Ironinya, apakah tindak-tanduknya mencerminkan sedemikian? Boleh dikatakan apa sahaja perkara berkaitan cara hidup Islam akan dilawannya, kecuali berhubung bantuan kewangan masjid dan surau pada bulan puasa, sekolah agama, pembinaan ‘hospital Islam’ dan beberapa perkara lain.

Bantuan ini dicanangkan dan diberikan publisiti besar-besaran dalam media sosial untuk memberitahu dunia betapa lunaknya mereka terhadap Islam. Saya harap Melayu tidak mudah ditipu dan digula-gulakan. Jika DAP tidak mempedulikan institusi ini, alamat bungkuslah mereka dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mahu tidak mahu, dasar membantu agensi Islam ini diteruskan bagi menunjukkan bahawa mereka tidak anti-Islam. Malahan, lebih banyak diberikan daripada bantuan BN sebelum ini.

Tindakan ini pada masa sama, membolehkan mereka membantu agensi ultra kiasu yang lain atas dasar ‘keadilan’. Jika agensi Islam dibantu, kenapa agensi lain tidak? DAP sedar, membantu agensi Islam wajib kerana termaktub dalam Perlembagaan. Sebab itu, pemimpin mereka sanggup memakai baju kurung, baju Melayu, berselendang, hatta sehingga masuk ke masjid surau untuk menyampaikan bantuan.

Jika mereka begitu lunak dengan Islam, sudah tentu apabila masuk ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, wakil rakyat mereka akan berpakaian sedemikian. Tetapi amat jarang sekali kelihatan. Nampak atau tidak hipokritnya mereka ini. Saya tidak kata DAP seorang, tetapi parti ultra kiasu sewaktu dengannya.

Saya masih tidak dapat lupakan bagaimana pemimpin bukan Cina dalam parti itu yang telah meninggal dunia pernah berkata, langkah mayatnya dahulu jika mahu menegakkan negara Islam! Apakah ini pernyataan tidak anti-Islam?

Begitu juga sindiran seorang pemimpin mereka terhadap Exco Pas di Selangor berkaitan dengan bantahan Konsert Selena Gomez.

“What a joke! The Selangor exco doesn’t order prayer to save Malaysia from the shame brought by 1MDB scandal, but has instead ordered prayer to cancel an upcoming concert in Shah Alam?”

Pada DAP, Islam itu hanya menentang rasuah, hiburan melampau tidak mengapa. Dalam kajian Wan Nasruddin (2006), pemimpin DAP yang ditemubual, Tan Kok Wai berkata masyarakat Cina lebih selesa bekerjasama dengan UMNO berbanding Pas, kerana faktor negara Islam dan persepsi negatif mereka terhadap perjuangan Islam Pas.

Mereka lebih selesa dengan UMNO kerana pengalaman mereka di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO terbukti lebih baik dan tidak menyusahkan mereka. Menurutnya, selagi senario budaya politik yang dicorakkan oleh asas etnik, selagi itulah UMNO akan mendapat tempat dan terus menerajui BN berbanding Pas yang terlampau menonjolkan idea negara Islam.

Masyarakat Cina juga terpaksa menerima UMNO atas dasar UMNO adalah ‘syaitan yang dikenali’ atau ‘the lesser of two evils’ berbanding Pas.

Hari ini, UMNO yang dituduh korup mula cenderung terhadap Islam dalam isu RUU 355. UMNO yang selama ini dikatakan lebih baik daripada Pas mula dimusuhi hanya kerana kecenderungan UMNO terhadap Islam.

Ketika Pengisytiharan Negara Islam oleh UMNO yang dibuat oleh Dr. Mahathir Mohamad pada 29 September 2001, DAP begitu lantang menentang. Pada DAP, Malaysia mesti kekal sebagai sebuah negara sekular.

Ini dibuktikan melalui penentangan yang berterusan oleh DAP terhadap konsep Negara Islam yang dibawa oleh UMNO mahupun pembangkang Pas.

DAP yang majoriti partinya diwakili oleh orang Cina bukan sahaja tidak bersetuju telah membawa perkara ini ke mahkamah. Bagi DAP, Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara sekular. DAP memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1983 sebagai hujah utama untuk menolak sebarang perkataan Negara Islam ke atas Malaysia. “Don’t turn Malaysia into an Islamic State.”

Itulah kempen yang terus-menerus digunakan sebagai senjata dalam kempennya kepada masyarakat Cina. DAP melancarkan kempen, No to 911, No to 929, Yes to 1957 sebagai membantah keras sebarang usaha menubuhkan negara Islam.

Lebih tegas lagi, DAP membuat andaian, sekiranya Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Fuad Donald Stephens dan Datuk G.S. Sundang masih hidup, mereka juga akan turut menyokong kempen tersebut dan menentang konsep negara Islam.

Hebat DAP, seperti PAN juga boleh membaca pemikiran orang yang telah tiada.

Meskipun, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menegaskan bahawa: “Malaysia is not a secular state or theology nation. It is an Islamic nation, governed by Islamic tenets but adhering closely to democratic principles in line with the highest laws of the land, the Federal Constitution” – New Straits Times 28.8.2007.

Kenapa DAP sangat benci kepada negara Islam? Apakah sikap ini tidak anti-Islam? Tidakkah kita sedar dengan perisytiharan tersebut telah menjadikan keadaan bukan Islam menjadi lebih baik?

Amat pelik sekali apabila ada Melayu yang begitu buta menyertai parti anti-Islam ini. Malahan memuji bahawa parti ini adalah terbaik untuknya.

Jika kita mengadakan kuiz untuk memilih Konsert Selena Gomez dengan Kempen Menutup Aurat. Pasti 100 peratus DAP akan memilih Selena Gomez.

Sebab apa, mereka suka yang terbuka daripada yang bertutup.

 

PROF. DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH ialah Felo Utama Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (Inspire), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).