Mentarang adalah hidupan laut yang tinggal dalam tanah selut, tidak berpindah-randah kecuali bergerak dari atas sehingga ke bawah.

Habitatnya memang hanya dalam tanah dari kecil hinggalah dewasa. Makanannya hanyalah plankton dan haiwan-haiwan yang lebih kecil. Semakin dewasa mentarang semakin dalam kedudukannya di dalam tanah.

Oleh kerana habitatnya hanyalah setempat, mentarang mudah dicari terutama di Pantai Barat Semenanjung.

Tidak sukar mengesan lokasi mentarang namun tidaklah mudah untuk mendapatkannya. Hanya dua risiko, sama ada cengkerangnya akan pecah ataupun tidak dijumpai.

Penduduk tempatan, Asrul Hasan yang menjadikan aktiviti mencari mentarang sebagai punca pendapatan setiap hari memberitahu, untuk mengesan kedudukan makanan laut itu adalah berpandukan pada lubang-lubang kecil pada permukaan selut.

“Mentarang boleh dicari ketika air laut surut, kerana ia berada di dalam tanah.

“Habitat mentarang adalah tanah selut dan kedudukannya boleh diketahui melalui lubang-lubang kecil pada permukaan tanah.

“Ia perlu digali sekurang-kurangnya sejengkal daripada permukaan untuk mendapatkan mentarang.

“Tetapi lagi dalam lubang, lagi besar saiz mentarang boleh didapati,” katanya sambil menggali lubang dekat kawasan tanah selut berhampiran pantai di Sekinchan.

Rupa cengkerang mentarang seperti strukturnya hampir menyamai kerang kecuali bentuknya yang lonjong dan memanjang.

Tetapi cengkerang mentarang sangat nipis dan mudah pecah. Pertama kali pengalaman mencari mentarang memang menguji kesabaran.

Setiap kali gali, mesti dapat mentarang pecah itulah yang dihadapi penulis sewaktu pertama kali mencari makanan laut itu.

Menurut Asrul, tipsnya mudah, gali dalam lingkungan bulatan yang besar dan seluk lebih dalam.

“Biasa saya gunakan kayu untuk mudah menggali tanah selut, lebih dalam dan besar lubang digali lebih banyak mentarang diperoleh. Juga dapat elakkan cengkerangnya daripada pecah.

“Lazim saya boleh dapat antara 30 hingga 40 kilogram dalam masa sehari. Harga yang saya jual kepada peniaga sekitar RM10 sehingga RM15 sekilogram,” ujarnya.

Mentarang enak dimakan, terutamanya mentarang yang dibakar. Harga bagi sekilogram mentarang bakar boleh mencecah sehingga RM35.