Di Malaysia, kena hadir ke kedai New Balance menggunakan kaedah siapa cepat dia dapat. Tak kuasa saya hendak beratur. Silap-silap bergaduh, masuk mahkamah. Mengapa tiada kemudahan e-dagang pun saya tidak faham, sedangkan tudung boleh dibeli secara dalam talian dengan begitu mudah.

Itulah kasut sneakers pertama saya miliki sejak lima tahun dan yang pertama berwarna merah. Memang masih kekok berkasut merah. Apakah ini simbol kemewahan? Tidak juga kerana harganya adalah standard harga semasa kasut sepertinya. Tetapi ada lagi kasut berharga lebih RM500 yang orang guna untuk jogging atau marathon!

Dan saya membelinya pun kerana kasut sneakers sedia ada telah saya pakai lima tahun. Betul-betul di hujung hayatnya. Tidak mewahlah.

Suatu waktu dulu, memiliki kasut berjenama seperti Adidas, Nike dan Puma, merupakan langkah menjarakkan diri daripada orang lain, mendekati kelompok 'kasut orang kaya’. Itu mentaliti ketika zaman remaja. Kasut import itu berharga lebih RM200 (sangat mahal pada 1980-an).

Namun satu fenomena telah berlaku. Ia adalah jenama tempatan telah merubah pemikiran ini, bernama Aliph.

Ia mula menjadi perhatian apabila diperagakan oleh band-band rock pada 1980-an terutama band legenda Search. Sesuai pula dengan lagu 'Cinta Buatan Malaysia’ dan kasut Aliph sememangnya dibuat oleh syarikat tempatan iaitu Sime Darby Footwear Sdn. Bhd. yang mengilang kasut di Kulim, Kedah.

Ketika itu, sesiapa yang tidak memiliki Aliph dianggap 'tidak rock’. Terbalik! Poster-poster yang dilihat di dalam majalah URTV dan halaman hiburan, mempamerkan dengan jelas band rock berkasut Aliph. Malah ada yang ditaja khusus.

Perubahan ini sedikit-sebanyak merubah mentaliti sehingga ke alam dewasa bahawa jenama tempatan boleh menyaingi produk import, seperti Aliph jika menepati cita rasa tempatan dan tentunya, Aliph telah membuktikannya. 

Nun di Kuching pada lewat 1980-an, kemungkinan jualan kasut jenama import mengalami penurunan teruk.

Tidak pasti mengapa Aliph tidak lagi wujud hari ini. Mungkin berakhirnya era 'rock kapak’ turut menjadi penamat kepada minat  kasut Aliph. Mungkin juga generasi saya ketika itu sudah melangkah ke alam pekerjaan, yang kena menggunakan sepatu kerja yang betul.   

Khabarnya sekarang, kasut Aliph menjadi bahan koleksi dan dijual di platform e-dagang semahal RM500. Apakah Aliph suatu simbol kemewahan? Tidak pada zaman kemuncaknya, kerana ia dijual pada harga sangat mampu dimiliki. Tidak juga sekarang sebab pengumpul sekarang, hanya segelintir sahaja.

Saya gunakan kasut sebagai analogi kepada persoalan apakah memiliki iPhone simbol kemewahan yang mesti anda miliki? Ini kerana zaman saya belum wujud telefon bergerak, apalagi telefon pintar. Yang ada telefon statik, paling canggih guna kad yang mengurangkan kesukaran mengisi duit syiling tiap kali menelefon jarak jauh.

Saya sedaya-upaya memahami mentaliti generasi sekarang, termasuk anak-anak remaja saya. Sedaya-upaya juga saya cuba serapkan ke dalam minda mereka bahawa tiada keistimewaan luar biasa pada iPhone berbanding telefon buatan Korea atau China, apatah lagi komponen dalam badan iPhone diperbuat di Korea dan China.

Yang luar biasa hanyalah pemasarannya. Begitu kreatif kaedah pemasaran Steve Jobs yang menyasarkan syarikat Apple hanya menghasilkan produk yang bukan biasa-biasa tetapi produk yang orang inginkan. Falsafah ini diterjemahkan dengan begitu jitu dalam penghasilan produk seperti iPod (yang menamatkan riwayat Walkman), misalnya.

Yang lucunya ialah syarikat-syarikat telefon China dan Korea yang mengekori dari belakang, telah memastikan ciri-ciri pada telefon mereka, jika tidak menyamai pasti akan sekurang-kurangnya tidak ketinggalan daripada produk keluaran iPhone.

Ini memberi situasi penawaran produk telefon China dan Korea pada harga lebih rendah berbanding iPhone. Jika dituruti kaedah logik, orang akan membeli produk yang memiliki ciri hampir sama, pada harga lebih murah.

Malangnya, ramai sudah terkesima dengan kaedah pemasaran Steve Jobs bahawa ia tidak sama seperti memiliki produk sebenar iPhone. Jadi, bersedialah membayar untuk sebuah iPhone yang berharga lebih RM4,000 sebuah.

Jadi benarlah iPhone adalah simbol kemewahan. Itulah sebab iPhone juga semakin kerap menjadi satu daripada barang hantaran perkahwinan. Orang yang menerima pasti riang ria, berbanding orang yang kena keluarkan belanja.