Dalam bab azan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah seperti yang sedang diucapkan muazin. (Riwayat al-Bukhari). Pada (lafaz) hayya ‘alas-solah dan hayya ‘alal-falah dijawab dengan lafaz La hawla wala quwwata Illa billah.

Sehubungan itu, jumhur ulama berpendapat hukum menjawab azan adalah sunat muakkadah (sunat yang dituntut). Ketika azan dikumandangkan, kita dianjurkan meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan dan dalam masa sama menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan.

Adapun bercakap ketika azan dibolehkan dan ia tidaklah menjadi satu kesalahan. Namun begitu, jika percakapan itu boleh menyibukkan atau mengganggu seseorang itu dalam menjawab sepertimana yang dilaungkan oleh muazin, maka meninggalkannya adalah lebih utama kerana menjawab azan adalah sunat.

Bercakap ketika azan bukanlah perkara yang diharamkan. Ini berdasarkan perbuatan para sahabat baginda SAW yang bercakap ketika azan. Di dalam al-Muwatha’, Imam Malik meriwayatkan sebuah athar daripada Tha’labah, beliau berkata: Mereka menunaikan solat Jumaat di zaman Umar bin al-Khattab sehingga Umar keluar. Apabila Umar keluar dan duduk di atas mimbar maka azan dilaungkan oleh muazin. Telah berkata Tha’labah: Kami duduk dan bercakap. Apabila muazin selesai dan Umar pun berdiri untuk menyampaikan khutbah maka kami pun diam dan tidak ada seorang daripada kami pun yang bercakap. Te­lah berkata Ibn Syihab: Keluarnya imam menghentikan solat dan khutbah imam menghentikan percakapan. [Lihat: al-Muwatha’ (215)]

Berdasarkan athar di atas, jelas menunjukkan para sahabat RA bercakap ketika azan sedang dilaungkan. Jika benar sebagaimana yang didakwa, maka para sahabat adalah orang yang pertama akan meninggalkan hal tersebut.

Sunat-sunat ketika azan (bagi pendengar):

• Diam ketika mendengar azan dan menjawabnya sama ada dalam keadaan bersih atau berhadas, junub atau haid, besar atau mumayyiz. Kemudian perlu menjawab apa yang diucapkan oleh muazin kecuali pada lafaz (haiyya ‘alas-solah) dan (haiyya ‘alal-falah).

• Selawat kepada Nabi SAW dengan suara yang perlahan, kemudian memohon kepada Allah wasilah dan berdoa kepada-Nya selepas selesai azan dengan jarak yang tidak lama.

• Berdoa untuk diri sendiri kerana waktu tersebut adalah waktu yang mulia, berkat dan mustajab. Disunatkan berdoa selepas azan dan sebelum iqamah.

Timbul pula persoalan apabila azan dilaungkan, mengapa mereka yang baru memasuki masjid masih berdiri? Antara sebabnya:

a. Mereka berdiri kerana belum menunaikan solat tahiyatul masjid. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila salah seorang dari kamu memasuki masjid, janganlah dia duduk sehingga solat dua rakaat”. (Muttafaq ‘alaih)

b. Kebetulan pula dia menangguhkan solat tahiyatul masjid kerana ingin menjawab azan. Oleh itu, individu ber­kenaan akan mendapat tiga pahala iaitu menjawab azan, berdoa selepas azan dan melakukan solat tahiyatul masjid.

Adapun perbuatan berwuduk semasa azan dikumandangkan adalah harus hukumnya. Namun, dikehendaki bagi orang yang berwuduk untuk berusaha menjawab azan selepas diucapkan oleh muazin. Walaupun demikian, adalah lebih baik untuk kita bersiap sedia mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum azan dikumandangkan kerana itu lebih afdal.

Berkaitan soalan tentang ‘hadis’ di awal perbincangan tadi, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata: “Hal tersebut adalah tidak benar dan tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW. Ini kerana, kami tidak menjumpai asal baginya dan kita juga tidak boleh meriwayatkannya atau menyandarkannya kepada Nabi SAW kerana ia adalah satu pendustaan di atas nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW jika kita melakukan hal sedemikian”.

Selain waktu solat, azan juga boleh dilaungkan dalam keadaan tertentu. Syeikh Ibnu Baaz rahimahullah menganjurkan azan di telinga bayi yang baharu dilahirkan, ketika melihat jin dan takbir ketika ada kebakaran. (Fatawa Nuur ‘alaa Ad-Darb 6/350 Maktabah Syamilah).