Sebagaimana selalu, bulan pua­sa menjadi amat sinonim de­ngan makanan, pesta makan dan pembaziran. Pada bulan ini di mana-mana sahaja ada pasar atau bazar Ramadan. Di sinilah, tempat di mana segala jenis ‘tok nenek’ makanan muncul. Pada bulan ini pelbagai jenis makanan yang rare atau hampir pupus dan sukar dicari pada hari-hari biasa menjelma. Namakan apa sahaja juadah, lauk-pauk warisan atau makanan tradisi nenek moyang, pasti akan ada.

Media sosial menjadi penyebar maklumat paling pantas. Rujuk sahaja Facebook, Instagram dan Twitter kalau ingin tahu bazar Ramadan mana yang ada menjual juadah berbuka puasa sedemikian.

Bulan penuh rahmat ini juga memberi peluang kepada para pengusaha restoran, kedai makan dan hotel-hotel untuk mengambil bahagian dalam mempromosikan pakej berbuka puasa masing-masing. Walaupun dikatakan ke­adaan ekonomi tidak begitu memberangsangkan, berdasarkan kepada pengalaman tahun lepas, bufet Ramadan tetap mendapat sambutan. Untuk tahun ini, tidak dapatlah dipastikan adakah sambutan masih sama atau se­dikit perlahan.

Kalau pada sebelah malam masjid dan surau meriah dengan keha­diran jemaah yang melimpah ruah untuk berbuka puasa, solat berjemaah dan kemudian menunaikan solat sunat tarawih, pasar atau bazar Ramadan pula berpe­ranan besar dalam menghidupkan suasana berpuasa pada siang hari. Meskipun ‘kemeriahan’ di masjid atau surau biasa bertahan untuk seminggu atau dua minggu pertama berpuasa sahaja, pasar Ramadan meriah sehingga ke ma­lam raya.

Kebanyakan yang berniaga di sini adalah penjaja kecil atau peniaga segera yang cuba mencari pendapatan tambahan sebagai persediaan menyambut hari raya Aidilfitri. Kemunculan ‘me­dan selera’ segera ini banyak membantu orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa terutama bagi mereka yang bekerja.

Cuma tidak dapat dipastikan dalam keadaan kos sara hidup naik mendadak setiap hari dengan harga bahan mentah dan barang keperluan lain terus mening­kat, apakah para peniaga masih ber­upaya untuk menjual pada harga lama seperti pada tahun-tahun lepas. Penulis percaya kebanyakan harga juadah makanan sudah tidak sama lagi seperti Ramadan yang lalu.

Para pengguna perlu bersedia dengan kemungkinan ini. Satu cara bagi menangani situasi ini ialah berbelanja secara berhemat iaitu membeli apa yang patut dan mengikut keperluan sahaja dan tidak perlu berlebih-lebih. Kalaupun mahu berlebih-lebih, lakukan untuk golongan atau kumpulan yang memerlukan. Sebagai contoh, membeli lebih untuk disumbangkan kepada masjid, surau atau rumah-rumah anak yatim. Hampir kebanyakan masjid atau surau menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma kepada orang ramai yang memilih untuk berbuka di situ.

Pada bulan ini juga naluri atau kecenderungan berbelanja untuk berbuka puasa lebih daripada biasa juga meningkat. Semua jenis makanan dan minuman yang dipandang kelihatan sedap dan membuka selera. Maklumlah seharian menahan lapar dan dahaga. Maka membelilah ma­sing-masing dengan kuantiti luar biasa sedangkan keupayaan untuk menghabiskan juadah yang dibeli adalah kecil sahaja. Yang selebihnya terbiar dan dibazirkan. Inilah yang menyebabkan bulan puasa seringkali dikaitkan dengan bulan pembaziran!

Walau bagaimanapun apa yang berlaku ini tidak sepatutnya dijadikan modal oleh segelintir pejuang ‘antipembaziran’ yang menjalankan kempen di media-media sosial melarang para pengguna berbelanja atau memboikot pasar Ramadan! Para peniaga di situ hanyalah sekumpulan manusia yang mencari rezeki halal bagi menambah pendapatan. Berdasarkan kepada budaya berbelanja rakyat Malaysia pada bulan puasa, penulis yakin kempen-kempen sedemikian tidak akan berjaya.

Dalam pada itu pula, para peniaga atau penjaja terlibat mesti menjual juadah berbuka puasa yang berkualiti. Maksudnya makanan yang dijual ada kualiti dari segi rasa, kebersihan serta harga. Perkara ini perlu diberi perhatian dan menjadi keutamaan kerana aspek tersebut kerapkali diabaikan sebelum ini. Banyak kes makanan yang dibeli tidak berupaya bertahan lama, menjelang moreh semuanya sudah basi. Maklumlah sebahagian makanan tersebut ada yang di masak dari awal pagi atau malam sebelum itu sedangkan waktu berniaga pula hanya bermula pada pukul 3 atau 4 petang. Cuaca panas sepanjang bulan puasa tahun ini turut menjadi salah satu faktor kualiti makanan mudah rosak.

Makanan yang sedap, bersih dan dijual dengan harga berpatutan sudah pasti dapat menambat hati para pembeli. Percayalah kualiti juadah yang dijual boleh menarik pengguna untuk terus berbelanja. Janganlah hanya ke­rana pasar Ramadan ini muncul setahun sekali dan menjadi tumpuan ramai, para peniaga atau penjaja berniaga secara sambil lewa atau sekadar mahu mencari untung segera. Ada banyak juga kes, makanan atau juadah yang dijual mudah basi sehingga menyebabkan keracunan makanan. Inilah perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh para penjaja di bazar Ramadan.

Perlu diingat dalam era ledakan teknologi maklumat dan ‘keganasan’ media sosial sekarang ini, sekali pengguna terkena, tularnya boleh melata ke seluruh dunia!