Bagi menghadapi saingan itu, Kumpulan Utusan mengadakan pembaharuan dengan mempromosikan akhbar berkenaan sebagai satu-satunya akhbar besar berbahasa Melayu di negara ini. Langkah itu bagi meyakinkan pembaca untuk menatap sebuah akhbar yang dapat memuatkan gambar lebih besar. Begitu juga ruang iklan yang lebih menyerlah.

Memang sukar untuk mengubah bentuk akhbar itu. Cubaan pernah dilakukan untuk menukar rupa bentuk akhbar berkenaan tetapi tidak pernah berhasil. Sebagai pilihan beberapa sisipan dalam bentuk tabloid diperkenalkan seperti Kesihatan, Mega, Wow, Megabait, Sigap dan .Com. Akhirnya semalam dan hari ini, Kumpulan Utusan akur dengan peredaran masa dan tuntutan pembaca baharu. Kompak atau tabloid menjadi pilihan. MM dilahirkan pada 30 Ogos 1964 dan UM pula mula diterbitkan pada 1 September 1967. Ini bermakna lebih separuh abad, rupa bentuk UM dan MM adalah broadsheet.

Sejak itu, hanya perubahan wajah atau kosmetik dilakukan termasuk ‘kepala’ akhbar atau masthead. Begitu juga dengan slogan akhbar yang turut berubah dalam tempoh waktu tertentu. Secara keseluruhannya bentuk akhbar tidak pernah berubah sejak kedua-dua akhbar berkenaan diperkenalkan.

Hakikatnya, akhbar kompak bukanlah sesuatu yang baharu bagi keluarga Kumpulan Utusan. Akhbar Bintang Timur (BT) yang suatu ketika dulu begitu popular dalam kalangan masyarakat utara - Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis serta Kelantan dan Terengganu adalah sebahagian daripada keluarga Kumpulan Utusan. Wujud pada 1976 hingga 1982, BT diterbitkan oleh Warta Negara Press Ltd., bekas penerbit akhbar Warta Negara. Syarikat itu juga adalah anak syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang didaftarkan di Pulau Pinang. BT adalah antara akhbar tabloid terawal diterbitkan.

Ketika itu juga penerbit sudah menyedari bahawa penerbitan akhbar tabloid itu memenuhi kehendak pembaca dalam sebuah negara muda yang pesat membangun. Kehadiran BT dan kemudiannya Mingguan Timur (MT) diterima dengan baik dan begitu gah terutama di utara tanah air. Berikutan penutupan akhbar BT di utara, penampilan UM dan MM diperkemaskan sehingga wujudnya edisi wilayah utara. Setelah mengambil masa begitu lama, kekosongan akhbar kompak di Kumpulan Utusan diisi oleh Kosmo! pada Ogos 2004. Sekurang-kurangnya Kumpulan Utusan turut memiliki akhbar kompak seperti dimiliki oleh Kumpulan The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) iaitu Harian Metro dan diikuti Berita Harian (BH), Berita Minggu atau kini BH Ahad serta New Straits Times (NST) dan New Sunday Times. Sebelum ini NST merupakan satu-satunya akhbar Inggeris dalam bentuk broadsheet sementara The Star dan Sunday Star dalam bentuk kompak. Hakikatnya, saiz adalah trend semasa sebahagian besar akhbar ternama di negara-negara maju. Bagaimanapun saiz tidak menjamin populariti sesebuah akhbar atau mendapat jualan yang lebih baik. Mungkin saiz atau bentuk yang disusuli dengan gaya persembahan mempengaruhi pembaca untuk mendapatkannya seperti dibuktikan sebelum ini oleh Harian Metro dan Metro Ahad yang pernah mencatat jualan tertinggi. Rekod itu bagaimanapun dipintas oleh Kosmo! dan Kosmo Ahad!

Hari ini, broadsheet tinggal sejarah dalam dunia persuratkhabaran Melayu dan Inggeris tetapi masih kekal dengan akhbar-akhbar Cina dan Tamil.

Selain memenuhi kehendak pembaca dan tuntutan masa, akhbar kompak menjadi pilihan pada era ini kerana saiznya yang lebih kecil, ringkas dan mudah dibawa atau dibaca di mana-mana sahaja.

Sebelum ini juga UM dan MM pernah menerapkan konsep lipat pada akhbar besarnya supaya dalam keadaan tertentu, mereka boleh membaca UM dan MM di mana-mana sahaja. Susun atur grafik memudahkan pembaca melipat empat bahan bacaan berkenaan. Bagaimanapun, mungkin tidak ramai yang dapat menerima konsep itu dan lebih selesa dengan saiz kompak. Diharapkan, kelahiran UM dan MM dalam bentuk kompak ini dapat diterima masyarakat terutama golongan pembaca muda atau pembaca baharu.

Kemunculan bentuk baharu ini juga sudah pasti bukan mahu berperang dengan akhbar-akhbar kompak lain tetapi bersaing secra sihat di padang yang sama. Harus diakui, dalam era digital, cabaran media cetak amat besar untuk meyakinkan pembacanya. Justeru perubahan bentuk bukanlah jaminan kenaikan jualan tetapi sekurang-kurangnya boleh berlaku anjakan untuk menarik minat golongan pembaca baharu di samping mengekalkan pembaca lama.

Melalui akhbar kompak, mungkin tidak ada alasan lagi bagi pembaca untuk menjadikan akhbar sebagai bahan bacaan semasa di dalam kenderaan sama ada bas, kereta, LRT, MRT atau pesawat. Namun, semuanya bergantung kepada minat seseorang. Hari ini minat atau budaya membaca dalam kalangan masyarakat semakin kurang. Kemajuan teknologi dengan maklumat di hujung jari juga mendorong pembaca mendapatkan bahan bacaan secara pantas dan mudah tanpa melalui media cetak.

Semoga penampilan baharu UM dan MM dapat memanfaatkan para pembaca. Biar ‘kecil’ tetapi perlu berani dan berpengaruh, bak kata orang kecil-kecil cili padi. Obor perjuangan perlu diteruskan!