Saya bekerja sebagai pembantu rumah. Ketika majikan pulang, saya sedang bersolat. Perlukah saya buka pintu dahulu untuk majikan atau teruskan solat sehingga selesai?
*Anak Perantau Bingung, Kuala Lumpur.

UKE: Secara umum, seseorang yang sudah bersolat, wajib menyempurnakannya dan dilarang keluar daripada solat sehingga selesai. Kerana kalau saja-saja nak membatalkan solat termasuk dalam membatalkan amalan, dan termasuk dalam umum ayat al-Quran (maksudnya):
 “Dan jangan kamu membatalkan amalan-amalanmu. (Muhammad: 33).
 Namun begitu dibenarkan membatalkan sembahyang jika terdapat keadaan darurat atau sesuatu perkara yang berkaitan dengan tujuan syariat, seperti menjaga nyawa atau menjaga harta. Ini termasuklah kebakaran, gerak gempa, bangunan runtuh dan sebagainya. Begitu juga kerana menyelamatkan harta daripada dicuri maka bolehlah dia berhenti. Ini adalah contoh yang dibenarkan syarak. Bab tuan rumah balik itu belum dikira memenuhi kriteria syariat tersebut.

 

Jawab salam dalam grup WhatsApp 

Sekiranya salah seorang ahli grup WhatsApp memberi salam dengan sempurna, kemudian tiada siapa pun jawab salam itu, adakah semua ahli grup itu berdosa?
*Si Penanya, Terengganu.

UKE: “Ada lima hak seorang Islam ke atas orang Islam yang lain: Menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya dan mendoakannya apabila dia bersin.” (Hadis riwayat Ahmad 2/540, al-Bukhari 1240, Muslim 2792 dan Abu Daud 5031).
 Persoalan sekarang ialah salam ditulis atau ditaip dan bukan dilafaz dengan kata-kata. Beginilah, kita harus ingat surat, SMS atau seumpamanya dianggap sebagai pengganti diri dalam berinteraksi atau berkomuniksi.


100 hari tanda sebelum ajal?  

Saya ada lihat di YouTube cerita tentang 100 hari sebelum ajal menjemput kita. Dikatakan antara tandanya adalah sakit di bahagian pusat dan sebagainya. Apakah tanda itu benar?
*Nizam, Johor Bahru.

UKE: Saya pun tak tahu dari mana sumber itu diperolehi. Hakikatnya hanya Allah yang mengetahui segala-galanya.
 Janganlah percaya dengan semua apa yang orang main hentam nak cakap tapi alangkah baiknya kita kembali kepada al-Quran dan hadis serta ijmak dan qias di dalam bercakap. 
Yang kita kena faham ialah buatlah persiapan menghadapi kematian dengan menjadi manusia yang benar-benar beriman serta taat kepada Allah dan jangan sesekali terjebak dengan maksiat dan dosa. Yang menjadi sedihnya apabila dipetik pula nama-nama ulama ketika saat kematian mereka untuk menjadikan tulisan tersebut lebih menarik dan dipercayai tiada hadis dan ayat al-Quran menjelaskan tanda 100 hari sebelum kematian.

Isteri derita suami mati pucuk 

Saya ingin bertanya status saya sebagai isteri. Suami saya mengalami masalah mati pucuk selepas kemalangan pada 2006. Sudah hampir 11 tahun kami berpisah ranjang. Dia juga tidak memberikan nafkah zahir. Perasaan saya sudah lama mati untuk suami. Suami pernah berkata, jika dia tidak sembuh dia akan menceraikan saya tetapi sehingga sekarang dia masih serumah. Kami selalu bertengkar. Mohon pendapat ustaz sebab sudah lama saya terfikir untuk berpisah.
*Ingin Tahu, Batu Kurau.

UKE: Anda berhak menuntut hak anda daripada suami. Tapi nak tuntut macam mana kalau dia sudah tidak mampu memberi nafkah kepada anda lagi. Saya syorkan anda ke pejabat agama untuk berbincang bagaimana harus diperbuat dan dalam bab ini anda berhak jika anda tidak mahu lagi meneruskan rumahtangga anda.