Sekiranya seseorang itu tidak menghargai diri sendiri, dia sebenarnya tidak bersyukur kepada Allah SWT yang mencipta dan menjadikannya.

Pertama, sikap tidak menghargai diri sendiri itu akan menjadikan seseorang tiada tujuan hidup iaitu tidak fokus kepada menjaga fizikal, minda, spiritual, silaturahim, dan kewangan. Orang yang menghargai diri sendiri akan menjaga fizikalnya agar sihat dengan cara memilih makanan yang sihat bukan makanan yang sedap.

Orang yang menghargai diri juga akan menjaga minda dengan cara menambahkan ilmu dan memilih bahan bacaan dan bahan tontonan, bukan sibuk mencari berita tetapi sibuk mencari ilmu. Seterusnya, orang yang menghargai diri akan menjaga spiritualnya dengan cara meningkatkan keimanan dan keyakinan kepada Allah. Orang yang menghargai diri sendiri juga memelihara silaturahim dengan cara berniat, setiap apa yang dilakukan hanyalah dengan niat mencari reda Allah, bukan mengharap penghargaan manusia. Ikhlas dan berlemah-lembut dengan orang. Jangan bersikap kasar dengan orang lain.

Kedua, sikap tidak menghargai diri sendiri juga akan menimbulkan perasaan rendah diri, iaitu memandang diri ini tidak setanding dengan orang lain. Sehingga kita mengambil sikap tidak mahu mencuba malah mengalah sebelum berjuang. Menjadikan diri seseorang itu tiada keyakinan diri sedangkan setiap manusia yang dilahirkan mempunyai kelebihan masing-masing. Ramai orang tidak sedar akan hal ini yang mana setiap kelebihan yang ada akan melengkapkan kekurangan diri orang lain dan kekurangan kita pula dilengkapkan oleh kelebihan orang lain.

Ketiga, sikap tidak menghargai diri sendiri juga menjadikan seseorang itu tidak mengutamakan diri sendiri. Hal ini membuatkan kita sanggup menolak peluang untuk mengecap kejayaan kerana mendahulukan orang lain. Kita akan bersikap ‘tunggu dan lihat’, ‘tidak mengapa’ atau ‘nanti dahulu’. Sebab itulah jika berlaku kecemasan dalam kapal terbang, penumpang sentiasa diingatkan supaya mendapatkan oksigen untuk diri sendiri dahulu, bukan memberi oksigen itu kepada orang lain. Setelah diletakkan corong pernafasan pada hidung kita, baru diletakkan corong topeng oksigen pada hidung orang lain. Seumpama itulah hidup kita. Sebelum menolong orang lain, tolonglah diri sendiri dahulu. Jadikan ini sebagai keutamaan. Orang yang tidak ada keutamaan bermakna dia tidak ada kehidupan dan kualiti hidup. Jadi apabila keutamaan telah tentukan, maka kita harus melaksanakannya dan perlukan disiplin. Itu dipanggil pengurusan diri sendiri.

Keempat, sikap tidak menghargai diri sendiri akan menjadikan seseorang itu tidak tahu menyayangi dan membahagiakan orang lain. Hanya orang yang sayangi dirinya akan menyayangi orang lain dan hanya orang yang bahagia yang mampu membahagiakan orang lain. Sikap terhadap diri sendiri ini akan menentukan harga diri selain membentuk imej diri, sama ada positif atau negatif. Orang yang berimej positif senang didampingi orang berbanding dengan orang yang hidupnya stres, tidak tenang dan murung. Perbaiki kelemahan diri untuk penampilan diri yang positif. Ketidakyakinan diri dan kerisauan mampu diatasi dengan menjadikan diri seseorang itu tegas tetapi bukan seorang yang agresif. Orang yang tegas, menghormati hak sendiri dan menghormati hak orang lain. Orang yang agresif mengutamakan hak sendiri dan mengetepikan hak orang lain manakala orang yang pasif mengetepikan hak sendiri dan mengutamakan hak orang lain.