Bagi yang mempunyai ‘Grup WhatsApp’ dapat merasai suasana ini. Mereka akan menerima lebih banyak mesej lebih-lebih lagi jika anggota grup itu terlibat secara aktif atau taksub dengan politik kepartian. Begitu juga dengan mereka yang antikerajaan. Lebih malang lagi jika grup berkenaan yang keanggotaannya melibatkan masyarakat atau kejiranan, surau, masjid dan persatuan penduduk. Walaupun tujuan asal kelahiran grup untuk memaklumkan pelbagai aktiviti berkaitan tetapi dicemari juga dengan isu politik. Tidak di­nafikan setiap orang perlu ambil tahu mengenai politik yang menentukan masa depan sesebuah negara dan penduduknya tetapi biarlah melalui saluran yang ­betul. Tidak semua kelompok dalam masyarakat di satu-satu kawasan minat berpolitik atau menganggotai parti politik. Ada juga yang berada ‘di atas pagar’. Golongan ini akan rasa resah gelisah apabila bahan-bahan berunsur politik dimasukkan. Akhirnya, ada yang meninggalkan grup walaupun yang aktif melayani bahan tidak berfaedah itu hanya tiga empat orang. Merekalah yang ‘menghidupkan’ suasana.

Inilah bentuk mengumpat cara moden yang dulunya dikenali sebagai ‘bawa mulut’ atau ‘banyak mulut’. Hari ini, mulut tidak lagi berkata-kata tetapi jari jemari yang ghairah ‘mengumpat’. Tidak kurang juga anggota grup yang bertahan dan mempunyai kesabaran yang tinggi kerana untuk meninggalkan kumpulan berkenaan atau left akan dianggap tidak mahu bermasyarakat atau tidak bersikap terbuka. Keadaan ini sedikit seba­nyak akan melonggarkan semangat ukhuwah. Selama mana seseorang itu sanggup bersabar apabila tele­fon bimbitnya disumbat pelbagai ‘racun, sampah-sarap yang kotor, busuk lagi membusukkan?’.

Grup WhatsApp akan menjadi medan untuk menyebarkan bahan-bahan sama ada teks, kartun, grafik dan sebagainya yang berbentuk sindiran, gurauan, kecaman, dakwaan, fitnah yang semuanya bermotifkan politik serta bersandarkan ‘dengar cakap’ bukannya sahih. Lebih malang ia dilakukan oleh mereka yang mengakui Melayu Islam sedangkan dalam nada gurauan dan sindiran itu, mereka tanpa sedar atau mungkin sedar telah melakukan ‘kesalahan’ mengguris hati atau mengaibkan orang lain malahan mungkin menjurus ke arah fitnah.

Selak tidak mahu menghukum atau bercakap soal dosa pahala bagi yang menyebarkan perkara-perkara sebegini kerana mereka mempunyai pelbagai alasan untuk mengharuskan malahan meng­halalkan jari jemari mereka menyebarkan sesuatu yang tidak sepatutnya. Mereka rela menjadi tukang cut & paste dan forward.

Bertanyalah kepada diri sendiri sama ada mengolah bahan yang tidak benar dan ditularkan itu mendapat ganjaran pahala? Ada juga yang menyebar gambar dengan mencipta dialog yang meng­aibkan atau kata-kata yang tidak pernah diucapkan. Mereka memberi pelbagai gelaran bukan sahaja kepada individu tetapi jabatan, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan lain yang kemudiannya menjadi bualan dan sebutan ramai. Adakah sebagai pencetus idea yang tidak sihat ini, mereka akan peroleh ganjaran atau ‘saham’ yang besar di sisi agama? Selak pernah menulis mengenai isu media sosial ini di bawah tajuk Hati-hati perangkap dosa ha­limunan di dalam poket.

