Pembubaran dan seterusnya pengumuman tarikh penamaan calon dan pembuangan undi menjadi sesuatu yang signifikan bagi warganegara yang bertanggungjawab. Beban kini di bahu pemilih untuk menjalankan hak mereka memilih perwakilan di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang termaktub dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi penyandang kerusi, sudah tentu rekod bertugas lampau menjadi sandaran kepada pengundi bagi memilih untuk mengekalkan atau mengubah pemilik kerusi tersebut. Inilah lumrah demokrasi. Namun dalam berkempen ­memancing undi, mana-mana pihak wajar berhemah dan tidak ekstrem sehingga melanggar norma masyarakat timur, agama dan yang terpenting undang-undang. Janganlah ghairah berkempen sehingga emosi menguasai diri sehingga mengetepikan peranan akal dalam bertindak.

Walau bagaimanapun penulis tidak berniat menafikan kebebasan yang diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan terutama dalam Perkara 10 berkenaan kebebasan bersuara. Akan tetapi Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan Parlimen boleh menggubal beberapa undang-undang untuk menyekat kebebasan ini melalui Perkara 10(2).

Lantaran itu dalam keghairahan meraih undi perlu diingatkan kepada mana-mana calon parti politik, mereka seharusnya menyedari adanya undang-undang terpakai yang boleh membatasi kebebasan mereka dalam bersuara.

Masyarakat Malaysia sendiri mengakui mereka ialah masyarakat yang matang, maka seharusnya bahan berkempen juga menunjukkan kematangan. Pilihan Raya Umum Ke-14 perlu menjadi titik permulaan bagi pemidato, peraih undi ataupun calon berhenti daripada menjadikan isu-isu sensitif sebagai bahan berkempen.

Rakyat lebih bersedia untuk mendengar isu yang ber­kisar mengenai hala tuju, cadangan dan visi untuk menjadikan Malaysia lebih sejahtera. Lantaran itu, penulis percaya rakyat secara umumnya tidak lagi berminat bahan kempen yang mempersoalkan isu-isu sensitif seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara yang menyentuh kedudukan agama Islam, hak-hak bumiputera dan Melayu, bahasa Melayu serta Raja-Raja Melayu sewajarnya dihormati, difahami dan tidak harus dijadikan sebagai bahan berkempen. Begitu juga dengan isu-isu yang menyentuh kepentingan sah kaum lain, kebebasan mengamalkan agama dan kepercayaan dan lain-lain hak yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Parti-parti politik juga harus mengingatkan wakil-wakilnya bahawa undang-undang berkenaan dengan jenayah fitnah ataupun menghasut masih wujud dan terpakai. Misalnya, bagi perbuatan jenayah fitnah, Seksyen 500 Kanun Keseksaan telah memperuntukkan hukuman bagi jenayah ini. Begitu juga bagi kesalahan menghasut pula Seksyen 4 Akta Hasutan juga mempunyai peruntukan terhadap kesalahan ini.

Akan tetapi sampai bila kita perlu bergantung kepada undang-undang untuk menjadi senjata mengekang daripada berlakunya perkara-perkara jelik seperti ini? Seharusnya sebagai bakal pemimpin, mereka mempromosikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang dan bukan menjadikan akal dan emosi sebagai tunjang dalam membuat sesuatu.

Ini juga sungguh mendukacitakan apabila terdapatnya strategi kempen yang menjadikan fitnah, serangan peri­badi dan me­ngadu domba sebagai asas berkempen. Demi untuk menjatuhkan pihak lawan, ahli politik tidak segan dan silu menggunakan apa sahaja cara untuk menghalalkan cara mencapai matlamat. Cara berkempen yang jelik dengan membangkit dan mempersoal isu yang menyentuh sensitiviti negara atau fitnah dan mengadu domba tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Sebaliknya, sudah pasti pengundi akan memilih pemimpin dan parti politik yang menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dan pada masa sama mempunyai manifesto yang benar-benar membela rakyat bagi lima tahun akan datang.

PENULIS adalah pengamal undang-undang sivil dan syariah dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gabungan dalam MACSA.