Taman perumahan yang dibuka pada 1972 itu agak sederhana besarnya dengan 170 rumah dan kira-kira 700 penghuni. Hampir 70 peratus penduduk di taman perumahan itu adalah warga emas.

Apa yang menarik perhatian saya adalah semangat perpaduan dan patriotik yang amat tinggi dalam kalangan penduduk Taman Sri Maharani apabila setiap rumah dihiasi bendera Malaysia.

Perasaan terharu terus me­nerpa dalam hati apabila melihat Jalur Gemilang berkibar megah di halaman rumah penduduk Taman Sri Maharani, seolah-olah mereka sedang bersedia untuk menyambut ketibaan pemimpin negara.

Apabila saya bertanya kepada penduduk di situ, kesemua mereka dengan bangganya bercerita mengenai semangat patriotik yang telah lama disemai dalam kalangan mereka.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Sri Maharani, Chua Teck Boon, memaklumkan kepada saya bahawa pemasangan bendera di setiap rumah dimulakan sejak 2006. Lebih menyentuh hati saya ialah bendera yang dipasang mereka masih baharu dan bukannya Jalur Gemilang lusuh yang dikitar semula saban tahun.

Chua yang juga pengerusi MCPF daerah Muar turut menjelaskan pemasangan bendera tersebut turut memberi isyarat kepada orang luar yang mempunyai niat jahat bahawa penduduk di Taman Sri Maharani sentiasa bersatu padu untuk melindungi satu sama lain.

Saya difahamkan kadar jenayah di taman perumahan tersebut berjaya diturunkan kerana penglibatan aktif penduduk taman berkenaan yang turut mengenali antara satu sama lain. Sebenarnya perpaduan dan semangat cintakan negara perlu di­semai di peringkat kanak-kanak agar ia sebati dan menjadi amalan yang tidak akan dilupakan begitu sahaja.

Setiap tahun, saya juga tidak pernah lupa untuk memasang Jalur Gemilang di halaman rumah saya di Taman Maluri. Walaupun rumah saya kelihatan amat sederhana, saya akan pastikan Jalur Gemilang berkibar dengan megah di atas kayu yang dipacakkan di halaman rumah.

Sukar untuk digambarkan perasaan setiap kali menje­nguk ke luar tingkap dan melihat bendera Malaysia berkibar me­gah. Rasa bangga adakalanya berbaur perasaan sedih apabila memikirkan nasib Jalur Gemilang pada masa ini.

Suatu ketika dahulu, jalur merah putih dengan bulan dan bintang kuning berlatarbelakangkan warna biru itu meriah menghiasi segenap pelosok bandar dan desa. Namun kini ia tidak lagi semeriah dahulu.

Alangkah indahnya jika kita kembali mencontohi semangat patriotik yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Setiap rakyat seharusnya menunjukkan rasa cinta dan kasih mereka kepada negara ter­utamanya ketika Malaysia sedang meraikan Bulan Kemerdekaan.

Jalur Gemilang seharusya dipasang di setiap rumah, pejabat, jalan raya dan tempat-tempat strategik yang lain. Kita perlu ingat bahawa ulang tahun kemerdekaan dan Hari Malaysia bukannya disambut setiap bulan tetapi hanya pada 31 Ogos dan 16 September setiap tahun.

Justeru, kita harus pastikan Jalur Gemilang dipasang bukan sahaja di pejabat-pejabat kerajaan tetapi juga di rumah, premis swasta dan perniagaan serta institusi pengajian tinggi. Di sesetengah negara, pemasa­ngan bendera kebangsaan diwajibkan dan mereka yang tidak mematuhinya boleh dikenakan hukuman.

Saya percaya Malaysia belum lagi sampai ke tahap menggunakan undang-undang untuk memaksa rakyatnya mengibarkan dan menghargai bendera kebangsaan. Ini seharusnya dilakukan secara sukarela seperti mana yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia ketika menyokong para atlet negara ini memenangi pingat emas untuk terus menduduki tempat teratas dalam temasya Sukan SEA Ke-29 yang sedang berlangsung ketika ini.

Saya amat bangga dengan semangat kesukanan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia dan benarlah kata orang sukan berupaya menyatukan masyarakat.

Jadi, marilah kita bersama-sama gunakan detik-detik perpaduan seperti ini untuk me­ningkatkan rasa cinta kepada negara. Kibarkan Jalur Gemilang dan hayatilah bait-bait lagu Jalur Gemilang yang antaranya berbunyi:

Jalur gemilang... megah kami terasa
Jalur gemilang... kibarkanlah wawasan
Merah putih biru kuning
Jalur semangat kami semua
Berkibarlah
Berkibarlah
Berkibarlah

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.