Sebagai orang Islam yang matang dan belajar sedikit sebanyak ilmu agama melalui ceramah atau kuliah di masjid dan surau saban hari, mereka sewajarnya tahu batasannya. Khutbah Jumaat juga sering membangkitkan isu sebegini tetapi sama ada mereka lena ketika khatib berkhutbah atau ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri’. Memang ada grup yang khusus untuk berpolitik tetapi perlu juga ada batasnya. Politik tidak menghalalkan segala-galanya. Sebagai orang Islam, berhati-hatilah supaya bahan berkenaan tidak membawa fitnah yang merosakkan perpaduan. Ada juga insan yang tidak puas melepaskan semua bahan itu di dalam grup politik. Mereka lebih berminat menjadikan grup lain untuk menyebarkan ‘fahaman’ songsang.

Golongan ini tidak peduli orang lain asalkan mereka dapat ‘melepaskan perasaan’ kepada grup berkenaan. Akhirnya, grup yang sepatutnya membincangkan perkara berkaitan aktiviti masyarakat, surau dan sebagainya dicemari ‘kekotoran’. Sebahagian besar anggota grup sebenarnya tidak berminat menerima bahan-bahan berbentuk ‘najis atau sampah’ ini. Ada juga yang sengaja tidak mahu ‘menyam­but’ atau ‘melayan’ bahan yang disebarkan demi menjaga perpadu­an. Mungkin jika dilayan umpama mencurah air di daun keladi atau mencurah minyak ke dalam api. Terdapat juga dalam kalangan anggota grup yang lebih tahu hukum-hakam berkaitan perkara berunsur fitnah, dakwaan dan sebagainya tetapi hanya berdiam diri. Umpama mereka tahu rokok itu haram tetapi masih merokok. Tidakkah tindakan seperti itu ibarat bersubahat?

Jika di luar, mereka begitu lantang mengkritik mufti atau ulama yang dikatakan bisu berhubung sesuatu isu tetapi sebaliknya di dalam grup yang kecil itu, mereka juga tidak mampu membuat teguran. Pengendali atau admin grup gagal mengawal keadaan dan membiarkan anggotanya tersasar. Tidak timbul soal setiap ahli grup perlu berlapang dada atau anggap saja sebagai ‘angin lalu’ tetapi yang pen­ting, sejauh mana kebenaran atau kesahihan bahan yang dilontarkan untuk perbincangan.

Ada juga yang jika dilihat sepintas lalu nampak seperti ayat biasa tetapi di sebaliknya berat sebelah dan menjurus ke arah fitnah. Maklumat atau jika boleh disebut beri­ta ini diolah dengan gaya yang menarik disertai ‘fakta’ yang sebenarnya auta untuk meyakinkan pembaca atau penerima bahan berkenaan percaya seterusnya dise­barkan pula kepada orang lain. Begitulah mesej berantai era moden ini tersebar.

Dalam hal ini, elok diselak kembali hasrat kerajaan untuk mewujudkan undang-undang khas bagi menangani berita palsu. Diharapkan maksud berita itu diperjelaskan supaya tidak ada pihak mempertikaikannya. Jangan pula maksud berita itu hanya kepada media cetak dan elektronik. Adakah segala ‘berita’ yang setiap saat berlegar di media sosial boleh terlepas daripada undang-undang menangani be­rita palsu? Jika setakat media cetak dan elektronik yang berlesen, maka undang-undang itu tidak akan ke mana dan masyarakat akan terus bermaharajalela di alam maya tanpa rasa bersalah. Ketika itu,kita gagal mendisiplinkan diri, iman semakin nipis, gajet yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan dan mencari keredaan Allah bertukar menjadi alat melakukan perkara negatif. Jelaslah apa yang berlaku hari ini sebagai gambaran bahawa di akhirat nanti, mulut manusia terkunci tetapi tangan dan kaki akan berbi­cara. Hari ini, mungkin mulut tidak lagi mengumpat tetapi peranan itu diambil alih oleh jari jemari.