Pada baki 95 peratus manusia lain tidak mahu menggunakan akal untuk berfikir sebaik-baik mungkin. Mereka lebih suka membiarkan sesuatu perkara itu berlaku begitu sahaja tanpa mencari jalan penyelesaian, terutama bagi perkara yang tidak melibatkan diri mereka dan keluarga mereka.

Untuk manusia pula ada beberapa kategori sikap. Pertama, manusia yang dia tidak tahu apa dia tidak tahu. Kedua, manusia yang dia tahu apa yang dia tidak tahu. Ketiga, manusia yang dia tahu apa yang dia tahu. Keempat, manusia yang dia tidak tahu apa yang dia tahu. Dengan kepelbagaian sikap dan tahap pemikiran manusia ini maka lahirlah pelbagai peristiwa dalam kehidupan kita, sama ada peristiwa positif atau negatif.

Kategori orang yang benar-benar berjaya ialah mereka yang boleh mengawal fikirannya dengan sangat baik, dan orang yang benar-benar berpotensi untuk berjaya akan sentiasa berfikir bagaimana untuk merancang bergerak ke arah kehidupan positif. Jika kita ada kesedaran maka kita akan berfikir.

Namun begitu, berapa orangkah daripada kita ada ‘bilik minda’ untuk berfikir dan membayangkan apa yang dia mahu fikirkan? ‘Bilik minda’ adalah satu imaginasi minda, yang boleh dimiliki oleh setiap individu dengan cara, pejamkan mata dan bayangkan satu bilik yang kita sangat suka, tenang serta membahagiakan, dan orang lain tidak nampak apa-apa yang kita bayangkan.

Mata hati kita yang Allah berikan kepada kita, akan dapat menyaksikan ‘bilik minda’ itu, dan tidak ada sesiapa pun yang tahu apa yang kita fikirkan dan bayangkan untuk ‘bilik minda’ impian kita. Itulah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Percayakah anda ‘bayangan minda’ boleh bertukar menjadi realiti iaitu dikenali sebagai konsep Law of Attraction.

Sebenarnya hal ini bukan satu konsep pemikiran baharu yang diperkenalkan oleh Barat. Tetapi, ia telah diperkenalkan Islam sejak lama dahulu, bahkan terdapat dalam kalam Allah bahawa, Allah akan bertindak ke atas hamba-Nya berdasarkan sangkaan yang ada dalam fikirannya.

Hal ini juga telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah, pada zaman Rasulullah SAW. Iaitu ketika baginda Rasulullah SAW menziarahi seseorang yang sedang sakit (demam). Sabda baginda junjungan, “Semoga penyakitmu ini menjadi penghapus dosamu”.

Pesakit yang diziarahi Rasulullah telah menjawab dalam kehampaan, “Tetapi ini demam yang mendidih, yang jika menimpa orang tua yang sudah renta, boleh menyeretnya ke lubang kubur.” Mendengar jawapan itu Rasulullah SAW bersabda, “Kalau demikian anggapanmu maka akan begitulah jadinya.” Hal ini membuktikan, apa kita fikirkan, ia boleh benar-benar terjadi.

Memantau

Sabda Rasulullah SAW lagi yang diriwayatkan oleh al-Tirmidzi yang bermaksud, “Barang siapa yang reda, maka keredaan itu untuknya. Barang siapa mengeluh, maka keluhan itu akan menjadi miliknya.”

Hal ini selaras dengan konsep ‘undang-undang tarikan’, yang akan berfungsi menukar niat menjadi kenyataan, sebab berlaku banyak gelombang dalam fikiran dan hati kita. Setiap kali kita fikir, emosi kita menentukan getaran dan gelombang jiwa kita.

Sebab itu apabila kita hendak ubah suasana, kita ubah emosi. Iaitu suasana negatif boleh diubah menjadi positif dengan cara mengawal emosi dan minda. Banyak orang berpendapat bahawa kita tidak boleh terlalu berfikir positif, kerana berisiko jika apa-apa yang kita sasarkan tidak menjadi.

