Sentiasa dapat nombor satu dalam kelas. Kemudian selepas Sijil Rendah Pelajaran (SRP), masuk aliran sains.

Setelah lalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terus ke Kolej Persediaan Pelajar (KPP) di Seksyen 17, Shah Alam. Tidak lama selepas itu terbang ke Amerika Syarikat pula ambil jurusan kejuruteraan.

Dia ni bukan cerdik biasa-biasa tau, tapi ‘cerdik tahap gila’.

Hampir 30 tahun tidak berjumpa, terima kasih kepada Facebook menemukan kami. Tapi yang pelik abang hensem sebutkan di awal tadi ialah kehidupannya tidak seperti yang abang hensem boleh lukiskan.

Paling tinggi abang hensem boleh jangkakan dia akan jadi orang hebat. Setidak-tidaknya bertugas di kementerian atau jadi pegawai tinggi syarikat minyak di Petronas.

Tapi rupa-rupanya selepas pulang ke tanah air sekitar 1994, dia sekadar jadi surirumah sahaja. Semasa pengajian di Amerika Syarikat, katanya, ‘tangkap cinta’, berkahwin dan terus ‘bunting pelamin’.

Cuma semasa bersembang dalam reunion dengan rakan-rakan abang hensem tempoh hari, dia menyuarakan rasa kesal ‘tertinggal’ dek masa lalunya - teringat kelulusan yang dimiliki.

“Bukan salah suami aku, tapi aku sendiri. Dengan kelulusan yang ada, dia (suami) desak aku masuk kerja kerajaan atau setidak-tidaknya Shell, Petronas atau Exxon Mobil masa tu (1990-an) yang gajinya semua maklum waktu tu.

“Tapi aku sayang keluarga aku dengan dua anak kecil pun comel-comel masa tu. Tapi itulah yang berlaku, orang tua aku siang malam ambil over time kerja kilang di Lam Soon tepi highway (lebuh raya persekutuan) PJ (Peta­ling Jaya) untuk pastikan aku dapat tuisyen dan macam-macam lagi, tapi aku persiakan mereka dengan balik dari luar negara, terus berkeluarga.

“Ya lah, nak bagi mereka duit bulan-bulan dan adik-beradik aku sekali, aku tak bekerja. Nak minta suami yang bergaji besar, segan juga nak minta bulan-bulan sebab orang tua dia pun nak bagi juga, adik-adik dia lagi?,” katanya dalam nada cukup kesal kepada lima lagi rakan abang hensem.

Abang hensem terpana sebentar. Abang hensem sendiri pun tak pasti kalau kedudukan abang hensem di pihak rakan perempuan tadi bagaimana?

Nak lepaskan orang yang dicintai, apatah lagi macam suami rakan perempuan tadi, barangkali takut melepas pula. Ya, memang hensem gila, suami rakan abang hensem tu, macam abang hensem juga (hehehe).

Dan kalaulah lepaskan jodoh waktu itu, tak tahu pula akan ketemu siapa.

Waima apapun jodoh, rezeki dan mati ketentuan-Nya. Cuma kita kena berusahalah.

Begitupun, abang hensem ada prinsip pengamatan sendiri dalam merungkai kemelut rakan perempuan tadi.

Berdasarkan pengalaman abang hensem, ramai juga wanita profesional ini tahu hala tuju kehidupannya.

Tapi yang ‘tersasar’ pun banyak juga. Kebanyakan wanita ini tak tahan cabaran dalam mengimbangi rumah tangga dan kerjaya. Pada masa sama fikir jugalah soal kebajikan orang tua (ibu bapa).

Ada kalangan wanita profesional ini sampai mudah sangat berhenti kerja apabila beranak-pinak. Alasannya, susah nak cari pembantu rumah atau nak besarkan sendiri anak-anak. Bukan calang-calang orang. Ada jurutera, akauntan, arkitek dan pengurus dengan gaji lima angka.

Abang hensem tak nafikan ibu yang berpelajaran, berjaya dan bermotivasi boleh jaga dan didik anak-anak de­ngan lebih baik daripada serah bulat-bulat kepada pembantu rumah dan sekolah. Tapi duit pun penting juga dalam keadaan di mana harga segala macam barang dan perkhidmatan tambah naik zaman ni.

Abang hensem bukannya apa, kasihan sangat kepada nasib wanita profesional macam ni.

Kalau nak dikira, antara semua bidang, kehebatan wanita paling terserlah dari segi pencapaian akademik di negara ini apabila kadar kemasukan wanita ke universiti melebihi lelaki.

Pada 2013 sahaja, lebih 86,798 wanita memasuki menara gading berbanding lelaki - meningkat daripada 67,734 orang pada 2009.

Wanita menyerlah dalam bidang sains, matematik dan pengkomputeran yang kebiasaannya didominasi lelaki di negara lain. Wah! hebat orang perempuan ni ya.

Abang hensem minta maaf kalau terkasar bahasa. Tapi dalam dunia mencabar hari ini yang kesenangan mesti dicari untuk kebahagiaan rumah tangga khususnya pendidikan anak-anak, orang perempuan yang belajar tinggi mesti agresif cari nafkah sama.

Tak bimbang ke jadi surirumah sepenuh masa, terperuk tanpa lakukan sesuatu? Sekurang-kurangnya buatlah business online.

Nanti kalau suami balik lewat, sudah fikir yang bukan-bukan pula.

Takut-takut pula jadi macam yang akak cun coretkan minggu lalu sampaikan rakan sekerjanya cepat-cepat pa­dam gambar selfie isterinya yang dihantar ke WhatsApp setiap pagi tanpa lihat terlebih dahulu gambar itu.

Apa petandanya tu? Tepuk dada, tanya selera. Hanya jauhari mengenal manikam.