Lalu, semasa menikmati sarapan pagi di sebuah restoran Kopitiam, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu baru-baru ini, terde­ngarlah kepada penulis satu persoalan: Tak kan hampir 30 tahun UMNO masih tidak temui formula untuk merampas Kelantan?

Persoalan ringkas itu menarik untuk dikupas. Pada satu sudut, persoalan itu boleh dilihat positif, iaitu suatu provokasi bagi mencabar dan membangkitkan semangat juang UMNO Kelantan untuk mencari pendekatan yang benar-benar tepat dan praktikal bagi mengalih pilihan rakyat Kelantan daripada Pas kepada UMNO. Apakah aspek taktikal UMNO tidak cukup berkesan? Sampai bila?

Hakikatnya, menjelang setiap kali PRU, UMNO memasang harapan tinggi untuk menawan hati majoriti rakyat Kelantan memilih mereka. Namun, Pas juga terus diberi mandat menerajui negeri itu. Pelbagai teori dan idea dijadikan cagaran, ternyata segalanya tidak banyak membantu.

Bukan sedikit kajian dibuat dan penemuan diperoleh. Se­macam tidak dapat dipastikan pula sejauh mana penemuan itu tepat atau terbangkit juga persoalan: Sejauh mana penemuan itu diguna pakai?

Jika ingin dikaitkan dengan persoalan isu nasional yang mungkin boleh mempengaruhi kecenderungan pengundi, kenapa hanya Kelantan mengalami demikian? Sementara di negeri-negeri lain UMNO boleh bertahan?

Sebaliknya, mantap sangatkah pemerintahan kerajaan Kelantan di bawah Pas sejak 27 tahun itu? Efisien sangatkah kerajaan Pas Kelantan membawa pembangunan dan kemudahan kepada kehidupan rakyat negeri itu?

Sedangkan rakyat Kelantan sendiri tahu, segala pembangunan hanya dicurahkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. Malah, jika tidak dibantu oleh Kerajaan Persekutuan, sukar mencari istilah pembangunan dan kemudahan menjenguk mereka.

Apa yang dicatatkan ini bukan untuk mencari salah sesiapa. Bukan juga untuk menuding jari terhadap kelemahan mana-mana pihak. Dan semestinya, bukan untuk menafikan kesungguhan dan kerja kuat dalam kala­ngan pemimpin dan jentera parti UMNO di negeri itu. Namun, apa yang penting adalah mencari pendekatan dan rumusan yang benar-benar berkesan. Tidak kiralah sama ada pendekatan itu kompleks atau simple.

Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri pernah menerajui UMNO Kelantan selaku Pengerusi Perhubungan. Tempoh jawatan yang ­disandang sekurang-kurangnya dua penggal PRU. Tidak juga pernah menampakkan riak kebangkitan rakyat menyokong UMNO untuk meme­rintah negeri waktu itu.

Dalam mana-mana pilihan raya, yang penting adalah undi, kerana kemenangan hanya dikira atas kelebihan undi biar pun ‘satu’. Sementara nilai undi adalah sama dan serupa. Baik dari tangan ‘orang besar’, mahu pun marhaen.

Juga tidak kira dari tangan penjawat awam, mahu pun petani, nelayan atau buruh kasar. Begitu juga dari tangan golongan dewasa atau muda, belia. Pun tidak kiralah sama ada dari tangan pe­ngundi tempatan atau yang ber­ada di luar Kelantan. Yang pasti, semuanya perlu diambil kira.

UMNO bercadang mengete­ngahkan calon-calon yang berstatus disukai dan diterima rak­yat (likeable candidates) pada PRU-14 tidak lama lagi. Ertinya, bukan calon yang dia sendiri rasa disukai.

Demikian dipetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Pre­siden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat baru-baru ini. Soalnya, jika ini dilaksanakan, apakah kalangan mereka yang menduduki jawatan di peringkat Bahagian termasuk di Kelantan sedia berkompromi dengan seikhlasnya?

Apa pun, yang penting bagi UMNO adalah meneruskan khidmat bakti secara tulus agar rakyat Kelantan akhirnya dapat menghargai dan menterjemahkan sokongan mereka melalui undi. Ini tidak pula bermakna, segala perkhidmatan dan bantuan yang dicurahkan semata-mata untuk meraih undi, tetapi sekurang-kurangnya supaya rakyat negeri itu sedar, demi survival rakyat dan negeri itu mereka perlu me­ngalih pilihan kepada gagasan yang lebih mampu dan berupaya.

Rakyat Kelantan sendiri perlu akui tentang terbatasnya kemampuan kerajaan negeri di bawah Pas menjana kemajuan kepada mereka. Perlu melihat keperluan masa depan yang lebih terjamin. Mereka boleh menilai sendiri tanpa perlu UMNO atau mana-mana pihak ‘melondehkan’ segala kelemahan yang ada.

Dalam masa sama, UMNO tidak perlu menyandarkan harapan tinggi bagi meraih sokongan pengundi hanya atas kecelaruan kalangan Pakatan Harapan.

Pun tidak perlu terlalu yakin dengan mengandaikan jalinan mesra dengan Pas bagi menghasilkan sebarang pakatan. Perlu ingat, politik adalah seni bagi segala kemungkinan. Sebagaimana sering diingatkan oleh pucuk pimpinan parti, jangan ambil mudah atas sebarang kemungkinan.

Namun, jika ada kesediaan Pas bagi menjalin kerjasama atau persefahaman dengan UMNO, itu adalah sesuatu yang amat dialu-alukan. Malah, hal itu menjadi aspirasi sebenar umat Islam dan Melayu di negara ini. Tujuannya untuk menguatkan kuasa politik demi kepentingan semua. Hakikatnya, UMNO tidak pernah mengabaikan kepentingan mana-mana kaum dan anutan agama.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.