Program ini akan diterajui Ya­yasan Hasanah, sebuah yayasan berasaskan impak milik Kha­zanah Nasional dan jaringan rakan-rakan kongsinya khusus­nya beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Kempen ini bertujuan menggalakkan perpaduan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia sejajar dengan kempen Negaraku peringkat kebangsaan yang dijalankan kerajaan me­nerusi amal kebajikan yang dilakukan dengan ikhlas untuk manfaat orang lain, tidak kira kerja amal kecil atau besar.

Hari Hasanah adalah hari di mana Khazanah Nasional serta kakitangannya berganding bahu dengan Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Think City Sdn. Bhd. serta rakan kongsi masing-masing menyumbang masa dan tenaga menjalankan amal kebajikan bagi manfaat pelbagai lapisan masyarakat.

Ini juga bagi meraikan maksud ‘Hasanah’ yang sebenar, iaitu perkataan Bahasa Arab yang bermaksud amal kebajikan yang dilakukan demi manfaat orang lain.

Kami berharap program ini akan terus berkembang menjadi sebuah gerakan yang dapat menyatukan rakyat Malaysia untuk berganding bahu melakukan amal kebajikan seterusnya membantu menggalakkan semangat kekitaan serta menyuburkan amalan bantu-membantu tanpa mengira kaum.

Seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia setiap tahun, diharapkan Hari Hasanah akan berkembang menjadi acara tahunan bagi memupuk sifat berbudi bersama dan melakukan kebaikan sesama rakyat Malaysia secara berterusan.

Antara amal kebajikan yang akan dilaksanakan oleh kakita­ngan Khazanah Nasional, Yayasan Hasanah dan Think City terma­suklah mengajarkan pendidikan muzik secara percuma untuk kanak-kanak dan gotong-royong bagi membersihkan tempat awam seperti masjid, surau dan klinik khususnya di kawasan luar bandar.

Selain itu, kakitangan KRI akan mengunjungi Hospital Sg. Buloh untuk melawat pesakit-pesakit di sana di samping membantu kakitangan hospital dengan tugas-tugas tertentu.

Ini bertujuan menceriakan pesakit dan warga kerja di Hospital Sg. Buloh sempena cuti panjang Hari Raya Aidiladha.

Sehingga hari ini, hampir 60 amal ‘Hasanah’ telah diikrarkan oleh kakitangan Khazanah Nasional, Yayasan Hasanah dan rakan-rakan kongsi lain terma­suklah badan-badan NGO untuk dilaksanakan sempena sambutan Hari Hasanah.

Salah satu rakan NGO Yayasan Hasanah yang turut terlibat dalam program Hari Hasanah adalah Yayasan Chow Kit. NGO ini akan melaksanakan khidmat masyarakat di sebuah perkampungan Orang Asli di Kemensah, Kuala Lumpur.

Di Puchong pula, Yayasan Sejahtera akan mengunjungi sebuah rumah anak yatim untuk mengajar kaedah pembuatan kompos organik.

Antara contoh program berbudi bersama Hari Hasanah yang dirancang di luar Kuala Lumpur termasuklah di Sungai Petani di mana rakan NGO Yayasan Hasanah, MySkills, akan menyediakan kemudahan elektrik untuk sebuah keluarga yang sudah lima tahun tidak mempunyai bekalan elektrik.

Aktiviti ini akan disertai oleh pelajar-pelajar vokasional MySkills, dengan bimbingan seorang juruelektrik yang berlesen.

Di Sabah pula, rakan NGO Yayasan Hasanah, Reef Check Malaysia akan bersama-sama penduduk setempat membersihkan Pulau Mantanani bagi membantu pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan pantai serta terumbu karang di sekitar pulau tersebut.

Ini sekali gus meluaskan skop berbudi bersama Hari Hasanah untuk turut merangkumi alam sekitar khazanah warisan alam.

Amal kebajikan yang dirancang sempena Hari Hasanah boleh meliputi sesuatu yang cukup mudah seperti membantu pengagihan makanan kepada golongan gelandangan ataupun meluangkan masa seharian di rumah orang tua.

Individu atau organisasi yang berminat menyertai kempen ini juga boleh menganjurkan inisiatif lebih besar seperti gotong-royong di kawasan kejiranan sendiri ataupun membaiki kemudahan di rumah anak yatim.

Kami mengalu-alukan penyertaan seluruh rakyat Malaysia untuk melakukan sebarang amal kebajikan pilihan masing-masing sempena Hari Hasanah.

Tidak kira kecil atau besar, sekiranya amal kebajikan itu dilakukan dengan tulus ikhlas, hasilnya akan memberi kesan yang besar.

Maklumat lanjut tentang amal-amal kebajikan sempena Hari Hasanah boleh diperoleh melalui laman web www.harihasanah.com.my untuk senarai lengkap semua perbuatan amal kebajikan yang dirancang.

Orang ramai juga boleh mengikuti kempen ini melalui Instagram (@harihasanah) untuk perkembangan terkini aktiviti-aktiviti sempena program Hari Hasanah di seluruh negara.

Jangan lupa kongsikan amal kebajikan anda bersama kami di media sosial melalui hashtag #HariHasanah #DoGoodTogether #BerbudiBersama!

Untuk jangka pendek, penganjuran Hari Hasanah diharap akan mencetuskan kesedaran betapa pentingnya seluruh rakyat Malaysia bersatu-padu sama-sama menabur budi menerusi perbuatan amal kebajikan atau ‘hasanah’ tidak kira besar atau kecil.

Kami juga mengalu-alukan penglibatan semua warga Malaysia untuk bersama-sama menjalan amal kebajikan dan berkongsi kisah mereka di media sosial sebagai galakan bagi menarik lebih ramai orang turut serta.

Dalam jangka panjang, kami berharap dapat menganjurkan Hari Hasanah setiap tahun di antara Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia agar ia terus berkembang menjadi sebuah gerakan sosial yang membudayakan perbuatan amal kebajikan dan berbudi bersama dalam kalangan rakyat Malaysia demi perpaduan serta kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Shahira Ahmed Bazari ialah Pengarah Urusan Yayasan Hasanah.