Ia adalah satu belanjawan seimbang setelah mengambil kira keadaan semasa kewangan negara yang terpaksa diuruskan dengan hutang yang besar, lebih RM1,065 bilion dan juga tunggakan cukai sebanyak RM35.4 bilion yang perlu dipulangkan pada tahun 2019.

Awang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang walaupun pada awalnya menentang pemberian BR1M tetapi akhirnya setelah menjadi kerajaan, mereka dapat menjiwai resah gelisah rakyat di bawah. 

Ini bukti bahawa mereka tidak tepu dengan egonya sahaja malah sanggup mengubah pendirian demi rakyat.

Awang juga menyambut baik keberanian Kerajaan Pakatan Harapan yang sanggup berdepan dengan rakyat kerana gagal mengotakan janji untuk menghapuskan PTPTN dan bayaran tol kerana kerajaan sendiri sedar bahawa ia tidak mampu dilaksanakan.

 Adalah lebih baik menjadi satu kerajaan yang sanggup mengaku kekhilafan dan membetulkannya daripada hanya mahu menjadi kerajaan popular tetapi akhirnya membawa negara ke arah keruntuhan.


LAWAK TAPI BENAR
 

ISTIADAT Pertabalan Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah yang ke-
ISTIADAT Pertabalan Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah yang ke- 29 di Alor Setar baru-baru ini.

Tindakan Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani membuat laporan polis terhadap A Kadir Jasin, Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri untuk disiasat di bawah Akta Hasutan telah menjadi perbualan umum. 

Baru-baru ini, di dalam blognya Kadir  menceritakan mengenai hari pertabalan Sultan Kedah namun dalam masa sama beliau didakwa mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

 Seperti semua tahu, PKR yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Pakatan Harapan  sebelum ini benar-benar mahu menghapuskan Akta Hasutan yang konon-kononnya digunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional dahulu untuk menyekat suara rakyat. Alih-alih hari ini mereka sendiri dengan jelas melihat Akta Hasutan ini menjadi satu keperluan. Lawak tapi benar, tetapi ini yang sedang berlaku. 

Dalam negara yang berbilang kaum dan agama, sememangnya pencegahan kepada suara-suara yang boleh merosakkan keharmonian negara perlu segera dilakukan. Itulah sebenarnya niat murni kenapa Akta Hasutan ini digubal kerajaan terdahulu. 

Mungkin kepimpinan Pakatan Harapan dapat melihat semula keperluan Akta Hasutan ini terutamanya apabila pemimpin-pemimpin mereka sendiri masih berbalah di atas asas sesuatu dasar.


KEKALKAN KEHARMONIAN KAUM

ABDUL HADI AWANG menerima memorandum bantahan berhubung perjanjian ICERD.
ABDUL HADI AWANG menerima memorandum bantahan berhubung perjanjian ICERD. 

Polemik kebimbangan yang melanda khususnya orang Melayu dan Islam pastinya reda setelah mendengar kenyataan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia yang memberi jaminan satu rundingan semua kaum akan dilakukan sebelum Kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan sama ada mahu meratifikasikan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) atau sebaliknya.

Ia juga mententeramkan suasana yang mungkin tidak harmoni antara kaum setelah kenyataan terburu-buru daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy yang memberi gambaran konon-kononnya kerajaan telah pun bersetuju untuk meratifikasikan ICERD. Maksud ICERD ialah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.

Persoalannya hari ini, apakah menteri yang menjaga Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial masih lagi tidak mahu menerima Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelasnya memberi peruntukan kepada hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seperti di bawah Perkara 153? Adakah Perkara 153 yang telah lebih 60 tahun dipraktiskan  dianggap mendiskriminasikan mana-mana kaum di negara ini?

Mungkin P. Waytha Moorthy tidak sedar bahawa Perkara 153 juga selama ini menjadi faktor utama perpaduan antara kaum malah membawa Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963. 

Awang ingin mengingatkan beliau bahawa ini juga merupakan satu persetujuan bersama antara kaum Melayu dengan kaum lain bagi menerima mereka menjadi rakyat Tanah Melayu semasa mahu mencapai kemerdekaan.

 Awang amat berharap P. Waytha Moorthy sebagai menteri yang menjaga Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial dapat merangka pelbagai bentuk program supaya semua kaum dalam negara dapat disatukan bersama daripada cuba menjadi juara kaum-kaum tertentu sahaja.


SIAKAP SENOHONG GELAMA IKAN DURI…


Pendedahan Najib Razak yang beliau sebenarnya tidak tahu sumber sebenar wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya menyebabkan rakyat Malaysia terutamanya ahli UMNO berasa tertipu kerana selama ini mereka menerima kenyataan beliau bahawa wang itu sebenarnya adalah sumbangan daripada Kerajaan Arab Saudi.

Adalah tidak masuk akal yang Najib tidak tahu dari mana sumber sebenar jumlah wang yang besar itu, dan lebih-lebih lagi setelah pendedahan demi pendedahan yang menjuruskan wang itu sebenarnya datang daripada Tanore Finance Corporation. 

Lebih tidak munasabah ialah Najib juga tidak mengambil inisiatif untuk menzahirkan rasa terima kasih secara terus kepada Kerajaan Arab Saudi ataupun kepada Raja Abdullah jika benar wang yang besar ini adalah derma daripada mereka.  

Akhirnya, pembohongan beliau selama ini telah terbongkar dalam wawancara bersama Mary Ann Jolley dalam siaran Al Jazeera baru-baru ini. Najib harus memohon maaf kepada semua ahli UMNO kerana pembohongan inilah sebenarnya yang telah menghilangkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan BN dan akhirnya menyebabkan parti komponen itu hilang kuasa memerintah. 

Awang teringat cerita orang lama yang mengatakan bahawa bukan semua pencuri itu pembohong tetapi mereka yang berbohong itu selalunya akan mencuri.