Paling menarik kita tidak perlu keluar berpeluh untuk jumpa kawan atau girlfriend kerana semua di online sahaja. Yang paling untung manusia terkaya dunia Jeff Bezos yang juga pemilik Amazon, tauke Alibaba, Jack Ma selain firma gergasi Facebook dan Google. Akibatnya, kita seolah-olah tidak boleh mengawal lagi perubahan ini yang mampu berlaku dengan menekan hujung jari.

Kalau sudah begitu keadaannya apa lagi yang tinggal bagi dunia persuratkhabaran dan media arus perdana jika tidak berubah mengikut masa dan kehendak masyarakat.

Akhbar seperti Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, milik syarikat Utusan Melayu antara yang paling terkesan dengan perkembangan mencabar sebegini. Seperti mana media yang lain, nasib semua sama sahaja baik di Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Dubai mahupun Sweden.

Industri dunia akhbar turun mendadak dan semakin tenat dan begitu juga nasib Utusan Melayu. Tetapi ia tidak bermakna perjuangan akhbar ini terkubur kerana insya-Allah akan ada peluang dan sinar untuk ia kekal berjasa.

Hakikatnya asal usul dan sejarah Utusan Melayu adalah asas yang menjadi semangat para petugas di akhbar ini. Sejak dahulu lagi para wartawan dan ramai petugas lain yang mewujudkan watak dalam pemberitaan yang berlaku di sekeliling masyarakat.

Dengan kisah suka duka melangkau perjuangan menyedarkan orang Melayu tentang penghinaan yang diterima mereka di Singapura, perjuangan Malayan Union, penubuhan UMNO, hinggalah mencapai kemerdekaan, akhbar ini umpama roh yang meniupkan semangat dalam menyatu padukan orang Melayu dari semua kelompok keturunan, kedaerahan dan kenegerian dalam menyedarkan dan mempertahan hak dan kedudukan mereka di tanah air ini.

Dan kemerdekaan adalah penanda aras dalam menyuarakan pandangan tentang apa orang Melayu Islam mahukan di negara ini.

Sejarah ini tidak boleh diubah kerana Utusan Melayu adalah pencatat segala kejadian yang berlaku kerana itu adalah peranannya selain rencananya yang segar, berkualiti dan membakar semangat.

Namun cubaan menguasai syarikat ini oleh pihak pemerintah iaitu UMNO, menyebabkan berlakunya mogok terburuk dalam sejarah persuratkhabaran negara selain meninggalkan kesan yang sangat mendalam. Penguasaan ini kerana dikatakan suara utama akhbar ini terlalu cenderung kepada sosialis dan berhaluan kiri.

Peristiwa pergolakan pada 1961 itu yang naratifnya perjuangan antara dua pihak, memenangkan pemerintah maka sejarah tercipta. Oleh itu haluan akhbar ini turut berubah mengikut acuan pemerintah. Akhbar ini terus melalui kegemilangannya sesuai dengan kehendak kapitalisme yang mahu menzahirkan keuntungan. Tetapi pada masa sama tetap utuh mempertahankan hak orang Melayu dan Islam serta berjuang demi rakyat semua kaum.

Dan taktik ini yang digunakan oleh Perdana Menteri keempat Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun dan juga Perdana Menteri ketujuh)dalam menyebarkan kefahaman kepada rakyat melakui media. Segala dasar yang dipimpinnya disebarkan melalui media massa terutama Utusan Melayu.

Malangnya ia semakin terpesong akibat digunakan oleh parti pemerintah sebagai medium menyebar fahaman dan kehendak kepimpinan parti dan bukan lagi wadah penghubung dengan rakyat.

Ia jelas dalam pertembungan kepemimpinan UMNO akibat Team A dan Team B berikutan pemilihan UMNO 1987 dan kemudian berlanjutan hingga penubuhan Parti Semangat 46. Ini diparahkan lagi ketika kemuncak kemelut Anwar vs Mahathir berikutan pemecatan bekas timbalan perdana menteri itu.

Sejak itu peranan media semakin berubah dan akhbar semakin dikawal dan pemberitaan tentang orang tertentu dihalang. Keadaan ini berterusan dan akhbar ini semakin terkongkong antara menyatakan kebenaran atau terpaksa melindunginya kerana arahan seseorang atau kepentingan tertentu.

