Sejak itu, bila emak mahu mencuci pinggan maka saya biarkan sahaja. Itu kerja lazim yang dia biasa buat di rumahnya sendiri. Kuranglah sedikit kemurungan emak bila dibenarkan ‘beroperasi’ di dapur. Saya beritahu emak ‘cuci pinggan sendiri sahaja, pinggan lain biar kami cuci’.

Tetapi perubahan mimik muka emak ketika awal-awal ‘dasar larangan emak mencuci pinggan’ dilaksanakan, tidak akan mudah dipadamkan daripada ingatan. Rasa amat berdosa. Dan saya berjanji tidak akan mengenakan sebarang sekatan lagi kepada emak, walaupun niat asal mahu emak bebas daripada kerja-kerja rumah sepanjang dia dan bapa 'berambih' di rumah.

Mungkin pembaca setia Merrepak terasa aneh dengan mukadimah hari ini. Topik khusus mengenai emak, tidak pernah dihuraikan secara mendalam dalam sejarah Merrepak. Jadi kenapa? Bukan mahu menukar Merrepak menjadi sayu atau menyaingi ruangan Di Celah-Celah Kehidupan. Cuma bulan Ramadan ini, kita kurangkan seloka. Lepas Ramadan kita sambung balik seloka.

Perihal emak ini timbul semasa berbual bersama beberapa sahabat. Tambah-tambah lagi ada yang sekarang sudah bergelar emak kepada anak remaja perempuan, yang kerenahnya memerlukan ketahanan mental dan jiwa yang sekeras batu.

Seorang sahabat yang menjaga imej dirinya sebagai lelaki maskulin, rupa-rupanya anak yang rapat dan manja dengan ibunya. Atas sebab itu, dia dengan tenang melahirkan pandangannya tentang insan bernama emak dan ibu.

Memujuk

Kedudukan ibu bapa, ujar beliau, diberi penekanan yang kuat dan jelas di dalam agama, termasuk hadis sahih "Derhaka Kepada Ibu Bapa Termasuk Dalam Dosa Besar", contohnya. Persoalan derhaka ini boleh bermula daripada bibit-bibit kecil yang kita sebagai anak, merasakan tiada apa-apa tetapi sebenarnya telah mengakibatkan ibu terasa hati dan berasa hiba.

“Masa mula-mula kerja dulu, gaji saya RM450 sebulan. Terima saja gaji, saya bagi emak RM100 tetapi kos kehidupan sangat tinggi. Tengah bulan saya minta balik RM100 dari emak,’’ ujarnya. Tapi emak tidak bising. Dia terima keadaan itu. Dia faham saya perlukan duit. Malah dia kata, dia sedia jadi ‘penjaga duit RM100’.

Sekarang bila sudah stabil sang sahabat itu memberikan wang RM1,000 setiap bulan kepada emak dan setiap kali itu jugalah emaknya akan menolak. Setelah lama memujuk baharulah emak terima. Rumusannya kata sahabat, emak memang tidak pernah meminta duit atau menuntut apa-apa daripada anak.

Seelok-eloknya, sebagai anak janganlah tunggu sehingga ibu bapa terpaksa memberi hint mengenai kedudukan kewangan mereka. Berilah tiap bulan mengikut kemampuan. “Tuhan balas tunai. Setiap sen diberi kepada ibu bapa, bertambah juga projek yang saya dapat,’’ cerita sahabat itu lagi.

Seorang lagi sahabat bercerita perihal kecenderungan baharu anaknya terhadap agama. Secara umumnya, semua ibu bapa akan bersyukur jika anak-anak mahu mendalami hal keagamaan. Bezanya cerita sahabat ini, anaknya itu tidak pula mahu berguru secara khusus. Sebaliknya suka menelaah menerusi Internet, blog-blog yang tidak dapat disahkan ketepatan huraian dan Facebook.

Risau kata sahabat itu lagi, kerana cerita-cerita penyerang Daesh mirip cerita anaknya. Belajar agama sembrono tanpa berguru memang mudah dihasut oleh tukang rekrut Daesh.

Paling menyulitkan sekarang, anaknya itu menjadi ustaz tidak bertauliah di dalam rumah. Adik-adik perempuannya semua diarah memakai hijab. Itu haram. Ini tidak boleh. Hingga mencetuskan rasa tidak selesa. Tiada keharmonian.

Paling ketara, dalam Group WhatsApp dengan sepupu-sepupu pun, bila anak dia tampil dengan pernyataan yang dipetik daripada blog, semua diam membisu. Menurut sahabat itu lagi, tulisan anaknya itu seolah-olah menggambarkan adik-adik dan sepupunya ‘sangat jahil’ tentang agama. Ada sepupunya yang lebih tua pernah menjawab beberapa kali sebelum ini tetapi tidak lagi kerana mungkin tidak mahu bergaduh sesama anggota keluarga atau sudah menyampah tahap lima.

Jadi sebagai ibu, bagaimana hendak buat? Cerita sang sahabat, dia cuba menasihati anaknya itu. Tetapi dengan selamba anaknya ‘menurunkan’ ayat seolah-olah mengizinkan dia melaksanakan hukum di dalam rumah, termasuk ke atas ibunya yang terus menerus dianggapnya sebagai jahil agama. Perkataan yang dituturnya agak keras dan telah menghiris hati sahabat itu.

Anak yang menjadi ahli agama segera (instant) itu terlalu taksub kepada pendiriannya hingga gagal menginsafi bahawa tindakannya melukakan hati ibu, sudah cukup menjadikan dia dalam golongan manusia yang tidak beruntung di hari akhirat kelak.

Seorang lagi sahabat membacakan di hadapan kami satu kata nasihat: “Biar pun solatmu beribu-ribu rakaat, sedekahmu berjuta-juta ringgit, hajimu berkali-kali, tapi di saat kau gores hati ibu, syurga bukan milikmu".

Selepas membaca Merrepak ini, sila telefon ibu anda, tanyakan khabar dan mohonlah keampunan ibu atas dosa-dosa anda terhadapnya sejak kecil. Silakan.