Kehairanan yang terbit pada hati saya, bukan berkait kepada soal bagaimana beg-beg itu dibeli atau dari mana wang diperoleh untuk membeli. Itu cerita mahkamah. Merrepak tidak campur.

Saya hairan sebagai lelaki, suami dan bapa. Berapa banyak beg tangan seorang wanita perlukan? Belum lagi cerita tentang kasut atau tudung (ini kita simpan lain kali).

Sebagai wartawan, sekali-sekala diberi tugasan ke luar negara. Atas faktor sekali-sekala, maka gemuruh jugalah kaki melangkah masuk ke dalam butik beg tangan bagi menceriakan orang rumah.

Butik Louis Vuitton Paris Champs Elysées rupa-rupanya sangat terkenal kepada rakyat Malaysia yang berkunjung ke kota romantis ini. Ini kerana bila saya cerita "butik LV kat Paris...”, pasti mereka mencelah "Champs Elysées!’’. Wah...tahu.

Kebetulan (yang sangat menguntungkan, sebenarnya), ketika masuk itu terdapat sekumpulan pelanggan dari China. Dengan wajah Chow Yun-Fat semula jadi, saya menerima layanan istimewa serupa yang diberi kepada kumpulan tersebut.

Kakitangan LV mungkin menyangka saya ini ketua kumpulan atau paling tidak, jutawan komunis.

Di dalam butik itu, saya dibawa ke lounge dan dipersilakan duduk. Kemudian air oren dihidangkan dan satu makalah model beg terbaharu diberikan.

Pada waktu sama, saya WhatsApp orang ru­­mah memberi laporan lintas langsung keadaan saya ketika itu.

Di Malaysia saya tidak pernah masuk kedai beg tangan secara sukarela.

Lazimnya, sesudah orang rumah membuat pi­lihan, kami janji ber­temu di kaunter pem­bayaran. Dia beli, saya bayar.

Jadi bila di Paris, pe­langgan dibawa duduk di lounge dan diberi minum air tanpa perlu membelek di rak-rak seluruh butik, saya serius tidak tahu.

Memang beginikah cara orang beli beg tangan, soal saya yang dijawab orang rumah dengan imoji 'mata memandang ke langit’.

Spesifikasi

Sebagai lelaki, saya amat terperanjat dan hampir histeria bila mengetahui terdapat 18 jenis beg tangan wanita. Sudahlah sebegitu banyak, hendak menyebutnya pun menyebabkan lidah berputar.

Jenis beg itu ialah (wahai lelaki, sila teliti dan hafal. Ada ujian selepas tamat artikel ini): backpack, baguette, barrel, bucket, clutch, doctor, duffel/sea, flap, frame, hobo, mesengger, minaudiere, muff, quilted, saddle, satchel, shopper, tote, trapezoid dan wristlet.

Terjemahan kepada lelaki ialah "warna hitam yang atas sekali, yang kecil sebelah yang besar atau yang murah sekali antara semua’’.

Kenapa kita perlu hafal 20 jenis beg tangan wanita? Sebelum wujudnya teknologi WhatsApp, hanya ada BBM Blackberry yang tidak berupaya mengirimkan gambar.

Maka anda (lelaki) perlu ingat jenis yang dimahukan oleh wanita yang mahukan spesifikasi secara tepat, tepat dan tepat.

Jadi sekarang sesudah ada aplikasi seumpamanya, keperluan untuk menghafal menjadi berkurangan. Memadai guna gambar beg dan tunjukkan kepada jurujual.

Bagaimana dengan lelaki? Bila saya ke tempat kerja, seboleh-bolehnya tidak membawa sebarang beg. Leceh. Banyak kali sudah bila sampai di dalam pejabat, baru teringat beg tertinggal dalam kereta.

Kalau bekerja di luar, kena pakai backpack untuk mengangkut komputer bimbit atau mengisi barang belian. Jadi penggunaan beg ini lebih didorong kepada faktor keperluan, bukan hendak bergaya.

Berdasarkan kaji selidik mendalam saya menerusi Google (mata pandang ke langit), lelaki hanya ada lapan jenis beg berbanding 20 untuk wanita.

Bagi golongan lelaki yang gemar bergaya, mereka ada pilihan iaitu briefcase, barrel, duffel, tote, bowling, bucket, backpack dan messenger.

Pasti anda perasan ada sebilangan lelaki yang berseluar yengki, bermisai dengan kepala sisi digunting hampir botak, dilihat memegang beg kecil dan ada kalanya diselit celah ketiak.

Saya berseloroh dengan teman, kenapa perlu bawa shaving kit merata-rata? Dia jawab, semua boleh letak di dalam iaitu telefon bimbit, rokok dan dompet. Alat pencukur tidak ada sama sekali.

Jadi kembali ke persoalan asal di atas. Berapakah beg tangan yang seorang wanita perlukan? Kena ada untuk semua acara? Satu untuk ke tempat kerja, satu untuk kenduri, satu untuk bersiar-siar, satu untuk perayaan, satu untuk majlis kematian...

Pasti ramai kaum lelaki pada hari ke-12 bulan Mac tahun 2017 ini masih dan berterusan tidak akan mengerti mengapa wanita perlukan sebegitu banyak beg tangan, dan kasut serta tudung.