Kebebasan akhbar ini sendiri hampir dibunuh akibat sikap angkuh dan ketamakan pihak pemerintah. Akibatnya kelompongan itu kini diisi oleh medium online dan portal yang tumbuh bagai cendawan. Kini Utusan Melayu dikatakan semakin pudar akibat perubahan zaman.

Malah digelar dan dicemuh pula dengan pelbagai kata nista dan menghina tetapi hakikatnya tugasan dan berita tetap jalan seperti biasa. Seperti mana kesibukan dan para wartawan dan petugas akhbar dahagakan berita pada awal penubuhannya di Queen Street pada 1938, semangat para petugasnya kini masih sama baraannya.

Perubahan

Tetapi kini perubahan zaman menuntut Utusan Melayu berubah. Tetapi antara tuntutan perubahan dan kehendak politik itu satu cerita lain. Akhbar keluaran Utusan Melayu kini perlu melalui satu perubahan dan transformasi yang akan menentukan masa depannya.

Kebebasan media yang semakin berselirat dan adakalanya melampau selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU lepas menuntut akhbar ini kembali menjadi dirinya yang asal sebagai pejuang rakyat.

Islam dan Melayu adalah matlamat dalam perjuangannya membela rakyat, namun bukan Islam tidak perlu bimbang kerana sejarah membuktikan tawar menawar politik banyak membawa keharmonian antara kaum. Keadaan itu semakin jelas dengan suasana politik semasa.

Maka tidak ada sesiapa yang perlu bimbang jika ada wartawan akhbar ini cenderung berhaluan kiri, atau ultra Melayu dan totok UMNO, mahupun menyokong Pas dan RUU 355. Malah biarkan kalau ada menyokong Nurul Izzah kerana kecantikan mahupun perjuangannya atau percaya DAP sebagai dalang yang memainkan peranan merendahkan martabat Islam.

Hakikatnya sejarah Utusan Melayu ini pernah menyaksikan sidang pengarangnya baran dan bengis sambil asap rokok berkepul di sekeliling tetapi berdedikasi dalam melaksanakan berita dan tugasan diberi pada awal penubuhannya.

Sejarah juga menyaksikan golongan kiri dan sosialis, pejuang Melayu, ahli politik, sasterawan, cenderung kapitalis atau pejuang hak wanita boleh duduk semeja menyiapkan berita dan berkongsi maklumat.

Kini dalam dunia moden mereka tetap sama, menjalankan tugas dengan kepakaran dan maklumat dimiliki untuk membongkar berita, jenayah atau isu semasa. Sama ada mencatat sejarah negara ketika sidang media diumumkan ataupun melalui penulisan jurnal dan rencana kritis, ia suatu kelebihan dan kerjaya profesional yang kurang ada pada berita online atau portal atau apa saja yang semakin banyak di luar sana.

Dan kebebasan dalam menyatakan pandangan dan berita sebenar perlu dijalankan dengan beretika supaya pembaca akan melihat dan menilai Utusan Melayu ini sebagai tepat, pantas dan berintegriti. Walau siapa pun pemiliknya tunjang kebebasan media itu perlu dilaksanakan secara berhemah oleh akhbar ini.

Kita tidak mahu hidup atau matinya akhbar ini hanya disebabkan oleh segelintir pihak yang masih merasakan diri berkuasa dan tidak mahu berubah. Sedangkan orang ramai melihat Utusan Melayu perlu berubah lebih menyeluruh sekali gus membantu memulihkan imej pemiliknya kerana membenarkan akhbar ini bebas, tidak berpihak, tidak mengampu, kritis dan integriti.

Hakikatnya suasana politik sudah berubah selepas PRU lalu dan akhbar ini serta pemiliknya perlu menerima kenyataan banyak perkara dan perubahan yang perlu dilakukan.

Dan kebebasan bersuara sebagai media untuk rakyat serta tidak dikongkong atau ditunggang sesuka hati, mampu menjadi pintu kepada perubahan yang sangat segera perlu dilakukan. Mungkin ada hikmah ulang tahun entiti yang berkait rapat dengan Melayu dan Islam ini disambut pada Mei.

Malah amat bersesuaian juga dengan tarikh tertubuhnya Utusan Melayu pada 29 Mei 1938 dengan Hari Wartawan Kebangsaan. Selamat ulang tahun yang ke-80 untuk Utusan Melayu dan juga selamat memilih pemimpin baharu kepada semua ahli UMNO.