Bagaimanapun ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan dan halangan terbesar ialah ego manusia. Ia hanya dapat dilakukan apabila wujud suasana dengan kebenaran ilmiah itu menjadi hasrat dan matlamat semua pihak kerana itulah tujuan yang ingin dicapai daripada perdebatan itu, bukan kemenangan sesiapa.

Perdebatan yang diadakan semata-mata untuk me­nunjukkan kehebatan diri dan menjatuhkan lawan hukumnya haram. Maka dua istilah berbeza telah digunakan bagi merujuk kepada dua jenis perdebatan di atas, iaitu munazarah bagi yang pertama dan jadal bagi yang kedua.

Tamadun Islam seperti diakui kegemilangannya dalam sejarah manusia itu diasaskan kepada budaya ilmu yang mantap. Maka, kita dapati budaya berfikir dan menyelidik berkembang subur dan pesat dan perdebatan ilmiah menjadi suatu lumrah.

Bahkan, sejarah menunjukkan bahawa para pemimpin negara sendiri turut terkehadapan dalam menganjurkan perdebatan-perdebatan yang penting, dan ada di antara mereka turut terlibat sebagai pendebat.

Khalifah Abbasiyyah, al-Mahdi (169/785 Masihi) dikhabarkan telah menggunakan kaedah perdebatan secara meluas sama ada untuk tujuan politik mahupun agama. Pada zaman beliau, perdebatan sudah menjadi satu lumrah dan yang diperdebatkan itu tidak terhad kepada persoalan teologi, bahkan juga persoalan-persoalan lain dalam bidang hukum dan perundangan, falsafah, bahasa, dan kesusasteraan.

Atas arahan beliaulah, maka buku pertama diterjemahkan daripada bahasa Greek ke bahasa Arab adalah sebuah karya Aristotle tentang perdebatan (dialectic) iaitu To­pics. Beliau melihat kepentingan ilmu perdebatan dikuasai oleh umat Islam demi menghadapi cabaran dari kaum Yahudi, Nasrani, Majusi dan kaum-kaum yang menyeleweng sebagaimana yang beliau sendiri tunjukkan dalam perdebatannya dengan Patriarch Timothy.

Lama-kelamaan kaedah perdebatan telah menyerap setiap disiplin ilmiah pada zaman itu dan para sarjana Islam sendiri khususnya dari kalangan kaum mutakallimun mula menulis kitab-kitab yang menggariskan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang digunakan dalam perdebatan ilmiah khususnya yang berkaitan dengan ilmu kalam.

Langkah ini telah diikuti pula oleh para fuqaha’ memandangkan banyak sekali berlaku perdebatan dalam kalangan mereka khususnya dalam perkara khilafiyyat. Akhirnya, pada kurun ke-14, suatu disiplin baharu yang dinamakan Adab al-bahth wa al-munazarah telah terhasil dan empat kurun kemudian ia menjadi mata pelajaran penting yang diajarkan di madrasah-madrasah dalam Empayar Uthmaniyah.

Ia merupakan ilmu alat yang dipelajari bukan semata-mata untuk menguasai kaedah perdebatan, akan tetapi yang lebih utama adalah untuk memahami tulisan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu yang ditulis menurut kaedah itu. Ia sebenarnya merupakan suatu garis panduan untuk para penyelidik bagi membolehkan mereka memahami dan memanfaatkan perdebatan yang berlaku dalam pelbagai bidang ilmu itu.

Ternyata, sehingga kurun ke-18 ilmu-ilmu akliah masih berkembang pesat, ditulis dan diajarkan secara meluas di pusat-pusat pengajian di dunia Islam dan ini menurut Khaled El-Rouayheb, seorang pakar sejarah keilmuan Islam dari Harvard menunjukkan bahawa kepercayaan umum bahawa pemikiran Islam mengalami zaman kemerosotan dan kebekuan selepas kurun ke-11 adalah jauh dari kebenaran.

Akan tetapi itulah yang dicanangkan selama ini oleh kaum modenis bahawa umat Islam hari ini telah menjadi jumud gara-gara taqlid dan penutupan pintu ijtihad. Bagaimanapun, kajian-kajian yang dibuat oleh para penyelidik semasa tidak menyokong pandangan itu, bahkan menyanggahinya.

Kajian terhadap koleksi-koleksi manuskrip yang dihasilkan di antara kurun ke-12 hingga ke-18 tidak me­nunjukkan kemerosotan dari segi penghasilan karya-karya dalam disiplin-disiplin yang bersifat rasional seperti logik, kalam, dan falsafah, sehingga mewajarkan kesimpulan bahawa umat Islam sedang menempuh zaman ke­gelapan pemikiran.

Penghasilan karya-karya yang berbentuk sharah (hurai­an) dan hashiah (nota penjelasan) sering dijadikan hujah bahawa umat Islam sudah kekeringan idea dan tidak lagi mampu menghasilkan idea baharu.

Mereka kini hanya mampu mengitar semula idea-idea lama dalam bentuk-bentuk yang disebutkan itu. Namun ini hanyalah tuduhan yang tidak diasaskan kepada penelitian terhadap karya-karya berkenaan.

Sharah dan hashiah bukanlah hasil kitar semula semata-mata kerana ia memerlukan keahlian yang tinggi dalam menilai dan menghakimi perdebatan yang berlangsung dalam disiplin yang berkenaan.

Ia adalah suatu tradisi yang telah melalui suatu evolusi yang panjang dan tradisi itu telah kita lupakan semata-mata kerana kita menyangka ia tidak bernilai. Kerana kejahilan itu, tanpa disedari kita mengulangi perdebatan lama di mana kita mengulangi kesilapan sama.

PENULIS dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).