Komitmen kerajaan jelas terlihat apabila berterusan memastikan ekonomi negara kekal stabil dan kebajikan rakyat tetap terjaga walaupun dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga dengan pembangunan yang telah dikecapi pada hari ini.

Bagi keseluruhan 2017, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus iaitu lebih tinggi berbanding 4.2 peratus yang dicatatkan pada 2016. Ini bermakna Malaysia ­berada dalam kalangan negara yang melakar pertumbuhan ter­tinggi di dunia tahun lalu.

Umpama kata “yang benar ditidakkan, rahmat Tuhan dilarikan”, walaupun pelbagai usaha dijalankan bagi meningkatkan ekonomi negara, masih terdapat siulan-siulan, yang menyatakan negara kita bakal muflis. Namun apa yang penting, dasar-dasar ekonomi Malaysia terus mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) turut memuji kejayaan Malaysia dalam memperbaharui dan mempelbagaikan ekonomi, sehingga telah me­nyumbang kepada pertumbuhan berterusan negara meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran luar. Tambahan lagi, ia turut disokong dengan penarafan oleh badan penarafan antarabangsa seperti Fitch.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk melihat keadaan ekonomi negara berdasarkan kadar hutang semata-mata. Ia haruslah dilihat bersama dengan kadar pendapatan negara. Bagi 2017, hutang negara adalah 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan masih berada di bawah paras had yang ditetapkan kerajaan iaitu 55 peratus ­daripada KDNK. Nisbah hutang kerajaan berbanding KDNK Malaysia dalam setahun adalah lebih baik berbanding negara maju ­seperti Jepun pada paras 250.40 peratus, Singapura pada paras 112.00 peratus dan India pada 69.5 peratus.

Hakikatnya, jika dibandingkan dengan hutang negara pada 1997 dengan 2017, hutang pada 1997 adalah 103 peratus dengan saiz ekonomi negara berjumlah RM418.7 bilion manakala hutang negara pada 2017 sebanyak 53.2 peratus berbanding saiz ekonomi negara telah meningkat tiga kali ganda iaitu kepada RM1.3 trilion.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) juga antara faktor peningkatan pertumbuhan ekonomi negara. BAV Consulting and Wharton School of the University of Pennsylvania selaku firma strategik jenama global juga menyatakan Malaysia sebagai negara pilihan terbaik untuk menjadi destinasi FDI global berdasarkan ranking Negara Terbaik Untuk Dilabur 2017.

Ini mencerminkan keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai tapak untuk usaha perniagaan mereka. Ini dapat dilihat melalui 14 perjanjian bernilai RM144 bilion yang ditandatangani oleh Malaysia pada November 2016 dan sembilan lagi projek bernilai RM31.3 bilion yang ditandatangani pada Mei 2017.

Sambutan menggalakkan daripada pelabur asing dapat dilihat apabila 80 peratus daripada kawasan di bahagian utara Tun Razak Exchange (TRX) dibeli oleh pelabur dan pelaburan daripada Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) sebanyak RM31 bilion yang telah dimuktamadkan baru-baru ini. Ini ditambah dengan kerjasama operasi antara Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd. dengan pengeluar kereta terkenal dunia, Groupe PSA dari Perancis. Ia bakal menjadikan kilang Naza Automative Manufacturing (NAM) di Gurun, Kedah sebagai hab pengeluaran pertama bagi Groupe PSA di ASEAN.

Seiring dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf ekonomi negara ke arah yang lebih baik, kerajaan hari ini juga cakna kepada kebajikan rakyat. Inisiatif bagi menangani kos sara hidup rakyat terus menjadi bidang keutamaan bagi kerajaan. Saya turut mengesyorkan kerajaan agar merangka satu instrumen atau pelan baharu demi memastikan penerima BR1M berjaya menambahkan pendapatan isi rumah mereka.

Hari ini kita berada di ambang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Sabtu lalu, BN mengumumkan manifesto PRU-14 yang menggariskan 364 inisiatif yang merupakan satu dokumen komprehensif dengan agenda sangat jelas yang mampu dilaksanakan, memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang. Manifesto itu menjanjikan program menghebatkan Malaysia yang akan membawa negara bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang mengalami lonjakan tinggi.

BN mengumumkan inisiatif-inisiatif di peringkat nasional dan negeri selain membuat pengumuman istimewa kenaikan BR1M iaitu bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah daripada RM1,200 kepada RM2,000; isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 (daripada RM900 kepada RM1,500) serta individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah (daripada RM450 kepada RM600).

Dua kategori baharu penerima BR1M turut diumumkan bagi isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 yang akan mendapat RM700 serta bantuan sekali beri RM1,500 kepada anak-anak penerima BR1M yang berjaya mendaftar di pusat pengajian tinggi.

Manifesto kali ini menawarkan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, darjat dan warna kulit untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik sehingga ke anak cucu.

Justeru rakyat perlu membuat pilihan bijak dengan memilih semula BN - sebuah parti berpengalaman luas, yang mempunyai rekod pencapaian cemerlang, telah teruji dengan pelbagai rintangan serta mempunyai misi dan perancangan jelas. Kini masa untuk mengekalkan BN di Putrajaya dan mengembalikan Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor kepada BN.

DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Setiausaha Biro KPI dan Penaziran Politik UMNO Malaysia.