Berita kanak-kanak lemas di kolam, sungai dan laut sudah lumrah. Tapi apa persediaan yang kita lakukan untuk mengelakkannya daripada berulang?

Kebetulan minggu ini bermulalah cuti persekolahan selama seminggu. Maka ibu bapa dan penjaga kenalah mengawasi anak-anak daripada bermain tanpa kawalan di kolam renang, laut dan sungai semata-mata mengelak berlaku kejadian lemas.

Entahlah... sama ada saya tidak mendapat maklumat atau memang di sekolah rendah dan menengah harian biasa tidak ada aktiviti kelas renang. Yang mungkin menyediakan peruntukan masa bagi tujuan kelas renang itu hanya di sekolah berasrama penuh yang tertentu atau sekolah swasta sahaja.

Namun di beberapa sekolah menengah agama sudah mengadakan kelas renang untuk pelajarnya. Beruntunglah mereka.

Belum pernah saya mendengar mana-mana sekolah di negara ini yang menganjurkan aktiviti belajar renang untuk murid sekolah rendah dan sekolah menengah. Walhal banyak laporan berita tentang kejadian lemas di laut, sungai, lombong, kolam dan takungan air melibatkan murid sekolah disiarkan di dalam media massa.

Pendekatan kita dalam hal kelas renang jauh berbeza dengan beberapa negara di Eropah. Di sana, tidak kira anak lelaki atau perempuan – diwajibkan mengikuti kelas renang. Kalau tidak ikut serta akan didenda.

Hakikatnya, kebanyakan murid sekolah tidak tahu cara berenang yang betul.

Pelik juga perkara yang begitu penting begini, kita biar ia berlalu begitu sahaja tanpa benar-benar berusaha untuk memperbaikinya. Untuk belajar renang bukan payah pun. Cuma kita tidak berusaha mencari guru atau jurulatihnya. Kenapa berkira tentang kos belajar renang jika kita sedar betapa pentingnya ilmu renang itu.

Bab kemahiran berenang ini mungkin tidak boleh lawan anak-anak nelayan dan budak kampung. Macam-macam gaya renang dan terjunam boleh mereka tunjukkan. Itu kanak-kanak dahulu, sekarang – entahlah ada kemahiran berenang atau tidak, belum pasti.

Sampai sekarang, saya belum lihat lagi satu program kelas renang dicadangkan dimasukkan dalam senarai aktiviti ko-kurikulum ataupun aktiviti wajib di sekolah. Ingatlah renang adalah salah satu kemahiran keselamatan. Kemahiran ini juga sangat berguna apabila tempat tinggal anda dilanda banjir.

Jika difikirkan, kenapa kemahiran ini tidak diajar di sekolah, sedangkan negara kita dikelilingi laut dan di selang-seli dengan banyak sungai. Bukan sukar sangat untuk melaksanakan program renang ini untuk kebaikan anak-anak kita. Kalau tidak ada kolam renang di sekolah, gunalah kemudahan di pusat renang awam.

Di setiap bandar, sudah wujud pusat renang awam dan pihak sekolah boleh me­­nyeliakan program untuk anak muridnya meng­gu­na­kan kemudahan tersebut. Jika tiada kolam renang, minta kerajaan negeri dan Ke­menterian Pendidikan me­nyediakannya.

Kemahiran

Tidak perlu pun melantik guru yang ada diploma ke­mahiran renang – guna sahaja khidmat jurulatih renang yang berkelayakan. Pusat re­nang awam mungkin sudah ada petugas tersebut.

Barangkali cadangan ini hanya senang cakap daripada buat. Maklumlah jika guru terpaksa membawa berpuluh murid dalam satu kelas ke ko­lam renang, haru-biru jadi­nya. Akan timbul pula gesaan supaya guru perlu ada sijil menyelamat dan pandai berenang. Macam-macam isu dan perbalahan akan timbul.

Untuk melaksanakan aktiviti air mungkin sukar bagi pihak sekolah, tetapi perlu dicari jalan supaya ilmu renang wajib ada pada setiap anak-anak kita. Setakat ini tidak ada sekolah yang memiliki kolam renang sendiri kecuali sekolah elit yang tertentu. Kalau ada peruntukan atau sumbangan daripada ibu bapa yang dermawan, hasrat membina kolam renang di sekolah boleh dijayakan.

Barangkali atas alasan kos untuk aktiviti renang ini mahal dan peruntukkan belanjanya besar, termasuk untuk menyewa kolam renang di luar sekolah, maka aktiviti ini tidak diwajibkan di sekolah. Tapi dari semasa ke semasa, kita akan mendengar berita kejadian lemas yang melibatkan anak-anak sekolah.

Apabila diperhatikan dengan teliti, memang tidak ramai orang Melayu Islam kita yang pandai berenang. Mungkin kerana berenang bukan budaya kita untuk menghabiskan masa bersama anak-anak di kolam renang. Kita boleh habiskan masa dengan keluarga dan bermandi-manda di kawasan air terjun dan pantai.

Berbeza dengan kaum Cina, mereka kebanyakannya menghantar anak mereka belajar berenang sejak kecil lagi. Sebenarnya berenang ini mempunyai banyak kelebihannya. Sebab itu Rasulullah SAW sangat menganjurkan tiga sukan iaitu menunggang kuda, memanah dan berenang.

Walau apa-apa ilmu sekalipun, jika kita mahu mendapatkannya, kita harus belajar sama ada secara formal atau tidak formal. Sebab itu kalau kita ada kemampuan, hantarlah anak belajar berenang. Tidak payah tunggu sekolah sediakan.