UKE: Hukum berkahwin dibahagikan kepada lima bahagian:
* Wajib berkahwin

Sekiranya seseorang itu mempunyai kemampuan daripada segi kewangan untuk membayar mahar dan mampu menyediakan nafkah isteri zahir dan batin. Dia juga tidak bermaksud untuk menganiaya isterinya selama berumah tangga. Termasuk juga dia yakin akan terdorong melakukan maksiat disebabkan nafsu yang kuat jika tidak berkahwin.

* Sunat berkahwin
Kepada orang yang mampu dalam menyediakan nafkah dan lain-lain, tetapi dalam masa yang sama dapat memelihara dirinya daripada terjatuh ke lembah maksiat. Ini adalah hukum asal perkahwinan. 

* Harus berkahwin
Bagi seseorang yang yakin tidak akan melakukan maksiat jika tidak berkahwin serta mampu.

* Makruh berkahwin
Apabila seseorang itu bimbang jika dia berkahwin akan menzalimi isterinya. Di samping itu, dia mempunyai kelemahan fizikal yang tidak mampu memberikan nafkah batin kepada isterinya walaupun daripada segi kewangan dia mampu dan juga makruh berkahwin sewaktu negara sedang menghadapi huru-hara.

* Haram berkahwin
Bagi seseorang yang tidak dapat menunaikan kewajiban-kewajiban dan tanggungjawab terhadap isterinya dari segi zahir dan batin dan mempunyai keyakinan akan menganiaya hidup isterinya dengan sebab kekurangan yang ada pada dirinya.
 
Maka kenapa tidak mahu berkahwin? Anda lihatlah  dalam huraian di atas. Apa pun berkahwin adalah sunah Nabi SAW. Maka mengikuti sunah Nabi SAW itu penuh dengan kemuliaan dan pasti dibantu oleh Allah SWT, insya-Allah.

 

Cara pujuk isteri  

Bagaimana hendak memujuk isteri yang sudah tidak mahu hidup bersama suami dan minta dilepaskan? 
* Aniq, Kuala Lumpur.

UKE: Apabila ada masalah sebegini anda patut gunakan beberapa cara. Pertama, memohon kemaafan atas segala kesalahan anda dengan bersungguh-sungguh. Kedua, berjanji akan membantu dan menjadikan rumah tangga kembali bahagia. Ketiga, gunakan kelembutan dan sifat lelaki budiman untuk memujuknya. 
Keempat, gunakan anak-anak sebagai ejen memujuk isteri anda. Kelima, libatkan keluarga seperti ibu dan ayah untuk menjadikan isteri berfikir panjang sebelum bercakap soal berpisah. Keenam, kalau terjadi perpisahan pun tak mengapa sebab nanti masih ada ruang untuk merujuk kembali.
 Perceraian bukan bermakna berpisah buat selama-lamanya. Kadang-kadang boleh bersatu semula malah perkahwinan kali kedua dengan pasangan yang sama lebih bahagia sebab telah mengetahui pantang larang dan kesukaan pasangan. 
Anda juga boleh banyak berzikir dan solat hajat supaya terpelihara rumah tangga. Boleh juga diamalkan membaca surah Yasin sebanyak 10 kali bagi menyampaikan maksud tersebut.


Beza menderhaka   

Apakah perbezaan antara menderhaka dengan ibu bapa kandung dan ibu bapa tiri?
* Mohd. Namawi, Johor.

UKE: Kedudukan ibu bapa kandung dengan ibu bapa tiri adalah tidak sama. Yang tiri tidak mewarisi dan diwarisi harta pusaka. Yang tiri juga tidak boleh menjadi wali nikah. Hukum menderhaka ibu bapa kandung termasuk di dalam dosa-dosa besar malah dikutuk oleh Allah SWT orang yang menderhaka ibu bapanya. Ketaatan dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah perintah Allah SWT selagi  perintah tersebut tidak bercanggah dengan hukum Allah Taala. Namun begitu jika ada ayah atau ibu tiri, maka hendaklah juga berbuat ihsan kepada mereka kerana mereka telah berkahwin dengan ibu atau ayah kita, malah kadang-kadang ibu atau ayah tiri menjaga kita lebih baik daripada ibu atau ayah kandung. 
 Terdapat ibu atau ayah tiri yang menanggung makan minum atau pelajaran anak tirinya melebihi keluarga kandung tetapi ada anak tiri yang tidak berbuat baik kepada mereka pula. Ada juga ibu atau ayah tiri yang menjaga ibu atau ayah kandung padahal anak-anak sendiri tidak mengambil berat tentang ibu atau ayah kandung mereka.
Maka berbuat baiklah kepada ibu atau ayah tiri selagi  mereka tidak menyuruh berbuat kejahatan. Jika tidak bersetuju dengan pendapat ibu atau ayah tiri, maka bercakaplah dengan sopan dan jangan sampai menyakiti hati mereka.
 

Enggan bayar pengawal  

Lebih 80 peratus penduduk di taman perumahan saya bersetuju membuat bayaran bulanan bagi perkhidmatan pengawal keselamatan. Bagaimana dengan penduduk yang tidak mahu membuat bayaran sedangkan mereka turut mendapat manfaat daripada kawalan keselamatan itu?
* Penduduk Prihatin, Gombak.

UKE: Sepatutnya bila hidup berjiran maka hendaklah bermuafakat dan bersepakat. Bukannya hidup mementingkan diri sahaja. Susah sama susah dan senang sama senang. Cuma mungkin mereka miskin atau tak mampu membayar yuran perkhidmatan. 
Kalau begitu gunakan pelekat khas bagi yang membayar yuran termasuk juga papan tanda kecil di pintu pagar masing-masing sebagai pengenalan mempunyai perkhidmtan supaya senang pemantauan diadakan.
 Boleh juga selalu diadakan program dengan pelbagai kemudahan yang disediakan dan lama-kelamaan insya-Allah mereka juga akan menyertai perkhidmatan itu. Mungkin boleh wujudkan jawatankuasa khas bagi menarik 20 peratus penduduk yang tidak menyertai program itu.