Apakah Statut Rom ini? Ia menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mempunyai bidang kuasa jenayah hanya ke atas empat jenis jenayah sahaja iaitu:

i) Jenayah perang (war crime)

ii) Jenayah pencerobohan (agression crime)

iii) Jenayah kemanusiaan (humanity crime)

iv) Jenayah pembunuhan beramai-ramai (genocide, mass killings)

Dalam erti kata lain pencabulan hak asasi manusia yang paling teruk sekali. Contohnya apa? Pada saya, pembersihan etnik Rohingya oleh kerajaan Myanmar dan rakyat Palestin oleh rejim zionis Israel.

Siapakah yang boleh disabit kesalahan?

Mengikut artikel 5, Statut Rom, mereka adalah seperti:

1. Yang melakukan jenayah genocide.

2. Yang memberi perintah atau arahan pembunuhan beramai-ramai.

3. Yang bersubahat dalam pembunuhan beramai.

4. Dan lain-lain.

Jadi, apakah Yang di-Pertuan Agong dan sultan di negara ini tertakluk kepadanya? Persoalannya timbul kerana Agong adalah ketua angkatan tentera. Jadi, katakan tentera melakukan genocide, adakah Agong juga boleh disabitkan kesalahan di ICC?

Di bawah Statut Rom ini diperuntukkan bahawa:

1. Military Commander akan bertanggungjawab ke atas tentera di bawah kawalan “efektifnya” jika baginda tahu perbuatan jenayah tersebut dan tidak mengambil langkah menghalangnya.

2. Tiada kekebalan/imuniti diberi kepada Ketua Negara.

Di sinilah timbul hujah bahawa Yang di-Pertuan Agong akan tertakluk kepada ICC dan ini bercanggah dengan Per­lem­bagaan. Jadi, apakah ini betul?

Untuk memahami isu ini, kita kena faham sedikit se­ja­rah Perlembagaan. Apa­bi­la Perlembagaan ini digu­bal, sultan-sultan dan Agong mempunyai imuniti se­penuh­nya.

Ini bermakna sultan-sultan kita tidak boleh didakwa lang­sung terhadap apa-apa perkara. Konsep ini tidak asing dan sama seperti negara monarki yang lain.

Tetapi ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat, kuasa imuniti ini telah dikurangkan. Sultan-sultan sekarang boleh didakwa tetapi hanya di Mahkamah Khas yang mempunyai peruntukannya tersendiri.

Jadi, dari segi struktur Perlembagaan Raja-raja dan sultan kita tidak boleh tertakluk kepada mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas. Sekiranya mereka tertakluk, maka itu bercanggah dengan Perlembagaan.

Dari sudut ini, hujah ini ada validity (kesahannya) dan saya sudah membaca satu artikel oleh seorang pensyarah undang-undang berhujah sedemikian. Fair argument pada saya.

Cuma saya fikir Peguam Negara akan mendakwa bahawa tentera bukan di bawah kawalan “efektif” Yang di-Pertuan Agong. Benar, bahawa Agong ketua turus angkatan tentera tetapi Peguam Negara mungkin berhujah bahawa angkatan tentera adalah di bawah kawalan efektif eksekutif.

Maka dengan itu tidak akan tertakluk kepada ICC tersebut. Saya fikir ini juga fair argument. Jadi pada saya, Statut Rom ini juga boleh dihujah tidak akan membuat Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada ICC. Dengan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

PENULIS ialah pengasas Malaysian Lawyers Circle (MLC).