Di samping membuat bayangan minda yang disertai dengan usaha, doa ialah satu formula yang amat penting bagi mencapai matlamat kehidupan. Contohnya jika kita mempunyai matlamat ingin menjadi kaya, maka amalkan doa-doa untuk mendapat kemurahan rezeki dan menjemput rezeki datang kepada kita. Berdoalah untuk memohon limpahan rezeki dan mendapat rezeki yang halal seperti berikut, yang diterjemahkan daripada bahasa Arab bermaksud, "Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki-Mu yang halal (hingga terhindar daripada yang haram). Kayakanlah aku dengan anugerah-Mu (hingga aku tidak meminta-minta) kepada yang lain selain-Mu."

Apabila kita bermatlamat ingin menjadi kaya, tentulah bayangan minda kita menggambarkan wang ringgit yang banyak, rumah yang besar, kereta yang mewah dan harta benda yang banyak yang kita harapkan menjadi rezeki kita. Sebenarnya rezeki tidak semestinya berbentuk fizikal yang memberikan imej mewah dan kaya seperti yang disebutkan di atas. Rezeki sebenar apa-apa sahaja yang kita nikmati dengan izin Allah atas sifat Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang, Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui. Sedangkan nikmat yang kita nikmati itu juga menjadi idaman orang lain, tetapi Allah memberi rezeki nikmat itu kepada kita. Oleh itu bagaimana cara untuk menjemput rezeki adalah seperti berikut. Pertama, utamakan solat, kerjakan solat wajib tepat pada waktunya, di samping mengerjakan solat-solat sunat seperti tahajjud, dhuha dan solat sunat taubat. Perbanyakan berdoa zikir dan beristighfar. Banyakkan mendoakan orang lain, banyakkan sedekah, membaca al-Quran dan membaca Asma 'ul-Husna. Lipat gandakan usaha dan tekun berusaha bagi menambahkan rezeki. Jadilah orang yang bersyukur dan bertakwa.

Sesungguhnya rezeki itu milik Allah SWT. Semakin kita ikhlas memberi kepada orang lain, insya-Allah, Dia memudahkan rezeki kita. Hal ini kerana itulah tanda-tanda keberkatan rezeki. Ada empat tanda rezeki yang berkat. Pertama, hati semakin dekat dengan Allah dan jiwa tenang. Iaitu semakin Allah memberikan kita rezeki kita semakin kuat beribadah. Bukan setelah Allah menaikkan pangkat kita menjadi semakin sibuk, solat pun tinggal atau dilambat-lambatkan. Kalau biasa setiap hari membaca al-Quran, setelah dinaikan pangkat tidak sempat mengaji lagi, kerana terlalu sibuk dengan tugas baharu. Kedua, kita mudah memberi sedekah dan menunaikan zakat. Semakin banyak rezeki semakin bermurah hati. Orang yang sebenar-benarnya terpenjara ialah mereka yang terpenjara oleh nafsu dan berdada sempit, sayang untuk menghulurkan rezekinya biarpun rezekinya luas, bagai laut yang terbentang di dada bumi.

Ketiga, keluarga harmoni dan anak-anak cemerlang. Rezeki tidak semestinya diukur dengan gaji yang besar dan duit yang banyak. Kita selalu jumpa orang yang gajinya kecil anaknya ramai, tetapi hidupnya bahagia sekeluarga dan anak-anak semuanya berjaya, kerana rezekinya berkat. Sebaliknya kita biasa jumpa, keluarga yang kaya raya tetapi anak-anaknya tidak menjadi dari segi akademik dan keluarga berantakan. Keempat, sentiasa berasa cukup dan bersyukur. Tidak membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Muslim bertakwa sentiasa mempunyai kredibiliti dan berprestasi tinggi dengan menjaga hati supaya bersih.

Jika kita masih susah menggapai segala impian kita terutama dalam aspek kemurahan rezeki ini - renung, audit dan muhasabah diri, di mana kesilapan kita hingga mengapa rezeki kita begitu susah hendak masuk dalam kehidupan kita. Biasanya disebabkan oleh beberapa perkara. Pertama, gemar mengungkit-ungkit pemberian kita. Kedua, asyik mencanang perihal duit yang tidak cukup untuk urusan itu dan ini, hingga di mulut kita selalu terkeluar kata, tidak ada duit. Sedangkan kata-kata itu satu doa. Setiap yang kita ucapkan, kita fikirkan dan bisikkan dalam hati kita akan menjadi kenyataan. Yakni kita akan dapat apa yang kita fokuskan, kalau kita fokuskan kesusahan maka kesusahanlah yang kita akan dapat, dan sebaliknya.

Ketiga, berkira untuk bersedekah walaupun seringgit, sedangkan bersedekah itu pembuka rezeki dan penolak musibah. Keempat, berkira untuk membantu memudahkan hal yang baik. Kelima, banyak membuat maksiat dan kemungkaran. Keenam, tidak bersyukur dan banyak mengeluh.

Jom audit diri. Jika kita percaya kita bijak, kita akan berfikir dan bertindak bijak. Jika kita percaya kita baik, kita akan berfikir dan bertindak baik. Kita akan jadi sebagaimana yang kita fikir, dan kita akan bertindak sebagaimana kita fikir. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak."

PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD

ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical

Sciences (AUCMS), Pengarah dan Pakar Mata, Prof. Muhaya Eye and

Lasik Centre, dan Felo Dakwah YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia)

Fanpage: facebook Prof Dr Muhaya

[email protected]

www.assohwah.com

www.resetminda.com