Tapi apa pasal ya masa-masa begini waktu nak dekat berbahang orang nak sambut satu lagi ‘Hari Raya’ (pilihan raya umum lah), nampak hambar sahaja orang perem­puan dengan hal-hal politik.

Yang terpampang, `baling cawan pinggan mangkuk sana sini’ dalam Facebook abang hensem (yang macam rumah nak runtuh tenggelam dek air bah) hanyalah spe­sies abang hensem juga.

Kalau bab sinikal hentam sebuah parti induk Me­layu, bagi saja pada seorang lagi bekas rakan akrab abang hensem. Dia memang champion. Sampai deep ‘pedas cilinya’.

Tapi mana suara orang perempuan?

Bukanlah abang hensem nak minta orang perempuan ‘hentam keromo’ juga dalam Facebook abang hensem dengan secara terbuka sokong parti politik itu ini, tapi sekurang-kurangnya tidaklah seperti ‘katak di bawah tempurung’.

Sebab kalau semak daftar pemilih jumlah pengundi berdaftar untuk pilihan raya umum kali ini, orang perempuan mengatasi lelaki, 7.4 juta berbanding 7.3 juta atau 50.5%/49.5%. Bukan itu sahaja tau, ada tiga negeri terbanyak pengundi wanita dengan Kedah sahaja 583,000 orang, mengatasi Pulau Pinang (488,000) dan Putrajaya 13,400.

Nama pun ‘ibu segala pilihan raya’. Tapi mana kelibat ibunya?

Patutlah waktu abang hensem google maklumat te­ngah malam tadi, ‘terserempak’ abang hensem dengan statement Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin semasa berucap pada Persidangan Antarabangsa Women In Politics Kuala Lumpur 2017 (WIPKL 2017).

Apa katanya? Kata pemimpin muda yang selalu dipe­lawa berswafoto dengan orang perempuan ini: “Pembabitan wanita dalam bidang politik di negara ini dianggap ‘menyedihkan’ dan perlu dipertingkat seiring nisbah jantina yang hampir seimbang.

“Golongan wanita perlu melihat bidang politik sebagai cabaran besar, sejajar usaha Malaysia menjadi antara 20 negara maju menjelang 2050,” itu kata Khairy.

Dua perenggan itu pun abang hensem rasa berat orang perempuan nak ‘hadam’ apa moralnya.

Kalau abang hensem perhatikan, bila orang perempuan tulis status dalam Facebook, wow lain macam bunyinya. Berderau. Kebelakangan ini lagi ‘berapi’, asyik mengeluh memanjang sahaja.

Jangan-jangan rakan-rakan perempuan abang hensem spesies begitu tak? Eh! sama juga sebab kawan-kawan lelaki abang hensem pun terima ‘nasib serupa’.

Kalau ikut kata seorang rakan yang mesra abang hensem panggil Su Da, orang perempuan ini banyak persepsi dalam kepalanya.

Tanya abang hensem, persepsi bagaimana tu? Adakah ada kaitan dengan kajian di barat yang buktikan ada rerambut (sel) di tengah-tengah otak kanan dan kiri wanita yang melebihi 20 peratus daripada lelaki, lantas tunjukkan penghantaran dan penerimaan maklumat orang pe­rempuan lebih banyak dan aktif berbanding lelaki?

Eh! kata Su Da, taklah. Itu ilmiah sangat kalau nak cakap realiti fiil sebilangan orang perempuan sekarang, terutama sekali yang muda-muda, awal 20-an.

Kalau dalam Facebook Su Da, kawan-kawan perem­puannya akan komen pasal sistem cukai yang kata mereka ‘menyusahkan’. Tapi bila Su Da nak perjelaskan, tak bersambut. Diam. Tiada komen.

Tapi kalau bab panggil menari poco-poco, dia pergilah. Orang panggil ke tazkirah agama, dia pun ikut sama.

Seperkara lagi yang Su Da ceritakan yang buat abang hensem terkedu juga bila dia bangkitkan tentang jentera perempuan muda parti di kawasannya yang dipanggil `jajahan’. Rupa-rupanya Su Da ni orang parti yang ada kelulusan tinggi dalam undang-undang.

Kisahnya, kata Su Da: “Mereka ini (jentera parti diterajui wanita muda) tak jemput orang cerdik-cerdik macam saya nak perjelaskan isu-isu rakyat dan berkaitan fitnah dan tohmahan sana sini hari ini. Bila nak buat majlis kecil pasal ini, selalu saja mengelak, bagi alasan. Sebenarnya nak buat majlis riang ria.

“Kalau nak buat program ‘Panama Dance’, poco-poco, pakai gincu dengan make up setengah muka, itu mereka nak. Bukannya nak terangkan secara pro aktif pada golongan sasar visi kerajaan hari ini. Dan bila check apa sebabnya, rupa-rupanya bimbang nak jemput saya sebab takut jawatan hilang nanti (kena rampas)...politik kampungan betul.”

Okeylah, bercakap pasal ibu segala pilihan raya tak lama lagi, abang hensem nak petik teori pilihan rasional yang diperkenalkan Anthony Down (1957)) dalam kar­yanya An Economic Theory of Democracy. Kata Down, lazimnya pengundi akan beri undi kepada parti atau calon yang paling berkemungkinan memuaskan tuntutan mereka dengan berpandukan maklumat-maklumat dan pengetahuan terhadap sesuatu pilihan itu.

Apapun, pandangan abang hensem, nak pujuk orang perempuan agresif berpolitik, apa lagi sebagai pengundi, kita mesti menggunakan pendekatan memujuk dan to­leransi. Orang perempuan tak suka komen-komen yang memaki hamun dalam Facebook. Tapi lebih kepada ungkapan-ungkapan bersifat gentleman (budiman).

Demikianlah - sifat orang perempuan seperti tulang rusuk, terletak di tengah-tengah. Bukan untuk dipuja keterlaluan, bukan pula dipijak di bawah tapak kaki.

Ingat! jangan lupa keluar mengundi nanti (bila Parlimen bubar agaknya?).