­gi nampaknya masih dalam trend tidak menurun.

Di negara kita ini, golongan bawahan sentiasa dijaga kebajikan mereka. Masalah kesempitan hidup golongan ini selalunya mendapat perhatian kerajaan, kerana mereka adalah penduduk majoriti negara ini. Sebab itu, hati mereka perlu dijaga.

Golongan atasan, mereka sudah senang dan ada yang se­makin bertambah kaya. Tinggal golongan pertengahan yang terkapai-kapai dalam mengharungi kos sara hidup yang serba-serbinya meningkat.

Banyak perkara yang mereka perlu bayar – ansurans pin­jaman rumah, pinjaman kereta, kadar tol, perkhidmatan pe­ngang­kutan awam, parkir kereta dan macam-macam lagi.

Semasa pentadbiran kerajaan BN, golongan pertengahan ada dibantu tetapi kurang mendapat perhatian. Mereka ini kebanya­kan­nya golongan makan gaji yang berpendapatan tidak rendah dan tidak juga tinggi.

Apabila bertambah pendapatan mereka, bertambah kurang mereka mendapat bantuan. Dahulu, bantuan hanya akan ditawarkan ke­­pada isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Boleh dikatakan pada pen­tadbiran lalu, go­lo­ngan per­te­ngahan hanya mampu menggigit jari, ketika satu demi satu langkah diumumkan un­tuk menjaga kebajikan go­longan ba­wahan yang kononnya berpendapatan rendah.

Cuba bayangkan jika da­lam sebuah rumah, jika yang bekerja termasuk bapa, ibu dan anak yang belum berkahwin men­dapat purata penda­patan RM1,500 sebulan, apakah mereka masih dalam ka­tegori keluarga miskin dan perlu terus mendapat ban­tuan?

Golongan pertengahan ren­­­dah adalah berpen­da­­­­­patan RM3,000 hing­ga RM8,000. Golongan per­­­te­ngahan peringkat per­­­­tengahan adalah RM8,000 ke atas hingga RM10,000. Golongan per­te­ngahan ata­­san pula ber­pen­da­patan RM10,000 ke atas. Bermakna go­longan berpendapatan bawah RM3,000 dikategorikan golongan bawahan dan miskin.

Kalau mengikut tafsiran Bank Dunia pula golongan berpendapatan pertengahan ini adalah dalam kategori umur lingkungan 30 tahun hingga 40 tahun. Dan pada tahap ini mereka mempunyai anak, kebanyakan anak-anak masih berumur bawah 18 tahun.

Mereka belum memasuki institusi pengajian tinggi. Jadi perbelanjaan persekolahan dan sara hidup anak-anak sekarang bukan lagi murah seperti dahulu. Namun golongan berpendapatan pertengahan ini juga yang wajib membayar cukai pendapatan kepada kerajaan.

Alangkah eloknya jika kerajaan baharu Pakatan Harapan ingin terus meringankan beban golongan miskin dan bawahan, lihatlah juga bebanan yang ditanggung oleh golongan pertengahan yang sekarang ini jumlahnya semakin membesar dalam negara ini.

Faktor peningkatan jurang antara golongan pertengahan dengan orang kaya juga perlu dilihat sebagai perkara utama. Jika tidak, kemajuan yang sama-sama dibina oleh golongan pertengahan selama ini hanya akan dinikmati oleh segelintir rakyat negara ini.

Jika tidak ditangani dengan baik, dibimbangi situasi ini boleh menyebabkan ketidakpuasan hati golongan pertengahan. Golongan ini yang kebanyakannya menentang kerajaan. Pengaruh golongan pertengahan ini besar. Mereka sudah lama menanggung beban kos sara hidup. Inilah masa kerajaan baharu memberi perhatian kepada kumpulan ini.

Bukan golongan berpendapatan rendah sahaja yang perlu menampung kos sara hidup tinggi kerana mereka yang berpendapatan sederhana dan pertengahan juga perlu diberi perhatian dalam menghadapi suasana ketidaktentuan ekonomi sekarang.