Separuh daripada dana tersebut digunakan sebagai modal permulaan untuk pembentukan entiti baharu (kemudiannya dikenali sebagai MAB pada Julai 2015). Sebanyak RM1.4 bilion dibelanjakan untuk menyahsenaraikan Malaysia Airlines System (MAS) dan RM1.6 bilion lagi bagi tujuan pemberhentian pekerja dan pembatalan kontrak-kontrak pembekalan oleh vendor.

Langkah-langkah itu adalah sebahagian daripada pelan pemulihan syarikat penerbangan negara yang terjejas ekoran kelembapan ekonomi global ketika itu dan diburukkan lagi dengan dua tragedi membabitkan dua pesawatnya iaitu kehilangan MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh pengganas Rusia di ruang udara Ukraine.

Intipati penting daripada keseluruhan pelan pemulihan ini ialah menyegarkan semula jenama dan satu daripada keputusan penting pengurusan baharu syarikat ialah mengekalkan ‘Malaysia Airlines’ dan hanya akronim berubah daripada MAS kepada MAB. Namun, ‘Malaysia Airlines’ adalah nama rasmi yang dikekalkan.

Pada Oktober tahun lalu, Malaysia Airlines menarik perhatian dunia apabila menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak terkemuka dari England, Liverpool FC.

“Ini adalah sebahagian daripada langkah menyegarkan kembali jenama kami dan tiada platform yang paling sesuai melakukannya melainkan pentas bola sepak Liga Perdana Inggeris,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Airlines Berhad, Peter Bellew.

Beliau mengadakan lawatan rasmi julung kalinya ke Ibu Pejabat Kumpulan Utusan Jumaat lalu, ditemani Ketua Komunikasi Korporatnya, Faridah Hashim dan tiga pegawainya, Khairunnisak Dzun Nurin; Norshafiza Zulkifli dan Adlina Azharuddin.

Peluang bersemuka itu tidak dilepaskan. “Berapa nilai penajaan Malaysia Airlines dalam Liverpool FC?” Ini kerana sekian lama Bellew atau Malaysia Airlines mengambil pendirian untuk tidak mendedahkan nilai tersebut.
Mengikut kaedah Merrepak, saya senaraikan di bawah mesej penting mengenai urus niaga Malaysia Airlines dengan LFC, seperti yang disampaikan oleh Bellew kepada saya pada Jumaat lalu:

1 Pasukan Liverpool FC mengenali Malaysia menerusi beberapa siri kunjungan dan mengiktiraf tahap sokongan tinggi yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

2 LFC juga maklum mengenai kedua-dua tragedi yang menimpa syarikat penerbangan negara, malah menghubungi waris-waris kepada mangsa MH17 yang merupakan penyokong tegar kelab. Pemain legenda LFC, Ian Rush memberi penghormatan akhir di perkuburan mangsa tragedi tersebut pada 2015.

3 Ikatan sedia ada tersebut, membuka jalan kepada Bellew untuk mencari peluang dengan Liverpool FC sejurus mengetahui kontrak kelab itu dengan Garuda Indonesia telah berakhir.

4 Mungkin sesetengah pihak akan bimbang untuk menjalin hubungan perniagaan dengan entiti yang dilanda tragedi seteruk Malaysia Airlines tetapi ternyata Liverpool FC memiliki penilaian dan pendirian yang benar-benar mencerminkan jati diri kelab yang mengutamakan manusia lebih lagi berbanding material semata-mata.

5 Bermula daripada pertanyaan awal sehingga terbinanya perniagaan, kaedah perhubungan saya dengan pengurusan Liverpool adalah menerusi telefon dan persidangan video. Pengurusan kelab amat memahami situasi kewangan kami dan apa yang telah berlaku sebelum ini.

Pengurusan Liverpool FC menyakini keupayaan Malaysia Airlines untuk melaksanakan pelan pemulihan, termasuk perluasan penerbangan ke sektor yang disasarkan semua iaitu China. Perbincangan berlangsung dalam masa yang singkat.

Jadi berapakah nilai kos penajaan Malaysia Airlines ke dalam Liverpool FC? Bellew tidak teragak-agak atau mahu berdolak-dalih. Rasanya beliau sudah bersedia dengan kemungkinan mesti kena soal hal ini.

Pertamanya, Bellew soalkan kepada saya, "tahu berapa nilai penajaan yang dibayar oleh Garuda?" AS$9 juta setahun atau AS$27 juta selama tiga tahun bersamaan dengan RM115 juta.

“Saya katakan kepada pengurusan LFC, kami amat berminat menjalin hubungan niaga tetapi bajet saya terhad. Tahu apa LFC jawab? Boleh! Kita teruskan, cerita Bellew.

10 Tetapi berapa? Bellew berkata, nilainya kira-kira 10 peratus daripada apa yang dibayar oleh Garuda. (Dianggarkan RM10 juta)

11 Sebagai syarikat penerbangan global rasmi bagi Liverpool FC, Malaysia Airlines berpeluang mengadakan penjenamaan bersama di dalam hak penjualan barangan cenderamata dan perhubungan pelanggan menerusi pengalaman penerokaan seperti akses ke stadium di Liverpool bersama pemain dan legenda. MAB juga diberi akses kepada pemain untuk dipaparkan sebagai duta dan semua saluran komunikasi berkaitan.

12 Sejak memulakan kempen promosi serendah RM2,299 pergi dan balik London, Malaysia Airlines menerima sambutan luar biasa bukan sahaja kerana tambangnya yang rendah tetapi disukai kerana ia merupakan penerbangan tanpa henti kira-kira 12 jam dan 30 minit dari Kuala Lumpur ke Heathrow.

13 Soalan akhir kepada Bellew: Apakah pesawat Malaysia Airlines akan dilukis dengan logo Liverpool? Beliau menjawab, ia ada dalam pelan tahun hadapan, termasuk membawa pasukan LFC berkunjung ke Malaysia.