Kehadiran para perwakilan dari seluruh negara yang bersiap sedia dengan usul masing-masing sudah tentu bakal menghangatkan dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Tidak terke­cuali ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuka gelanggang persidangan pada Khamis nanti.

Walaupun banyak pihak cuba mengaitkan UMNO dengan isu-isu negatif melalui serangan persepsi kepada rakyat, namun tidak boleh dinafikan bahawa parti terbesar orang Melayu ini telah menempa pelbagai sejarah terutama dalam usaha mengekang kerakusan Bri­tish yang mahu mengambil alih kuasa raja-raja Melayu pada 1946, sekali gus memberi nikmat kepada semua pihak.

UMNO tidaklah tertubuh hasil daripada perpecahan sebalik­nya parti ini memulakan langkah menyatukan bangsa Melayu untuk menentang kerakusan penjajah. UMNO juga tidak diwujudkan ber­asaskan perebutan kuasa untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Sebaliknya parti ini lahir kerana mempunyai hasrat murni untuk berkhidmat kepada anak bangsa yang sebelum ini dinafikan kepen­tingan sosial oleh pemerintah Bri­tish dan penjajah sebelumnya.

Paling penting, UMNO tidak memerlukan ahli goyah pendirian sebaliknya mahukan mereka yang taat dan setia kepada parti. Maka sebab itulah UMNO memilih Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat sebagai judul lagu keramat parti mereka. Justeru, tidak hairanlah sehingga ke saat ini UMNO terus menjadi parti dominan bukan sahaja untuk bangsa Melayu tetapi kepada Malaysia umumnya.

Walaupun ada pihak yang cuba melabelkan UMNO sebuah parti rasis tetapi keterbukaan UMNO untuk berganding bahu bersama parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC sejak 1953 adalah fakta bagi menyangkal dakwaan sempit segelintir pihak.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 adalah selekoh terakhir sebelum bertemu garisan penamat iaitu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Tidak dinafikan, pentas perhimpunan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para perwakilan untuk melontarkan idea dan pandangan yang tertumpu kepada persiapan menghadapi ‘ibu peperangan’ yang bakal tiba.

Perhimpunan yang bakal berlangsung nanti perlu memberikan hasil kepada perwakilan yang hadir agar ia boleh diterjemahkan di kawasan masing-masing bagi memastikan status-quo BN sebagai kerajaan terus kekal. Selain dijadikan medan untuk berbahas berkaitan isu-isu kepentingan rakyat, perhimpunan penting ini perlu juga diberi penekanan kepada isu perpaduan masyarakat yang dilihat semakin hari kelihatan semakin longgar.

Selain itu, perwakilan UMNO harus turut serta berbincang tentang isu keselamatan dan kedaulatan negara termasuk ancaman Daesh, pelarian Rohingnya, masalah sosial remaja dan beberapa lagi yang dilihat memberi kesan kepada Malaysia sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Mungkin tidak menjadi kesalahan jika pentas perhimpunan kali ini juga, para perwakilan melahirkan satu manifestasi sokongan terhadap kerajaan berkaitan permohonan semula Malaysia untuk membuat semakan berhubung keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Puteh seperti mana perkara ini pernah disindir Perdana Menteri Singapura dalam Konvensyen parti PAP.

Melihat kepada faktor ge­nerasi muda yang bakal mengambil alih kepimpinan negara pada masa depan, perhimpunan ini perlulah mengambil serta dalam membincangkan perkara-perkara untuk kelompok Gen X dan Y ini. Perwakilan khususnya sayap Pemuda dan Puteri perlu mencari jalan keluar kepada masalah yang sedang dihadapi oleh segelintir anak muda sama ada di bandar mahupun luar bandar. Ini terutama dalam usaha mengurangkan jumlah pengangguran yang dikatakan separuh daripada kadar 3.5 peratus adalah golongan belia.

Perancangan Transformasi Nasional 2050 bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 perlu dibahaskan sebaik mungkin di dalam persidangan nanti agar UMNO dilihat bukan sahaja parti hebat dari segi sejarahnya, tetapi turut mempunyai pandangan masa depan yang begitu realistik dan luar jangka bertepatan dengan slogan UMNO, Dulu, Kini dan Selamanya.

Mungkin antara perwakilan UMNO boleh mencadangkan agar bidang pengajian di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi perlu dirangka mengikut keperluan bentuk pekerjaan masa depan.

Walaupun kebiasaannya usul-usul yang bakal dibahaskan setiap kali dalam persidangan UMNO ini lebih tertumpu kepada isu ekonomi, politik, agama dan pendidikan, namun ruang dan peluang untuk bercakap di himpunan terbesar Melayu serta menjadi tumpuan umum ini perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap perwakilan untuk membawa usul yang bersifat holistik, realistik dan futuristik sejajar dengan slogan transformasi yang sering dilaungkan oleh presiden UMNO itu sendiri.

Pada masa sama, UMNO jangan berhenti untuk terus menyeru seluruh ahli, bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia untuk te­rus berpolitik secara matang dan menolak politik kebencian yang boleh memberi impak negatif kepada pembangunan negara pada masa akan datang. Selamat bersidang para perwakilan.

PENULIS ialah Penolong Pengarah Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri Negeri Perak.