Sejak kahwin sampai ada cucu, wang nafkah yang diberikan kepada saya boleh dikira dengan jari. Hendak ditanya selalu, takut dia kecil hati.

* Tipah, Perak.

UKE: Seorang isteri berhak menerima nafkah daripada suaminya dan berdosa seorang suami yang gagal memberi nafkah kepada isterinya dengan sempurna. Belanja kawan-kawan tidak wajib tetapi belanja isteri sebagai nafkah adalah wajib. Kalau dengan kawan boleh belanja, kenapa dengan isteri jadi kedekut tangkai jering?

Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik kalian, (adalah) yang sikapnya paling baik terhadap perempuan-perempuan mereka (sendiri)." (Al-Tirmizi).

Saya mencadangkan agar anda menuntut hak anda. Selagi  tidak dituntut, selagi itulah dia lepas tangan. Bila anda buat tidak kisah maka dia akan mengambil mudah perkara itu sebab dia rasa sudah merdeka. 

Mulai sekarang, segala perbelanjaan dapur dari sewa rumah, pinjaman kereta dan sebagainya, biarlah dia yang urus.

Bila anda yang buat semua itu, memang duit dia akan dihabiskan kepada perkara yang bukan tempatnya.

Jika dia tidak membeli perbelanjaan rumah tangga atau tidak cukup sehingga membebankan anda, maka anda boleh ambil duitnya walau tanpa izin dengan syarat duit tersebut adalah untuk kegunaan seisi rumah. 

Minta hak anda jangan tidak minta. Kalau dia marah buat manja-manja sedikit, insya-Allah baiklah selepas itu.

 

Ucap perayaan agama lain 

Di tempat kerja saya ada ramai rakan sekerja bukan Islam. Apabila tiba hari perayaan mereka, saya memberikan ucapan kepada sahabat saya atas dasar keharmonian negara dalam konteks perpaduan kaum. Niat saya sekadar memberikan ucapan dan bukan meraikan perayaan mereka. Salahkah?

* Ayunadia, Chemor.

UKE: Mereka ada perayaan dan orang Islam juga ada perayaan. Biarlah mereka merayakan perayaan mereka dan kita merayakan perayaan kita.

Selalu kita membaca surah al-Kafirun. Bukankah jelas ayat itu menerangkan kedudukan beragama? 

Kalau sekadar mengucapkan selamat bercuti, bergembiralah atau selamat balik kampung berjumpa keluarga, itu tidak menjadi masalah.

Masalahnya ialah ucapan yang membawa kepada persetujuan, menyanjung, meraikan atau turut menyertai perayaan beragama mereka maka itu adalah dilarang.

Selepas ini, kalau ada perayaan mereka dan anda hendak buat ucapan maka ucaplah selamat bercuti, selamat bergembira atau lebih baik dan selamat, anda diam sahaja.


 

Buat upacara agama lain 

Baru-baru ini banyak tular video perempuan Melayu bertudung melakukan upacara seperti memohon hajat di tokong. Apakah hukumnya?

* Naim, Kelantan.

UKE: Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan.

Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

Imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa mendatangi kepada tukang tilik, kemudian bertanya tentang sesuatu maka tidak diterima solatnya selama
40 hari (Riwayat Muslim).

Hukum perbuatan seperti yang ditularkan adalah berdosa besar dan wajib bertaubat dengan taubat nasuha. Ini adalah perkara yang melibatkan akidah dan tidak boleh dibawa main-main walaupun sebagai adegan berlakon sekalipun.

Janganlah campur perkara dan ibadat agama lain, bukannya dapat pahala pun. Bagi mereka agama mereka dan bagi kita agama kita.