Tetapi di dalam drama kehidupan, aku sendiri adalah watak utama yang berperanan untuk mengerakkan jalan cerita yang telah diaturkan Tuhan. Aku hanyalah aku, yang menjadi watak untuk melihat dua cerita yang berbeza dari segi latar mahupun jalan cerita. “Sorry encik, saya tidak sengaja”. Seorang lelaki berkot hitam sambil berbual di telefon melanggar diriku yang berdiri kaku. Kata maaf yang diungkapkan dari mulutnya bukan lahir dari hatinya tetapi lahir dengan tidak sengaja lalu bergegas tanpa memandangku. Aku mengutip beg galasku yang terjatuh akibat dilanggar oleh lelaki yang berkot hitam tadi. Aku masih bersyukur masih ada manusia yang boleh sahaja mengeluarkan kata maaf berbanding manusia yang hanya berpura-pura bisu dan buta walaupun pada mata kasar ia dilihat manusia yang sempurna. Perlahan-lahan aku menggerakkan langkahku untuk menuju ke suatu sudut yang boleh merehatkan sengal-sengal otot dan tulang-belulangku. Walaupun sudut itu dekat dari tempatku berdiri, namun urat-urat, otot-otot dan tulang-belulangku seakan menjerit dan memberontak kesakitan untuk aku mencapai jarak yang ku kira dekat untuk aku melangkah. Akhirnya aku tewas, tewas dengan jeritan kesakitan urat, otot dan tulang lalu aku rebah ke bumi dan tidak lagi mampu untuk terpacak seperti tadi. Samar-samar mataku melihat manusia-manusia yang datang menghampiriku, ada yang berlari, ada yang melihat lalu pergi dan ada yang lalu tanpa melihatku. Telingaku mendengar kesibukan kota, ada yang menjerit “dia pengsan, cepat tolong”, “cepat call ambulans”, “kesiannya, mesti dia ni penghuni kota yang tiada tempat tinggal,” orang-orang panggil gelandangan.

******

“Tidak kira, apa nak jadi, jadi lah. Aku mengarahkan kau untuk menghalau orang-orang itu. Dah berapa bulan kau minta tempoh keputusannya tetap sama. Mana kata-kata dan janji-janji manis kau Man?. Hari tu, kau raikan aku dengan kepercayaan kau, tapi hari ini kau ragut kepercayaan aku dengan sekelip mata. Man, dah beribu ringgit aku pertaruhkan duitku untuk mendapatkan projek ni. Kali ni aku bagi kau peluang terakhir, kau kena halau orang-orang yang masih berdegil mempertahankan tanah tu. Aku tidak kisah dengan cara apa sekali pun, yang penting projek ini berjaya”.

“Baik Bos!”. Rahman mengangguk seperti burung belatuk. “Tunggu apa lagi, keluar cepat dan aku bagi tempoh dua minggu”. Rahman bergegas keluar sebaik sahaja tuannya mengarahkan dia keluar. Lalu Rahman pergi ke tempat kerjanya dan berbual bersama Iberahim, rakan sekerjanya.

“Bos ni tiada hati perut langsung! Bukan mudah untuk menghalau penduduk yang masih mempertahankan hak mereka. Aku tidak sanggup sudah berhadapan dengan situasi macam ni, Im. Kau kan tahu yang tanah tu bukan semua milik bos. Bagi aku keluasan tanah yang dimiliki bos itu sudah mencukupi, tetapi bos dengan perangai tamaknya dan tidak berhati perut sanggup menggadaikan nilai kemanusiaan semata-mata menaikkan nilai ringgit dalam akaun syarikat”. “Bersabarlah Man, macam ni lah kehidupan kita makan gaji, tak ikut arahan kita tak dapat nak bagi anak bini kita makan dan pakaian yang mencukupi. Berapa lama bos bagi tempoh untuk dapatkan persetujuan orang kampung Man?”. “dua minggu Im, dua minggu”. Rahman mengeluh sebaik sahaja menjawab pertanyaan Iberahim. “Kau bukan tidak tahu Im, usaha aku untuk memujuk orang kampung bukan ala kadar. Pelbagai cara aku lakukan untuk mendapatkan persetujuan mereka tapi jawapannya tetap sama. Malah ada yang sanggup membawa perkara ini ke pihak media”. Iberahim terkejut mendengar penjelasan Rahman. “Pihak media?!, kau biar betul Man?. Habis tu macam mana kau tenangkan situasi ni Man”. “Aku berbincang dengan ketua kampung agar permasalahan ini tidak melibatkan mana-mana media. Lagipun hubungan aku dengan penduduk kampung sangat akrab. Tapi tu lah hubungan aku pulak dengan bos makin berantakan. Aku mencadangkan kepada bos agar tanah penduduk kampung di situ tidak diganggu tapi bos masih bertekad dengan keputusannya, apa yang harus aku buat Im?, Hmm dalam tempoh dua minggu aku harus memujuk penduduk kampung agar menerima pampasan dan berpindah dari kawasan tersebut”. Rahman dan Iberahim termangu seketika memikirkan nasib kehidupan mereka dan mereka terus meneruskan pekerjaan mereka yang tertangguh.

******

“Assalamualaikum?, Rahman, ni Tok Ambang ni, Rahman, Tok tidak dapat menolong kamu untuk memberi pampasan kepada beberapa orang kampung. Mereka sayang dengan tanah mereka. Mereka tidak mahu pampasan yang Rahman tawarkan. Sebab bagi mereka itu adalah tanah pusaka mereka. Jadi, Tok nak minta maaf, lagipun kami sebulat suara tidak mahu kampung kami terlibat dengan pelbagai ancaman. Sebab bila difikir dalam jangka masa yang panjang, maka hilanglah keharmonian kampung kami ini Rahman. Kami menginginkan suasana aman dan damai. Harap Rahman faham dengan situasi kami ini”. “Waalaikumsalam Tok, hmm tidak apalah Tok, Rahman faham, kalau Rahman berada di tempat orang kampung tu Rahman juga akan melakukan perkara yang sama. Pasal perkara ni biar sahaja Rahman berbincang dengan bos Rahman. Apa-apa pun Tok Ambang, Rahman nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tok dan penduduk kampung kerana banyak menolong Rahman selama ini”. Telefon dimatikan, aku dengan pasrah mendengar segala usaha aku selama ini lebur dalam beberapa minit sahaja. Andai ini adalah jalan terbaik untuk aku, aku perlu menyuarakan beberapa cadangan agar kedua-dua pihak tidak rugi antara satu sama lain. “Ya Allah, permudahkanlah urusan ku ini, aku tidak menginginkan kedua-dua pihak merasa terzalim atau menzalimi. Jika bos menerima cadanganku, aku bersyukur kepadaMu Ya Allah, jika sebaliknya maka sampai sini sahaja khidmat aku untuk bekerja dengan majikanku. Aku percaya Ya Allah, ini adalah takdir yang telah Engkau aturkan dalam kehidupanku”. Rahman memberanikan diri untuk menuju ke bilik bos kerana tempoh dua minggu yang diarahkan telah pun berakhir. Rahman mengetuk dan membawa beberapa kertas cadangan untuk menukarkan plan rancangan awal kepada plan yang difikirkan lebih elok daripada kedua-dua pihak. “tok tok tok”. “Masuk!” suara bos mengarahkan agar masuk ke dalam setelah Rahman mengetuk bilik bosnya. “Baik Rahman, silakan duduk. Saya nak dengar apa keputusan penduduk kampung terhadap tapak projek kita?”. Rahman duduk lalu meletakkan kertas cadangan untuk menukarkan plan awal bosnya. “Macam ini bos, sebelum tu saya nak minta maaf dengan bos kerana saya tidak dapat memujuk hati orang kampung untuk meninggalkan kawasan tersebut.” Belum sempat Rahman menghabiskan bicaranya, bos telah menghentak meja lalu berdiri dan memarahi Rahman. “Apa!, kau tidak boleh mendapatkan tanah tu, berulang kali aku cakap, lakukan pelbagai cara dan aku tidak kisah dengan cara apa sekali pun. Kau terlalu berlembut Rahman, sampai bila kau nak maju kalau kau nak berlembut dengan orang kampung. Ingat Rahman aku dah melabur banyak terhadap projek ni”. “Tapi bos, saya ada cadangan lain untuk projek kita ni bos. Kalau bos sudi dengar, saya boleh bentangkan cadangan ini kepada bos”. “Aku tidak mahu mendengar apa-apa cadangan Man, yang aku nak dengar orang kampung berambus dari tanah tu. Itu yang aku nak dengar!. Aku sudah puas bagi kau tempoh Rahman, tapi keputusannya tetap sama. Sekarang ni juga kau berambus dari syarikat aku, aku tidak menginginkan pekerja seperti kau lagi. Cukup untuk hari ini, kemas semua barang-barang kau. Aku boleh upah orang lain yang boleh mendapatkan tanah tu”. “Baiklah bos, jika itulah keputusan yang keluar dari mulut bos, saya tidak kisah kerana saya tahu rezeki Allah itu luas. Saya tidak akan mati sekiranya bos memecat saya, tapi saya lebih rela mati sekiranya bos menzalimi orang kampung semata-mata hendak mendapatkan keuntungan daripada memijak nilai kemanusiaan”. Aku tidak sangka, aku berani untuk berkata seperti itu di hadapan bos. Akhirnya aku bersyukur dapat juga melepaskan segala kekejaman bos terhadap pekerjanya yang sentiasa menginginkan pekerja mengikuti segala tindak-tanduknya. Aku mengemas segala barang yang berada di atas mejaku, Iberahim memerhatikan sahaja kelakuan yang tidak kisah sedikitpun tentang pemecatanku. Apa yang aku lalui sekarang ini adalah aturan takdirku untuk aku melakar perjalanan hidupku yang sudah pasti pengarahnya adalah Tuhan yang satu. Aku melangkah keluar menyalam dan berpelukan dengan Iberahim buat kali terakhir. Jalan ceritaku diteruskan dengan pencarian kerja baharu untuk menyara keluargaku.