Sebenarnya untuk memastikan apa yang difikirkan menjadi kenyataan, kita perlu menggunakan kaedah berfikir yang betul. Iaitu bukan hanya memadai berfikir positif dengan menggunakan minda sedar (akal fikiran) sahaja tetapi, apabila kita berfikir kita perlu memasukkan apa yang kita fikirkan itu sekali dalam emosi kita.

Hal ini adalah kerana kita ada dua jenis minda (minda sedar = akal) dan (minda bawah sedar/minda segar = roh /jiwa/hati).

Kalau kita bercakap tanpa masuk dalam hati kita, sesuatu perkara yang kita cakap itu tidak akan terjadi, walaupun kita mengucapkan kata-kata positif itu berulang kali, kerana kita tidak bercakap dari hati. Oleh sebab itu jagalah emosi kita. Undang-undang tarikan kita akan menarik atau membenarkan situasi yang sama dalam sesuatu perkara itu menjadi kuat dan sama tenaga dalam tubuh kita. Contohnya kalau kita geram marah kepada anak kita yang nakal, jangan putus asa.

Teruskan mengharap dan berdoa yang baik-baik untuk anak kita supaya dia berubah meninggalkan perangai negatifnya. Selalunya kalau kita buat perkara yang sama akan dapat hasil yang sama. Maksudnya jika kita berfikir susah, akan menjadi susahlah, sebaliknya jika fikir senang, akan senanglah kita mendidik anak-anak kita.

Bagaimanakah cara hendak kekal berfikiran positif? Hendaklah berniat menggunakan akal untuk berfikir. Memantau apa yang kita fikir, jika terfikir hal-hal yang negatif cepat-cepat sedarkan diri akan kesilapan kita dan set semula (“reset minda”) supaya memikirkan hal-hal yang positif.

Hendaklah berfikir di luar kotak dan jangan sebut perkataan “tidak boleh”. Apabila kita ada halangan, anggaplah ia sebagai cabaran dan batu loncatan untuk melakukannya, bukan mematah semangat untuk berjaya.

Kita hendaklah berfikiran positif dan hendaklah memberi layanan positif kepada orang yang negatif kepada kita. Sebab untuk berbuat baik kepada orang yang baik kepada kita adalah senang, tetapi untuk berbuat baik kepada orang yang tidak baik dengan kita adalah sangat susah.

Bahkan jika kita mampu melaksanakannya ia merupakan satu terapi diri untuk mengakui kita ini hanya hamba Allah. Kita bukan sesiapa yang mudah menghukum orang dan enggan memaafkan orang, sedangkan Allah Penguasa Seluruh Alam ini pun memaafkan hambanya.

Kerana itulah nilai syurga itu mahal! Sebab tiga perkara yang susah hendak kita lakukan adalah pertama, buat baik kepada orang yang tidak baik kepada kita. Kedua, kita mempertahankan orang yang kena umpatan. Ketiga, mengaku salah. Orang yang mengaku salah ialah orang yang tahu kelemahannya. Oleh itu apabila niat kita untuk mencari reda Allah dan mencari kasih Allah, hendakkan Allah sentiasa di hati kita.

Maka kita tidak akan berasa tertekan, dan akan melayan orang di dunia ini dengan baik walaupun orang tidak berbuat baik kepada kita. Berfikir secara positif merupakan satu terapi mendidik diri kita agar tidak sombong dan bongkak. Saya ingin berkongsi tiga langkah untuk menjadi seorang yang berjaya dengan memanfaatkan kelebihan berfikir secara positif dan terapi diri.

Langkah pertama, untuk berjaya kita mesti menggalakkan diri untuk sentiasa berfikir. Langkah kedua, kita mesti mengawal pemikiran kita. Langkah ketiga, kita mesti berfikir di luar dari kotak pemikiran yang biasa. Didiklah generasi kita berfikir secara positif melalui sistem pendidikan, dengan mempraktikkan galakan minat berfikir dalam kalangan pelajar?

Peranan kita sebagai ibu bapa atau penjaga pula, adakah kita sekarang pantau apa-apa yang kita fikir dan begitu juga dengan anak-anak kita, adakah mereka mengawal apa-apa yang mereka fikir? “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.