Bagi peminat tegar lumba F1, mereka mahu menyorak pelumba pasukan F1 Mercedes AMG Petronas iaitu juara dunia, Lewis Hamilton. Pasukan ini ditaja oleh syarikat minyak negara, Petronas yang sekali gus 'memberi hak’ untuk kita menganggapnya sebahagian daripada entiti Malaysia.

Tidak salah. Dalam pasukan F1 Mercedes AMG Petronas merupakan pasukan global. Mercedes AMG adalah syarikat dari Jerman, ibu pejabat F1 pasukan terletak di United Kingdom. Minyak lumba menggunakan minyak Petronas yang dibangunkan di kilang miliknya di Turin, Itali.

Penamatan penganjuran lumba F1 di Malaysia yang bermula pada 1999 adalah disebabkan kos yang tinggi. Tiada kepastian bila Malaysia akan kembali memohon menjadi penganjur semula. Bergantung kepada ekonomi lima atau enam tahun akan datang, paling cepat.

Kerajaan yang telah membiayai penganjuran ini sekian lama, telah mengumumkan pada April lalu ia tidak mampu lagi membelanjakan AS$67 juta setahun. Pulangan atas pelaburan sekarang tidak seimbang. Penonton berkurangan, dan hakikatnya, lumba F1 tidak benar-benar digemari rakyat Malaysia berbanding lumba motosikal. Oleh itu, Litar F1 Sepang kekal menganjurkan Moto GP kerana sambutan hebat.

Penarikan diri Malaysia daripada F1 ini bukan luar biasa atau eksklusif. Terdahulu Korea Selatan dan India telah menarik diri, meninggalkan hanya tiga negara di Asia yang masih rela iaitu China, Jepun dan Singapura.

Bagaimana dengan Petronas? Tiada isu berbangkit. Penajaannya terhadap pasukan F1 tersebut masih berterusan, malah diperteguhkan sehingga tahun 2020. Permintaan untuk menghasilkan minyak lumba yang bersesuaian dengan enjin Mercedes, merupakan satu cabaran yang membina kemahiran dan reputasi Petronas di peringkat global.

Sempena perlumbaan terakhir F1 di Litar F1 Sepang ini, Merrepak memperoleh data menarik dari Petronas sepanjang pembabitannya dalam dunia perlumbaan kereta F1 yang berprestij ini:

1 - Pembabitan Petronas dalam arena F1 bermula pada 1995, apabila ia membentuk perkongsian strategik dengan Sauber menerusi penajaan utama pasukan F1 Sauber-Petronas. Tujuannya mendapatkan platform untuk mempromosi jenama Petronas di peringkat antarabangsa, sekali gus membantu strategi perluasan global Petronas selain peluang meraih sinergi teknologi automotif yang relavan kepada industri minyak dan gas.

2 - Penajaan dalam Grand Prix Malaysia Petronas bermula 1999, membantu mempercepatkan pengiktirafan jenama dalam peta dunia sebagai destinasi baharu kalangan peminat sukan pemotoran.

3Pengiktirafan itu bertambah lagi menerusi perkongsian dengan pasukan F1 BMW, seterusnya menjadi kukuh dengan pasukan Mercedes AMG Petronas Motorsport.

4 - Dengan Mercedes, penyertaan Petronas di dalam F1 kini di tahap matang dan meluas daripada sekadar penaja pasukan menjadi entiti yang disegani dalam membantu prestasi optimum pasukan di litar lumba.

5 - Hari ini, Petronas adalah sumber teknikal prinsipal dalam mereka bentuk dan membangunkan bahan api, pelincir dan cecair fungsi bagi Mercedes AMG Petronas Motorsport. Sejak 2010, Petronas telah membangunkan lebih 350 bahan tersebut bagi pasukan untuk diuji meliputi lima produk perlumbaan: Petronas Primax (bahan api), Petronas Syntium (minyak enjin), Petronas Tutela (transmisi, hidraulik, cecair penyejuk sistem pemulihan kuasa (ERS) dan Petronas Durance. Produk ini menyumbang kepada kejuaraan dunia tiga kali berturut-turut dari 2014 hingga 2016.

6 - Hubungan kerja erat dengan Mercedes juga membolehkan Petronas bekerjasama dalam pelbagai platform keupayaan insaniah yang mempromosikan perkongsian pengetahuan dan meningkatkan pertumbuhan individu dengan Petronas. Pada masa ini, terdapat antara 10 hingga 12 saintis terlibat dalam mereka formula untuk cecair F1. Mereka berperanan membangunkan produk seperti Petronas Primax, Petronas Syntium and Petronas Tutela, mengadaptasi apa yang dipelajari di litar lumba ke jalan raya.

7 - Di peringkat global, Petronas berada di tangga ke-121 dari segi nilai jenama di dalam Brand Finance Top 500 Global Brands, dan dalam 10 Jenama Minyak dan Gas Terbaik bersama dengan Shell dan Total yang juga terbabit dalam F1.

8 - Petronas sejak 23 September lalu, telah menganjurkan pelbagai acara di ibu negara bersempena perlumbaan hari ini, bertema 'Kisah Kami Berterusan’ yang memaparkan pertunjukan fesyen gadis litar oleh Rizman Ruzaini, perlumbaan maya, cabaran pit-stop, persembahan artis tempatan, aktiviti seronok dan peraduan yang memenuhi cita rasa semua lapisan usia dan menonton secara langsung di Litar F1 Sepang serta sesi bertemu dengan Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas.

9 - Perhatikan kereta lumba Mercedes F1 W08 EQ Power+ car yang dihias dengan mesej khas Thank You Malaysia. Pastikan anda dapat merakam gambarnya!

10 - Semua acara ini telah dirancang teliti oleh pasukan khusus Petronas dan Mercedes AMG PETRONAS Motorsport yang telah bertungkus lumus berbulan-bulan sebelum kontinjen F1 tiba di Sepang.

Seperti dinyatakan di atas, banyak manfaat telah diterima oleh negara dan Petronas secara khususnya, sepanjang 18 tahun pembabitan dalam perlumbaan F1. Kita terima keadaan ekonomi semasa tidak mengizinkan kita terus menganjurkan F1.

Mungkin bila sudah teguh kembali nanti dan yuran penganjuran yang dikenakan oleh FIA tidak menggunung, lumba F1 akan kembali ke Malaysia suatu hari kelak.