Sebenarnya bukan susah pun nak gembirakan hati perempuan ni kan. Dapat sekuntum bunga pun dah macam dapat emas seketul. Tak mahal pun kalau nak dibeli. Sekitar RM2-RM4 sahaja sekuntum. Tak perlu berhabis duit beli sejambak pun. Tetapi peliknya, mengapa susah sangat lelaki nak buat macam ni ya?

Alasan mereka, alaa...tak perlu bunga-bunga ni dan tak perlu nak sambut-sambut hari wanita ke apa ke. Sebab kata mereka, hari-hari dah sayang. Abang Hensem (rakan sepejabat Akak Cute) pun sendiri mengaku bahawa dia tak pernah sambut Hari Wanita ni. Katanya, dia tak pernah hadkan hari tertentu menyayangi insan kesayangan.

Alahai, itulah silapnya golongan lelaki ni. Lebih-lebih lagi bila dah kahwin. Kononnya mereka tak perlu nak sambut, nak bagi hadiah, nak cakap I love you, semua tu tak perlu. Eh, eh! Mentang-mentang dah dapat bini depan mata, tak perlu dah nak buat macam tu lagi. Nak tanya sikit, Kenapa masa mengurat dia dulu bukan main lagi romantik? Segala-galanya dibuat. Kalau suruh terjun tangki air sekalipun sangguplah.

Perempuan ni bukan hadap sangat dengan hadiah atau duit berguni-guni. Kadang-kadang benda kecil atau simple pun di tambah pula ada elemen surprise sikit, boleh buatkan dia rasa dihargai. Contohnya kalau tengok kereta dia mi-nyak dah kering tu apa salahnya sesekali pergilah isi penuh. Bayangkan kegembiraan dia bila tengok meter minyak dah full saat dia dah lambat nak pergi kerja. Tak perlu nak kena singgah stesen minyak lagi. Confirm malam nanti dia masak sedap-sedap.

Haa cerita pasal masak ni pun satu hal. Apa salahnya bila isteri kau dah penat masak nak bagi kenyang perut korang tu, pujilah sikit. Walaupun hakikatnya terlebih masin ke manis ke, telan sajalah. Atau diam sahaja daripada korang mengkritik. Dalam bab ni, tak perlu cakap jujur pun tak apa. Jagalah perasaan dia yang berusaha gigih untuk masak walaupun penat-penat balik kerja.

Satu lagi, bila dah perut kenyang tu, jangan pejam mata je bila tengok sinki penuh dengan pinggan, kuali periuk yang isteri guna untuk masak tadi. Ringan-ringankanlah tulang sikit cuci apa yang patut.

Tak susah pun kan? Wanita tak minta lebih pun. Mereka mahu dihargai. Bila benda simple macam ni boleh buat, pasti ramai wanita akan bahagia. Selamat Hari Wanita!