Arahan perpindahan tersebut dibuat berpandukan kepada peruntukan terkandung dalam Akta Kedutaan Jerusalem 1995 yang telah diluluskan Kongres AS de­ngan undian 93 menyokong dan lima menentang dalam Dewan Senat sementara Dewan Perwakilan pula mengundi 374-37. Setiap Presiden AS bermula dengan Bill Clinton, George W. Bush dan Barack Obama tidak menanda ta­ngani akta itu yang membuatkannya tidak boleh dikuatkuasakan.

Asas utama mengapa ketiga-tiga presiden tersebut enggan akur dengan keputusan Kongres AS adalah kerana akta tersebut bertentangan dengan beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai status Baitulmuqaddis. Malah pada Jun lalu, Trump juga menuruti langkah tiga presiden sebelum ini kerana beliau juga enggan menandatangani kelulusan akta berkenaan tetapi berubah fikiran minggu lalu apabila buat kali kedua berdepan dengan dilema tersebut.

Perlu ditekankan tujuan utama mengapa Kongres AS meluluskan akta itu adalah kewujudannya telah digunakan sebagai senjata halus terhadap kedua-dua pihak bertelingkah iaitu Palestin dan Israel dalam mencari penyelesaian konflik.

Akta tersebut sentiasa memberi tekanan kepada Palestin ba­hawa AS mempunyai senjata berbentuk peras ugut dalam hal status Baitulmuqaddis. Bagi Israel pula akta itu digunakan sebagai umpan menjadikan Baitulmuqaddis milik mereka sepenuhnya.

Berhadapan dengan isu arahan perpindahan pejabat kedutaan yang memberi tafsiran bahawa AS mengiktiraf Baitulmuqaddis adalah milik Israel sepenuhnya, perlu diteliti mengapa Trump meluluskan akta tersebut. Ini adalah kerana setiap bantahan terutama sekali melalui kaedah diplomasi hanya akan terkesan apabila ia terkait secara langsung dengan kewibawaan Trump mempertahankan kepentingan rakyat AS.

Umpamanya apabila seluruh pemimpin dunia mengutuk tindakan Trump menarik AS keluar daripada Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim pada Jun lalu, beliau tidak mengendahkan kritikan itu kerana Trump percaya keputusan itu memberi manfaat kepada industri AS supaya lebih mampu bersaing dan rakyat AS memahami hakikat ini.

Begitu juga apabila kesemua 14 negara ahli UNSC beberapa hari lepas mencela tindakan Trump dengan keputusan perpindahan pejabat kedutaan, beliau me­ngarahkan Duta AS ke PBB, Nikki Haley mempertahankan bukan sahaja AS tetapi juga Israel. Justifikasi digunakan Haley ialah dengan menuduh UNSC tidak pernah berlaku adil kepada Israel walaupun agak tersasar dengan kritikan pemimpin dunia, tetapi tetap digunakan demi mempertahankan keputusan Trump kerana persepsinya adalah demi kepen­tingan AS dan Israel.

Tetapi hakikatnya, keputusan Trump sebenarnya tiada ke­na mengena dengan konflik Pales­tin-Israel tetapi dibuat kera­na masalah peribadi dihada­pi Trump pada ketika ini ter­utama sekali yang berkaitan tuduhan bersubahat dengan Rusia dan juga mengenai tingkah laku tidak senonoh beliau yang dilemparkan oleh beberapa wanita.

Trump memerlukan sokongan padu daripada penyokong beliau seperti puak berhaluan kanan dalam menghadapi kedua-dua tekanan tersebut dan isu Baitulmuqaddis adalah pemangkin terbaik.

Beberapa hari lepas apabila Haley disoal mengenai saranan tiga wanita yang menuduh Trump berkelakuan tidak senonoh terhadap mereka supaya dilakukan siasatan oleh Kongres, Haley memberi jawapan yang agak menarik iaitu cadangan wanita tersebut sepatutnya diberi peluang. Ini membawa maksud bahawa jika isu berkait dengan kredibiliti peribadi Trump itu sendiri, maka ahli Kabinet Trump sendiri akan menghadapi kesukaran mempertahankan presiden mereka.

Begitu jua apabila Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson sering menongkah arus dengan Trump dalam hal pembangunan senjata nuklear Korea Utara, ia ada kena-mengena bagaimana Trump menjuruskan isu ini sebagai masalah peribadi di antara beliau de­ngan Kim Jong-un. Malah lebih mengejutkan apabila kel­­marin Tillerson mengumumkan rundingan dengan Pyo­ngyang boleh dimulakan tanpa sebarang prasyarat. Dasar ini amat bertentangan sekali dengan desakan Trump supaya Korea Utara menghentikan program senjata nuklear sebelum rundingan boleh bermula dengan AS.

Sebab itu dijangkakan tidak ki­ra sama ada tekanan yang terbit dari pemimpin Eropah, Rusia, China dan negara Islam lain akan hanya berkesan apabila isu Bai­tulmuqaddis itu berjaya dikaitkan dengan masalah peribadi di­hadapi Trump pada ketika ini. Dalil Trump yang cuba memberi kelebihan kepada Israel hanyalah manfaat sisi atau kebetulan kerana asasnya adalah dia cuba meraih sokongan peribadi daripada keputusan yang menyebelahi Israel.

Untuk menilai secara awal sama ada strategi Trump untuk me­raih sokongan melalui isu Baitulmuqaddis menjadi atau sebaliknya adalah dengan menilai keputusan Pilihan Raya Dewan Senat di Alabama yang baharu selesai. Calon Parti Republikan, Roy Moore men­dapat sokongan padu daripa­da Trump berbanding sokongan berbelah-ba­hagi daripada pe­mim­pin Republikan lain kerana Moore dituduh berkelakuan tidak senonoh de­ngan kanak-kanak perempuan bawah usia pada satu ketika dulu.

Menarik untuk diteliti ba­gai­mana pengundi di Alabama mem­buat pilihan kerana tidak keter­laluan diandaikan pilihan raya itu dianggap sebagai pertaruhan kredibiliti Trump sebagai Pre­siden AS pasca isu Baitulmuqaddis.