Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bentuk masyarakat Islam berakhlak

PENGHAYATAN al-Quran dapat membentuk umat Islam menjadi insan
PENGHAYATAN al-Quran dapat membentuk umat Islam menjadi insan yang berakhlak dan berwibawa melalui amalan-amalan ibadah, pemahaman akidah yang tulen serta cara berhubungan sesama manusia dan makhluk lain. GAMBAR HIASAN

UMAT Islam sepatutnya memahami dan mengamalkan corak kehidupan Islam secara komprehensif sekiranya mereka ingin menjadi model kepada masyarakat bukan Islam. Islam membentuk umatnya menjadi insan yang berakhlak dan berwibawa melalui amalan-amalan ibadah, pemahaman akidah yang tulen serta cara berhubungan sesama manusia dan makhluk lain. Jika umat Islam mengamalkan perkara ini dalam kehidupan seharian mereka maka perpecahan umat, keruntuhan moral dan pergeseran politik yang serius dapat dielakkan.

Realiti yang dipertontonkan masa kini jelas menunjukkan bahawa umat Islam berada dalam ambang hakisan kewibawaan dan kehebatan akibat daripada pengabaian terhadap corak kehidupan Islam sebenarnya. Perpecahan adalah satu unsur yang boleh melemahkan kekuatan sesuatu umat kerana setiap kumpulan mempunyai corak pemikiran berbeza berlandaskan kepada ideologi dan objektif parti politik masing-masing.

Parti politik jika tidak didasarkan kepada konsep dan prinsip perjuangan seperti mana di­gariskan oleh Islam maka ia mudah tersasar daripada landasan perjuangan hakiki. Ia lebih mirip kepada perjuangan untuk kepentingan individu dan kelompok yang mana akhirnya umat Islam berpecah dan bertelingkah sesama sendiri dalam pertarungan kuasa, status dan kekayaan.

Jika perjuangan politik ­berasaskan kepada kepentingan agama, negara dan masyarakat maka setiap pemimpin parti politik akan mengkaji dan berhati-hati dalam tindak tanduk mereka dalam arena politik. Kesan dan implikasi terhadap kesilapan dan kecuaian dalam arena politik boleh memberi kesan yang ­paling buruk dalam masyarakat Islam dan juga boleh menjatuhkan maruah agama dan masyarakat.

Sikap dan perasaan takut kepada Allah sepatutnya disemat dalam pemikiran dan jiwa setiap pemimpin parti politik umat Islam supaya tidak berlaku kesilapan yang boleh memusnahkan perpaduan umat.

Pemimpin politik adalah model dan harapan rakyat untuk mem­bela nasib mereka yang malang. Sokongan yang diberikan kepada para pemimpin parti politik adalah untuk mempertahankan kedudukan agama, negara dan masyarakat. Cara mereka berhujah dan berbicara mengenai politik dan perjuangan sepatutnya boleh meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah pemimpin yang berwibawa. Setiap aspek berkaitan pemimpin sama ada akhlak, tingkah laku dan cara mereka bertindak dalam arena politik akan menentukan kematangan mereka dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran.

Jika pemimpin politik sering menonjolkan keperibadian yang terlalu angkuh sama ada dalam aspek keagamaan atau seumpamanya maka sifat tersebut sudah terkeluar daripada sifat-sifat terpuji dalam Islam, maka mampukah pemimpin tersebut mengemudi masyarakat menjadi umat yang berakhlak?

Perkara yang paling buruk yang dipaparkan oleh pemimpin parti politik adalah menggalakkan masyarakat mengetepikan kebaikan dan jasa yang telah disumbangkan oleh individu-individu yang tidak menyokong mereka. Jika perkara begini berlaku bagaimanakah mereka boleh membentuk generasi muda supaya mengenang budi dan jasa orang tua yang telah berjasa kepada negara?

Konsep kehidupan yang berteraskan kepada kesopanan dan kesusilaan dihakis oleh para pemimpin parti politik masa kini. Rasulullah SAW meminta umat Islam supaya menghormati orang tua terutama mereka yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara.

Sabda baginda SAW: “Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati seorang Muslim yang beruban (sudah tua), pembawa al-Quran yang tidak berlebih-lebihan padanya (dengan melampaui batas) dan tidak menjauh (dari mengamalkan) al-Quran tersebut, serta memuliakan penguasa yang adil.” (Riwayat Abu Daud)

Perasaan rendah diri dan tawaduk sepatutnya menjadi keperibadian golongan pemimpin parti politik yang sering mempamerkan diri sebagai orang yang paling hampir kepada Allah. Sikap angkuh menonjolkan kealiman dan warak bukan kayu ukur sebagai seorang pemimpin yang boleh mentadbir negara jika cara berhujah dalam arena politik seperti orang yang kurang akal dalam hal ehwal politik, ekonomi dan sosial. Keimanan dan ketakwaan seseorang individu Islam itu hanya Allah sahaja yang berhak dan layak menentukannya bukan orang yang merasai dirinya ahli syurga.

Rasulullah SAW memperingati umat Islam dengan sabda baginda: “Akan muncul di akhir zaman satu kaum yang muda umurnya (para pemuda) yang bodoh akalnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam era globalisasi ma­syarakat Islam sukar untuk diyakini dengan penonjolan keperibadian sebagai orang yang warak dan bertakwa jika pemimpin politik tidak memahami perkara berkaitan politik, ekonomi dan sosial kerana masyarakat Islam masa kini adalah mereka yang mendapat pendidikan dalam pelbagai aspek kehidupan. Oleh itu, jika strategi politik masih terikat dengan budaya berpolitik dalam era 1980-an maka parti politik tersebut tidak akan dihormati oleh masyarakat kini.

Generasi Islam masa kini lebih menghormati ulama yang natural dan tidak terikat dengan sebarang parti politik kerana sejarah negara ini menunjukkan ramai pe­mimpin parti politik yang berbicara me­ngenai Islam sering berubah-ubah fatwa dan pandangan mereka berkaitan isu-isu agama dan negara berdasarkan kepada kepen­tingan parti politik mereka.

Berdasarkan kepada penjelasan tersebut maka setiap pemimpin politik bermuhasabahlah dalam setiap tindakan mereka dalam arena berpolitik supaya dapat dijadikan model dalam pembentukan akhlak dan kewibawaan generasi muda masa kini dan akan datang.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain