Tidak cerdiklah kerajaan jika Belanjawan 2018 ini tidak dijadikan produk politik terbaik menjelang PRU-14 itu. Siapa pun yang memerintah, peluang itu akan tetap disambar. Kita boleh bandingkan bagaimana kerajaan mengeksploitasi peluang ini. Kita ada tiga Kerajaan Negeri yang diperintah oleh parti yang berlainan dengan Kerajaan Persekutuan. Kita akan dapat lihat nanti perlumbaan dalam kalangan mereka mengeksploitasi peluang ini. Maka, isu Belanjawan 2018 akan dipolitikkan bukanlah sesuatu yang wajar diperdebatkan oleh kita semua. Itu sudah pun menjadi lumrah. Yang kita mahu lihat ialah bagaimana atau sejauh mana belanjawan itu nanti benar-benar appealing kepada rakyat.

Pun begitu, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya merangka Belanjawan 2018 untuk dilihat begitu appealing demi meraih undi dan mengabaikan realiti semasa. Setiap peruntukan belanjawan tahunan adalah berdasarkan intipati pelan pembangunan berkala yang digubal setiap lima tahun (Rancangan Malaysia). Dalam konteks Belanjawan 2018 ia adalah antara intipati RMK Kesebelas (2016-2020), dan dipadankan dengan prestasi beberapa tahun sebelumnya, serta dikaitkan dengan unjuran beberapa tahun mendatang. Maknanya, ia bukan satu belanjawan yang dirancang berasingan. Oleh itu, sekalipun kerajaan berhasrat untuk menjadikan Belanjawan 2018 ini semesra yang boleh, ia tidak boleh lari daripada kerangka perancangan yang diguna pakai sekian lama. Belanjawan 2018 wajib berada dalam keharmonian rantaian belanjawan tahun-tahun sebelum dan selepasnya.

Bagi maksud itu, untuk menjangkakan apakah tema, pendekatan dan kandungan Belanjawan 2018 ini, kita toleh ke belakang dan lihat sejauh mana Belanajwan 2016 dan 2017 terutamanya, telah memanfaatkan rakyat dan apakah unjuran ekonomi selepas 2018 dapat dicapai daripada kesinambungan prestasi ekonomi tahun-tahun sebelum ini yang rentaknya dapat diteruskan menerusi Belanjawan 2018.

1.Tema Belanjawan 2018

Saya andaikan tema yang akan digunakan berkisar pada melegakan beban rakyat ekoran peningkatan kos sara hidup yang dilihat kian sukar dikawal, kecuali dua gerakan berasingan ini dilaksanakan serentak; peningkatan kecekapan pengurusan kewangan setiap agensi kerajaan dan peningkatan kecerdikan pengurusan kewangan isi-rumah.

Dengan ura-ura mengatakan Belanjawan 2018 tidak akan membebankan rakyat, pastinya tidak akan berlaku kenaikan terutamanya kadar cukai. Soalnya, bagaimana kerajaan akan meningkatkan perolehan tanpa kenaikan kadar cukai. Ini sesuatu yang kita semua nantikan. Tanpa kenaikan kadar cukai maka kerajaan wajar berpaling kepada kemampuan atau peningkatan kecekapan pengurusan dan kutipan (perolehan) kewangan oleh pelbagai agensi kerajaan.

Di pihak rakyat pula, kita ingin melihat sejauh mana gelombang membina kesedaran rakyat meningkatkan kecerdikan mereka dalam mengurus kewangan isi-rumah. Saya amat tertarik usaha FOMCA semasa penganjuran FOMCA Conference 2017, pada 3 Oktober 2017, di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), yang mana pihak BNM ada menyatakan wawasannya untuk merealisasikan hasrat meningkatkan kecerdikan dan pendidikan kewangan, termasuk dalam pengurusan kewangan isi-rumah.

Maka, bukan peruntukan belanjawan secara langsung saja yang diperlukan dalam Belanjawan 2018, belanjawan bagi pendidikan kewangan termasuk pendidikan kewangan isi-rumah juga perlu diperuntukkan, bagi menghasilkan impak kesejahteraan kewangan dalam jangka masa panjang.

2.Pendekatan Belanjawan 2018

Secara peribadi, saya ingin melihat keberanian kerajaan beralih dari pendekatan pembangunan ekonomi dan kemakmuran dipengaruhi model ekonomi yang berpaksikan accumulative economy yang dijuarai atau dikuasai oleh puak-puak kapitalis, kepada model ekonomi yang berpaksikan distributive economy yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang pesat untuk pastikan pengagihan manfaat ekonomi yang lebih saksama.

Di zaman pemerintahan Rasulullah SAW semasa Baginda di Madinah dulu pun itulah model ekonominya. Kini ekonomi dunia Barat yang diterajui puak-puak kapitalis sudah mula beralih kepada model ekonomi ini. Saya berkesempatan menghadiri Khazanah Megatrend Forum Ke-13 2017 pada 2-3 Oktober 2017 di Mandarin Oriental Kuala Lumpur. Dalam satu sesi pembentangan oleh The DaVita Village dari Amerika Syarikat, saya amat tertarik dengan model ekonomi yang mereka gunakan dan menceritakan pengalaman yang amat mengagumkan. Model Community Economy dengan slogan ‘Community First, Company Second’ yang mereka buktikan berjaya itu adalah salah satu model ekonomi berpaksikan ‘distributive economy’ yang saya maksudkan di sini. Ia tidak jauh dari model ekonomi takwa yang sedang kami di MPM rancangkan pelaksanaannya.

Dengan andaian kerajaan memilih Belanjawan 2018 sebagai Belanjawan Mesra Rakyat, maka Belanjawan 2018 adalah suatu Belanjawan yang manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat secara langsung, bukan sekadar melihat peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi diperingkat makro semata-mata, walhal manfaatnya tidak dapat rakyat rasai secara langsung. Belanjawan Mesra Rakyat yang berpaksikan kepada ‘Distributive Economy’ juga membawa maksud pembabitan dalam pembangunan ekonomi dan kemakmuran diterajui bersama oleh semua kategori dalam komuniti ekonomi, baik puak kapitalis yang menguasai PLC dan MMC, mahupun Agensi Enterprais Awam, GLC, PKS dan koperasi. Ia juga tidak dipolarisasikan diantara Agenda Bumiputera atau Agenda Nasional.

Saya amat mengharapkan kerajaan berhijrah, memilih pendekatan ini dan bersedia memperuntukkan belanjawan besar bagi memperbanyakkan dana, fasiliti dan pra-sarana yang mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi terutama dikalangan PKS dan koperasi. Lebih banyak PKS dan koperasi dapat merasai tempias Belanjawan 2018 ini, akan lebih dirasailah oleh rakyat jelata akan manfaat langsung dari Belanjawan 2018 ini.

3. Kandungan Belanjawan 2018

i) Peningkatan kecekapan pengurusan kewangan oleh agensi kerajaan

Izinkan saya merujuk kepada Laporan BNM bagi Ogos 2017 mengenai prestasi ekonomi dan kewangan semasa. Petunjuk utama yang boleh dikaitkan secara langsung dengan peningkatan kecekapan pengurusan kewangan, terutama oleh agensi-agensi kerajaan dapat kita lihat pada kemampuan Negara mengekang kadar inflasi dan nilai ringgit semasa.

Betul, kadar inflasi sebenar sedikit meningkat disebabkan kenaikan harga minyak global terutamanya, namun kadar inflasi mutlak menguncup dengan adanya usaha-usaha penyelarasan harga beberapa barangan utama. Kadar inflasimutlak pada paras 2.4% adalah sesuatu yang realistic.

Nilai ringgit pula menunjukkann sedikit pengukuhan, walaupun masih belum pulih seperti sebelumnya. Apa pun dengan keupayaan meningkatkan nilai dagangan ekspot dari paras 9.9% bagi Jun 2017 kepada sekitar 30.9% bagi Julai, ia pastinya merupakan satu petanda yang baik. MATRADE misalnya, yang menjadi sekreatriat kepada NEC (National Export Council) hendaklah terus digembeling untuk lebih berperanan.

ii) Penggalakan pertumbuhan ‘distributive economy’

Seperti dinyatakan sebelum ini, saya amat berharap kerajaan dapat menimbangkan penghijrahan paksi pembangunan ekonomi dan kemakmuran kepada paksi ini yang lebih secocok dan mesra dengan model ekonomi taqwa yang menerapkan elemen-elemen yang murni dari perspektif Islam dan universal.

iii) Pembentukan budaya berbelanja berhemah

Konsisten dengan usaha yang dipelopori oleh FOMCA dan BNM itu, saya juga sependapat dengan mereka bahawa sudah tiba masanya kerajaan mengwujudkan gelombang kesedaran terhadap pentingnya pendidikan kewangan dikalangan rakyat agar mereka juga lebih kompeten dalam pengurusan kewangan isi-rumah. Tiada gunanya kerajaan memperuntukkan belanjawan yang mampu mengurangkan beban kewangan rakyat jika rakyat sendiri tidak bina budaya pengurusan kewangan isi-rumah yang cekap.