Kejadian itu berlaku di Hentian Bas Jalan Duta. Terus saja ia mengingatkan pengalaman saya menaiki bas dari Union Station di Washington DC menuju ke New York pada November lalu. Tiket berharga AS$26 (RM71.60) dibeli secara dalam talian. Saya tidak perlu pun mencetak tiket kerana terdapat pilihan iaitu sekadar tunjukkan pemeriksa tiket menerusi paparan e-mel pada telefon pintar.

Bila direnung sejenak kedua-dua insiden ini, pasti akan ada yang mencemuh. Mana kita dapat lawan dengan negara maju! Bab ini saya akan bantah.

Sebenarnya, kaedah e-tiket sudah diperkenalkan setahun dua ini di negara kita, bermula dengan e-tiket penerbangan Malaysia Airlines (MAS). Membeli secara dalam talian, nombor tiket dihantar ke e-mel dan urusan periksa masuk di lapangan terbang hanya dengan menunjukkan skrin telefon pintar atau komputer tablet.

Kaedah ini sangat menyenangkan. Pernah dulu perasaan dilanda cemas kronik bila tiket dari agensi tidak sampai-sampai di pejabat, walhal masa pesawat berlepas hanya tinggal empat jam. Sekarang ini, anda tidak perlu tahu pun kewujudan tiket. Anda hanya perlu pergi ke mesin khas di kaunter, taip nama anda atau nombor kad pengenalan.

Penggunaan aplikasi dalam talian di Amerika Syarikat (AS) memang mengagumkan. Begitu meluasnya penggunaan Internet di negara kuasa dunia itu amat membantu pengunjung, terutama kelompok yang diistilahkan sebagai Free Independent Traveller (FIT) atau pengembara/ pelancong bebas

Istilah ini mula menjadi trend pada 2010 yang secara umumnya merujuk kepada pasangan atau sekumpulan teman tidak melebihi 10 orang yang mengembara atau melancong tanpa mengikuti kaedah tradisional pakej percutian yang dianjurkan oleh agensi pelancongan. Mereka memilih kaedah melancong mengikut pilihan atau kesukaan sendiri.

Semasa mengunjungi New York tempoh hari, saya tidak sedar pengembaraan saya menepati istilah FIT. Ini adalah kerana saya bergantung sepenuhnya kepada Internet. Perkara pertama ialah memastikan pengangkutan. Dari Washington DC, cara paling murah dan mudah ialah jalan darat. Selain bas, saya ada pilihan untuk menaiki kereta api. Tetapi harganya jauh lebih mahal daripada bas. Sangat mudah mencari laman web bas di Internet. Taip ‘bus DC to NYC’, terus terpapar laman web untuk anda pilih.

Yang kedua, memilih hotel. Di sini saya guna laman web Agoda.com. Secara ringkasnya laman web ini sangat mudah digunakan. Selain menawarkan harga istimewa hotel-hotel yang tersenarai dalam Agoda.com, ia juga memberi peluang anda memilih hotel mengikut bajet dan kelas hotel daripada lima bintang hingga tiada bintang, atau lokasi dekat dengan pusat tarikan atau stesen subway.

Pembayaran juga mudah dilaksanakan dan anda boleh mengumpul mata bagi setiap Ringgit yang dibelanjakan. Selama enam hari, saya tinggal di hotel murah di Chinatown dan malam terakhir, berpindah ke hotel empat bintang di 37th Street. Ini sebagai persediaan ketidakselesaan penerbangan selama 25 jam pulang ke Kuala Lumpur.

Mata

Menggunakan mata yang dikumpul dalam akaun Agoda.com, saya tempah bilik empat bintang. Ditolak mata yang terkumpul, saya hanya membayar RM195.30 untuk bilik yang siap dengan dapur (boleh masak air panas dan mi segera!).

Tanpa terikat dengan atur cara sesiapa seperti agensi pelancongan yang ketat dan adakalanya singgah di lokasi yang bosan, saya bangun ikut waktu sendiri dan berjalan ke destinasi yang saya pilih. Tiada muzium langsung dalam senarai.

Bila membuat kajian mengenai pelancongan, barulah saya sedar wujud trend pengembara bebas (FIT) dalam industri pelancongan dunia. Ada konsep backpackers tetapi ia merujuk kepada pengembara yang berjalan membawa beg keliling bandar dan bermalam di hotel murah yang ditemui. FIT lebih merujuk kepada pelancong yang mengatur segala-galanya mengikut cita rasa sendiri dan kemampuan, tanpa perlu bertukar-tukar hotel atau mengusung beg.

Pengembara FIT harus rajin mencari maklumat sebelum dan semasa melancong di Internet. Misalnya mengenai cuaca. Jika sudah mengetahui sesebuah negara itu sedang dilanda musim salji sejuk beku sekarang, elok elakkan. Pakai baju thermal pun tidak bererti jika anda tidak dapat ke mana-mana disebabkan salji yang tebal atau sejuk yang mencengkam. Boleh pergi, jika ada urusan perniagaan atau ‘agenda’ lain.

Laman-laman web seperti forum Thorn Tree dalam Lonely Planet atau GoNOMAD.com misalnya, mewakili perbezaan yang ketara antara pengembara FIT dengan kaedah melancong tradisional.

Ramai juga FIT mengguna pakai laman sosial seperti Facebook, Twitter, Foursquare dan sebagainya bagi mendapatkan maklumat pengembaraan. Ia bertepatan dengan konsep FIT iaitu berkongsi idea dan pengetahuan mengenai destinasi yang dilawati. Bukan berbangga semata-mata di Facebook dapat menjejak kaki di Beijing atau Bandung.

Trend FIT ini tidak dianggap oleh pengendali agensi pelancongan sebagai ancaman, sebaliknya mereka menyediakan pula kemudahan bagi FIT.

Ringkasnya, pengembara FIT adalah sektor yang semakin penting kepada industri pelancongan. Kerajaan, lembaga pelancongan serantau dan sektor awam yang terlibat kini cuba menarik golongan ini. Mengapa? Ia adalah prinsip asas ekonomi. FIT membelanjakan wang mereka. Mereka akan makan, tidur, minum kopi, menonton teater atau bola sepak dan membeli-belah di 15 lokasi berbeza dan menyalurkan wang mereka dalam pelbagai saluran dan lokasi.

Bandingkan pula kumpulan pelancong seramai 15 orang yang dikendalikan oleh agensi pelancongan khusus di negara A di mana pengendali itu memiliki ekuiti utama, tetapi lawatan mereka ke negara B pula menjadi kurang menyengat kerana pengendali agensi mengawal begitu banyak komponen dalam rantaian industri.

Harapannya Malaysia sudah bersedia menerima FIT. Kita ada Internet berkelajuan tinggi dan produk pelancongan yang boleh dibelek sekilas menekan butang di laman web.