Seluruh jentera kerajaan Pusat dan negeri mesti berganding bahu membantu mangsa banjir terlibat. Ini terutama anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula semalam.

Waktu ini tempoh sukar untuk mereka. Disebabkan musibah ini, fokus fikiran untuk menjawab soalan peperiksaan besar ini terjejas.

Bencana banjir di Pulau Pinang bukanlah asing dalam tempoh 10 tahun ini, walaupun tekad terkandung dalam manifesto pilihan raya umum 2013 sebuah parti untuk selesaikan isu itu ‘hanya dalam satu penggal’. Kejadian Sabtu lalu dan kelmarin paling teruk khususnya di bahagian pulau sehingga air menurut ketua menterinya, Lim Guan Eng naik 12 kaki.

Pada 15 dan 21 September lalu pun, lebih 100 kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat paling buruk sejak 10 tahun lalu. Ratusan penduduk dipindahkan dan berlaku kejadian tanah runtuh serta pokok tumbang di beberapa tempat. Namun, kali ini lebih teruk dari September lalu.

Cuma Tumpang lalu harap sa­ngat jangan lagi ada pihak menu­ding jari memperlekehkan kerajaan Pulau Pinang sebagai gagal menangani musibah itu seperti yang berlaku pada 2015.

Waktu itu ada seorang pemimpin negeri mempersendakan kerajaan Pas Kelantan diketuai menteri besarnya, Datuk Ahmad Yakob sebagai sebuah ‘kerajaan negeri yang bankrap walaupun bendera hijau, negeri tidak lagi hijau’ akibat gagal tangani banjir besar melanda Kelantan penghujung 2014.

Ini sehinggakan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari pada 2015 terpaksa memohon bantuan rakannya yang berbahasa Tionghua menterjemahkan penghinaan pemimpin negeri itu yang dilaporkan akhbar Sin Chew Daily bertarikh 27 Januari tahun sama.

Antara yang sempat dipetik Tumpang lalu terjemahan ung­kapan sinis pemimpin negeri terbabit: “Saya cakap te­rus-terang, saya tak perlu rasa segan. Masa banjir, kerajaan Kelantan macam mana? Macam tak ada kerajaan! Kenapa? Kerana tidak boleh buat kerja! Jadi bebas rasuah (sahaja tidak cukup), kena boleh buat kerja. Jika tidak boleh buat kerja, lebih baik jangan jadi kerajaan.”

Melihat situasi teruk banjir yang melanda Pulau Pinang terutama bahagian pulau, Tumpang lalu berharap sangat kerajaan negerinya mengkaji semula projek meganya, terowong dasar laut yang bernilai berbilion ringgit. Kalau ada difikirkan nak buat LRT pun, lupakan dulu.

Elok juga Guan Eng berjiwa besar meneliti semula kebimbangan yang dibangkitkan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) yang prihatin terhadap isu alam sekitar di negeri berkenaan.

Perkembangan pembangunan di lereng bukit menandakan bom jangka, seperti yang dibimbangi pengendali blog, Lim Sian See.

Pada tahun ini, 11 orang telah meninggal dunia di kawasan tanah runtuh di Pulau Pinang manakala tiga yang lain lemas semasa banjir.

Kerajaan Pulau Pinang, kata Sian See lagi, memperuntukkan RM10 juta bagi perlin­dungan di lereng bukit untuk keseluruhan negeri dibelanjakan lebih setahun.

“...tetapi membayar yuran perundingan sebanyak RM305 juta kepada syarikat swasta untuk ‘laporan’ yang tidak dapat diselesaikan untuk projek-projek yang belum pernah bermula pembinaannya. Dan membelanjakan RM30 juta untuk lorong basikal sepanjang 12.5 kilometer,” nukil Sian See (dipetik separuh sahaja oleh Tumpang lalu untuk mengelak dipolitikkan).

Waima apapun melibatkan pembangunan di lereng bukit, hukum fizik dan graviti jangan dilanggar.

Maka, teringatlah Tumpang lalu dengan satu rakaman video yang tular di laman sosial beberapa bulan lalu.

Lelaki yang tidak dikenali itu mempersoalkan tindakan sebuah kerajaan negeri yang didakwa tidak menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas teruk akibat banjir.

Lagi berang dia apabila menempelak jawapan yang diberikan oleh kerajaan negeri terbabit mengaitkan kejadian banjir itu disebabkan hujan.

“Boleh cakap macam tu ka? Ini hujan pasal ayaq (air) laut sudah naik. Tu warna apa (warna air)? Warna tanah!

“Apa warna tanah maksud? Kerosakan, potong sama gunung, korek itu lubang, lu tak bina longkang. Longkang kecil masuk longkang besar, masuk sungai, masuk laut satu P***u P****g.”?!,” kata­nya dalam nada marah.

Sesiapa pun perlu berjiwa besarlah dalam mengharungi musibah banjir seperti dialami Pulau Pinang.

Berhampar lapik, berlicin daun. Maksudnya: Bermuafakat mencari penyelesaian yang baik de­ngan setulus-tulus hati, tidak ada menyembunyikan perasaan-pe­rasaan yang buruk.

Teladanilah jiwa besar Perdana Menteri - yang mengetepikan sentimen dan ideologi politiknya di Pulau Pinang.