Perbuatan zalim seperti memakan harta anak yatim mengundang azab yang dahsyat di akhirat kelak. Allah berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).”

Mengapa sehingga sedemikian Allah meletakkan azab kepada penyelewengan pengurusan harta anak yatim? Ini kerana anak yatim diberi ujian dengan tiada lagi insan yang menyayangi mereka sepenuh hati untuk mengasuh dan memelihara mereka. Kelemahan yang dialami mereka dari segi akal dan fizikal sementelah belum sampai cukup umur mendedahkan anak yatim ini kepada risiko eksploitasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab,

Justeru, seperti harta anak yatim yang tidak boleh mentadbir hartanya sendiri dan ruang eksploitasi terbuka akibat daripada itu, harta awam juga menjadi ujian kepada pengurus dan penerima manfaatnya. Benar, bukan sahaja pemimpin ditagih beramanah, tetapi masyarakat juga dituntut jujur kerana mengguna dan menguruskan harta awam sekali pun bukan pentadbir yang dilantik.

Kemudahan asas awam yang disediakan seperti masjid, padang permainan, perkhidmatan kesihatan serta pendidikan adalah contoh harta awam yang digunakan secara terbuka. Disebabkan harta awam - bukan harta persendirian, ramai cenderung untuk alpa ketika menggunakannya. Ini termasuklah penggunaan tanpa hemah, salah guna kemudahan awam untuk kepentingan diri, merosakkan fasiliti itu dan lain-lain lagi. Keadaan ini amat merugikan negara kerana sekalipun kita mempu­nyai kemudahan awam kelas pertama, tetapi minda pengguna masih berada di kelas ketiga.

Dalam masa sama, masyarakat cenderung untuk melihat harta awam dalam konteks kemudahan asas awam yang kolektif sahaja. Sedangkan ada harta awam yang diterima secara individu juga terdedah kepada pengurusan yang tidak cekap seperti dana awam. Dana awam boleh mengambil ciri-ciri seperti bantuan tunai kerajaan kepada golongan yang tidak berkemampuan, anugerah biasiswa pendidikan, pinjaman perniagaan kecil dan lain-lain yang lazimnya diguna dan diurus pada peringkat individu.

Dana awam begini, khususnya dalam bentuk pinjaman pendidikan, sekali pun mungkin tidak sepenuhnya memenuhi syarat sebagai harta awam, perlu diberi perhatian sebagaimana menguruskan harta awam dengan betul. Sebagai contoh, pelajar perlu bertanggungjawab menggunakan dana itu dengan amanah bagi tujuan pendidikan semata-mata bukan untuk bermewah. Kemudian, pelajar hendaklah memulangkan kembali pinjaman tersebut setelah tamat belajar dan mula bekerja.

Mengambil kira situasi hari ini, kita melihat golongan penerima dana pendidikan utama negara, PTPTN berasa sedikit lega apabila kerajaan membenarkan penangguhan pembayaran semula pinjaman pendidikan tersebut sehingga peminjam mencapai gaji RM4,000 sebulan. Dalam satu keadaan, keputusan ini memberi sedikit kelonggaran kepada individu yang benar-benar berada dalam kesukaran untuk membuat bayaran balik pinjaman pendidikan tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan lain, kelonggaran ini juga sebenarnya membuka peluang kepada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terutama yang sengaja menangguh membuat bayaran semula sedangkan tidak berhadapan dengan masalah kewangan. Begitu juga dengan golongan yang memang tidak berniat untuk membayar semula pinjaman, sebaliknya menunggu agar berlaku lagi ‘keajaiban’ seperti pinjaman pendidikan itu bertukar kepada biasiswa penuh.

Secara umumnya, pasaran pekerjaan pada masa kini mungkin tidak mampu menawarkan graduan gaji RM4,000 sebulan kepada graduan muda. Bahkan yang telah bekerja lama pun masih tidak mencapai angka gaji itu. Justeru, apakah mekanisme terbaik untuk ‘memujuk’ peminjam dana pendidikan melunaskan hutang demi kemaslahatan pelajar pada masa akan datang dalam masa sama tidak menambah kesengsaraan penghutang yang memang benar-benar berada dalam kesukaran?

Fokus kepada kelayakan gaji untuk memulakan pembayaran balik pinjaman pendidikan perlu diseimbangkan dengan fokus kepada pembayaran mengikut kemampuan. Masyarakat perlu disedarkan hutang adalah beban yang berat. Hakikat bahawa hutang pendidikan adalah daripada dana awam perlu ditekankan. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu membuang sikap mementingkan diri demi memastikan gene­rasi masa depan mendapat peluang pendidikan yang baik.

Setiap manfaat awam yang diterima perlu diurus dan digunakan dengan baik mengikut syaratnya. Peraturan ini bagi memastikan kelangsungan manfaat harta itu untuk individu seramai mungkin terma­suklah kepada ge­nerasi akan datang. Maka tidak hairanlah mengapa Khalifah Islam kedua mengibaratkan harta awam seumpama harta anak yatim kerana beratnya amanah tersebut.

NUR SYAHIDAH ABDUL JALIL ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).