Sekilas yang hinggap di kepala Tumpang lalu, penyanyi suara lunak gemersik, Aisyah atau nama penuhnya, Wan Aisyah Wan Ariffin. Itu pun tak berapa ingat dia bertanding di mana dan kalah berapa undi.

Bila ke Google, oh! baharulah perasan. Aisyah tewas kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Samad di kerusi Parlimen Jempol dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Tapi boleh tahan jugalah si Aisyah ni ya, masih mampu raih 22,495 undi meskipun Mohd. Isa kutip majoriti 8,629 undi. Ini berbeza dengan nasib seorang lagi rakannya, Dayangku Intan atau nama penuhnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid. Dia te­ruk ‘dibelasah’ lawannya, Datuk Azalina Othman Said di kerusi Parlimen Pengerang - sekadar memperoleh 4,484 undi sahaja berbanding majoriti Azalina, 26,992 undi.

Berdepan PRU-14 yang sema­kin berbahang tarikhnya, Mac atau April ini, nampaknya Dayangku Intan sudah tarik hand brake de­ngan mengumumkan keluar PKR pada 10 Disember (2017) baru-baru ini.

Tapi berbeza dengan Aisyah yang masih kuat lagi azamnya. Kali ini, dari Pas dia beralih pilih PAN sebagai platform baharunya.

Opps! Artis lain seperti Herman Tino, Tumpang lalu tak anggap dia serius dalam politik. Barangkali dia suka-suka mencuba, sebab itu cuma terdaya raih 340 undi sampai hilang wang deposit RM10,000.

Apa pun, Tumpang lalu salute jugalah dengan semangat dua tiga kerat artis ini untuk test market.

Kalau genuine, tak mengapalah seperti mana rakan-rakan mereka di negara seberang, Indonesia - Rhoma Irama, Rano Karno, Nurul Ariffin dan Marissa Haque - yang berbondong-bondong menjadi calon pemilihan umum atau Pemilu, gabenor dan macam-macam lagi.

Cuma Tumpang lalu kesalkan ialah segelintir artis popular kita ni yang gemar ‘bermain-main di tepian’. Kutuk orang politik itu ini dalam Facebook dan Instagram. Bila pemimpin ziarah tempat suci, habis ‘digodek’ dibusukkan untuk dikongsi dengan followers.

Bagi Tumpang lalu, hanya kerana dua tiga artis muda lelaki dan perempuan ini yang bikin onar sedemikian dengan komen-komen dangkal habis terpalit pula rakan-rakan artis lain. Jiwa kacau be­tul mereka ini.

Kata Darrell West, penulis bu­ku Celebrity Politics, artis dan pelawak tergiur terjun ke politik akibat perkembangan media khususnya televisyen dan demokrasi.

Secara peribadi, Tumpang lalu merasakan adalah lebih elok artis-artis Malaysia ini kekal cari rezeki dalam dunia hiburan mereka.

Kalau nak jadi artis tu, se­riuslah dan gapailah impian se­perti mana dikecapi Allahyarham Sudirman Haji Arshad - yang bukan semata-mata artis tetapi sebenarnya penghibur dengan bukan semata-mata lagu-lagu malar segar dan evergreennya laku sehingga sekarang tetapi keluhuran hatinya yang mencengkam jiwa semua kaum.

Contohilah artis-artis yang berfikiran global seperti Datuk Sheila Majid, Yuna, Reshmonu, Dayang Nurfaizah atau artis YouTube, Izyan Alirahman atau nama pentasnya Zee Avi. Pencapaian mereka agak ‘melangit’.

Cuba artis-artis kita lihat gambar di atas kolum pojok ini bagaimana Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., Datuk Abdul Malik Dasthigeer boleh pula duduk di tengah-tengah Rajinikanth dan Kamal Haasan. Kalau anak jati Kuala Lumpur yang juga penerbit dan pengedar filem-filem Bollywood ke Malaysia itu tidak ada aura, masakan boleh dua bintang filem terkenal India dan dunia itu boleh terbuka menerima keha­dirannya.

Artis-artis tempatan kena pantas melihat ruang dan mencipta peluang di depan mata. Abdul Malik bukanlah artis tetapi dalam usia semuda 34 tahun, beliau menjadi perantara kepada artis-artis tempatan untuk mencipta nama dan wang seperti mana ruang sedikit itu pernah diisi dalam filem Kabali oleh Datuk Rosyam Noor dan Norman Hakim.

“Saya mahu bawa masuk lebih banyak movies shooting ke Malaysia. Saya akan lebih aktif dalam operasi Cinematourism Malaysia yang bakal jana pendapatan tinggi untuk Malaysia,” kata Abdul Malik kepada Tumpang lalu menerusi telefon dua hari lalu.

Takkanlah artis Malaysia mahu tiru bulat-bulat Rajinikanth kot yang memutuskan terjun dalam politik dalam usia yang lewat.

Rajinikanth lain kelasnya. Beliau sudah capai semua keinginannya dalam hidup. Katanya, dia mahu ‘pergi’ sebagai orang yang mengenang dan membalas budi rakyat Tamil Nadu yang telah menyokongnya selama ini dalam industri perfileman.

Itu pun objektifnya jelas me­ngapa dia mahu terjun dalam politik iaitu: “Restu Tuhan akan menyebelahi saya sebab saya berniat baik kepada rakyat (India).”

Bagi produser filem terkenal, Datuk Yusof Haslam yang sempat dihubungi Tumpang lalu semalam, beliau tetap berpegang kepada prinsip - artis perlu berkecuali dalam pendirian politiknya kerana mereka milik masyarakat

“Kalau mahu sokong parti kerajaan atau parti pembangkang, itu terserah kepada diri masing-masing tetapi jangan lontarkan komen-komen negatif dalam laman sosial.

“Waima apa pun, ingatlah satu perkara ini - di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.”

Serta-merta Tumpang lalu te­ringat pada kemenangan Aisyah menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat (GV 4) di Johor 18 Disember lalu dengan meraih wang tunai RM100,000 dan trofi. Aishah turut bawa pulang sebidang lot tanah banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas dan baucar me mbeli-belah.

Itu belum masuk Sheila dengan satu show boleh raih puluhan ribu ringgit.

Negara aman stabil macam ini - bersyukurlah.