******

Berhari-hari aku keluar untuk mencari pekerjaan, jawatan kosong yang banyak diiklankan semuanya aku cuba tetapi tiada sesiapa pun yang memanggilku untuk ditemuduga. Besarnya dugaan dan halangan untuk aku mendapatkan pekerjaan, mungkin sahaja kerana usiaku yang tidak mengizinkan. Kebanyakan calon yang dikehendaki di bawah lingkungan umur bawah 30-an. Sedangkan aku sudah menjangkau dalam 40-an. Bagaimana aku nak meneruskan kehidupan kalau aku tidak mendapatkan sebarang pekerjaan. Apa yang akan isteri dan anak-anak ku makan?, bagaimana aku nak memberi belanja untuk persekolahan anak-anakku. Aku berhenti di permukaan jalan di mana manusia sibuk mengejar waktu. Aku melihat, mendengar dan meneliti satu demi satu. Ada yang bergembira bersama keluarga, ada yang sibuk memegang beg shopping berjenama dan ada yang sibuk melayan panggilan di telefon tangan. Aku merasakan duniaku berhenti seketika meneliti manusia yang sibuk dengan dunia. Sedangkan aku, aku hanya mampu berdiri sepi tanpa mendapat sebarang pekerjaan lagi. Apakah ini ending dalam jalan ceritaku. “Cepat panggil ambulans, pemuda ini tidak sedarkan diri”. Kedengaran suara wanita dan aku sempat melihat wajahnya. Dia seperti wanita yang berkerjaya, lalu aku menutupkan mata.