Apakah benda yang mengakibatkan anda berasa meluat terhadap kerja anda hari ini? Mari kita analisis senario yang telah menjemuruskan anda ke lembah meraung itu. Kemudian bandingkan keperluan anda untuk terus kekal di tempat kerja anda sekarang.

Metodologi yang digunakan di sini sama sekali bertentangan daripada kaedah analisis imperial atau apa-apa formula saintifik. Sebaliknya kaedah merrepak ini akan lebih menusuk dan menyusuk. Cubalah.

Berikut adalah 13 punca mengapa anda wajar letak jawatan sekarang:

1 Bos berjiwa Hitler

Adolf Hitler adalah ketua Nazi Jerman yang merasakan dia sahaja yang betul, berketurunan dewata dan akan maki hamun kakitangan dari pengawal keselamatan hingga timbalan ketua syarikat. Bahasa yang digunakan adalah kesat dan langsung meruntuhkan jiwa, apatah lagi moral. Ini kerana bos jenis ini hanya mahu keuntungan tanpa mempedulikan faktor manusia.

2 Gaji tidak setaraf 
beban kerja

Anda diberi peranan sebagai pengurus tetapi jawatan sekadar eksekutif. Kenapa tidak dinaikkan ke jawatan itu? Jabatan Sumber Manusia kata perjawatan dibekukan. Syarikat tidak mampu bayar tambahan gaji baharu pengurus sebanyak RM400. Jadi anda buatlah kerja orang lain dengan gaji rendah.

3 Manfaat syarikat daif

Kudrat anda diperah siang dan malam untuk mengejar deadline projek. Habis satu, datang lagi projek baharu. Kemudian anda jatuh sakit. Anda berubat di hospital tetapi syarikat kata hanya bayar RM3,000 iaitu peruntukan setahun setiap pekerja. Jika bil hospital anda lebih RM3,000 maka anda kena bayar sendiri.

4 Junior naik pangkat

Mungkin kebetulan, mungkin tidak. Seorang pegawai yang baharu graduate terus jadi pemangku pengurus, sekali gus menyebabkan anda mesti patuh kepada dia. Tidak mengapa bila dia mengetuai projek, sambil kita jadi tukang tunjuk cara. Tapi bila kita kemuka borang cuti, pegawai junior ini banyak pula soal macam liat hendak luluskan.

5 Gaji lewat dibayar, OT disekat

Pelbagai faktor semasa menyebabkan situasi kewangan syarikat tidak mengalir lancar. Ini kita cuba faham. Lalu kita telan jua pahit bila gaji terlewat dibayar, OT (tuntutan kerja lebih masa) disekat. Yang kita hairan, tatkala kesulitan berlaku, syarikat tetap mewujudkan jawatan baru dan membeli lagi aset-aset.

6 Lantang tidak kena pada tempat

Oleh kerana anda selalu bersuara lantang, maka anda dipindahkan ke jabatan lain. Di sana, anda mengekalkan mutu suara dan terus melahirkan album-album yang menjadi perhatian bos-bos. Lantang tidak salah, asalkan kena pada tempatnya. Sebab yang tidak kena pada tempatnya tidak dipanggil lantang, tetapi lancang.

7 Pembuli besar daripada kalangan senior

Dalam mana-mana organisasi, akan wujud kelompok parasit sebegini. Mereka merasakan diri mereka senior, paling lama berkhidmat, paling banyak berbakti untuk kesinambungan hayat syarikat. Pembulian dilakukan secara terang-terangan seperti tidak dibenar menggunakan peralatan di dalam pantri, mengunci tandas (sila turun ke tingkat bawah berkongsi tandas) dan juga secara diam-diam seperti tidak diberitahu amanat pengerusi, menyebabkan anda terkial-kial bila disoal.

8 Tidak mendapat 
slot letak kereta

Ruang meletak kereta ada 10 petak. Lima dikhaskan untuk pengurusan kanan. Jadi siapa cepat dia dapat. Malangnya, walau bagaimana anda cuba datang cepat, masih juga tidak dapat tempat. Maka anda kena letak kereta di luar, di hujung simpang menyebabkan anda kena berjalan dalam hujan dan panas, dikejar anjing liar.

9 Selalu jadi sasaran masa mesyuarat

Entah kenapa orang lain punya masalah, bos sentiasa menjadikan anda sebagai sasaran. Bagi contoh negatif, mesti nama anda yang naik. Bagi amaran pun, kes anda jadi teladan. Nampak sangat anda sudah dalam senarai hitam bos.

10 Semua kerja tidak 
disukai bos

Anda berjaya membawa masuk hasil RM1 juta untuk syarikat. Sebutir perkataan pun tidak ditutur oleh bos mengenai usaha anda. Anda berjaya menyiapkan projek awal daripada tarikh akhir, bos tetap cari sudut-sudut untuk tembak anda. Serba-serbi tidak kena. Serba-serbi meluat.

11 Pendirian politik tidak selari dengan pendirian syarikat

Syarikat anda bergantung kepada projek kerajaan tetapi pendirian politik anda tidak suka kepada kerajaan. Ini anda paparkan dalam Facebook. Ramai yang menyambung-nyambung tulisan anda. Beratus ribu LIKE. Maklumlah, pernyataan anti-kerajaan amat popular hari ini. Satu hari, anda ditegur kerana ada pihak mendapati tulisan anda dalam Facebook telah menjejaskan usaha syarikat mendapatkan projek. Ini tambahan modal untuk anda marah lagi dalam Facebook. Siapa kata Facebook itu hak milik peribadi yang tiada kaitan dengan syarikat anda bekerja? Anda yakin?

12 Sering ditukar jabatan

Anda tahu anda pekerja yang baik. Patuh kepada arahan dan tidak ada isu disiplin. Tetapi selang setahun, anda akan dipindahkan ke jabatan. Dalam syarikat, satu-satunya jabatan yang belum anda singgah ialah jabatan kawalan keselamatan. Lain-lain semua sudah anda jelajahi. Seolah-olah bos tidak tahu apa sebenarnya bakat anda atau apa keperluan anda di dalam syarikat.

13 Syarikat tidak prihatin

Semasa isteri atau suami anda dimasukkan ke hospital, bos anda tetap bertegas agar anda hadir ke mesyuarat. Alasannya, susah hendak ubah disebabkan sudah diatur lama. Peduli apa faktor ahli keluarga anda masuk hospital, setengah mati atau sudah mati. Yang bos tahu, anda kena datang sekarang.

* Di atas adalah 13 faktor yang diperturunkan dalam Merrepak sebagai alasan terbaik anda untuk berhenti kerja. Anda betul bila merungut kerana perkara-perkara di atas pasti menyakitkan hati sesiapa sahaja dan faham kesulitan yang anda alami. Tetapi sekarang berhenti merungut dan buat apa yang patut anda lakukan. Letak jawatan!