Ya, saya pulang ke rumah pada malam itu selepas habis kerja dengan fikiran yang penat. Sampai rumah anak-anak masih belum tidur. Yalah, ini bukan zaman anak-anak tidur awal yang kita boleh diam-diam masuk ke dalam bilik mereka, merenung wajah mereka sedang tidur dan membetulkan selimut mereka. Sukar hendak buat begitu sekarang, terutamanya kepada anak-anak remaja. Sekarang anak-anak tidur lewat. Sebabnya, leka dengan komputer dan telefon pintar.

Memang betul, mereka sedang sibuk menghadap permainan dalam komputer. Menyedari saya sudah balik, anak menegur - “Ibu sudah makan ke?” Tiba-tiba saja pertanyaan itu, melenyapkan segala kekusutan dalam kepala. Selera yang tersekat dari siang hari tadi, tiba-tiba umpama pintu yang terbuka luas. Terus saja lapar. Mencari pula nasi di malam-malam buta. Memang betullah. Anak-anak penawar segala rasa resah.

Tidakkah anda pun pernah rasa begitu? Melihat wajah dan suara anak-anak, segala masalah bagaikan terbang pergi entah ke mana. Kalau tak pernah rasa, rugilah.

Tetapi entahlah, hantu jenis apa yang merasuk sesetengah ibu bapa. Itu pun kalau layak dipanggil ibu bapa. Anak dipukul setengah mati. Ada pula, bila balik rumah kelaparan, anak menghabiskan makanan, digasaknya cukup-cukup budak itu. Disimbah air panas. Sudah jadi macam budak-budak pula.

Itu, kalaulah ada gua berhampiran, mahu rasanya lari masuk ke dalam gua agaknya dan berharap pintu gua itu tertutup macam kisah legenda masyarakat Melayu, “Batu Belah Batu Bertangkup’ sebab kempunan telur ikan tembakul.

Janganlah diikutkan sangat cerita ini. Merajuk atau marah dengan anak-anak kecil yang lapar pula, mana perginya akal orang dewasa? Apalah budak-budak tahu ketika mereka lapar, tentu mereka tahu mahu makan saja. Dan sebagai ibu bapa sudah pasti kita yang pulang dari kerja keletihan akan berasa gembira apabila melihat anak tidur nyenyak selepas perut mereka kenyang.

Tetapi segelintir ibu bapa tidak begitu, bila ada masalah di tempat kerja, anak ­dija­dikan mangsa. Anak-anak hidup dalam ketakutan. Tubuh sen­tiasa sakit jadi belasahan. Luka lama belum sembuh, luka baru pula dapat. Luka dalam hati mereka pula, hanya Tuhan tahu macam mana parahnya. Kesedihannya, siapa yang pujuk? Terus hilang begitukah?

Begitu juga apabila marah pada suami atau isteri, anak yang jadi mangsa. Dipukul, dicubit atau ditendang budak kecil itu. Orang kata macam peribahasa Melayu sindir anak, pukul menantu. Maksudnya, marah kepada orang lain, tetapi orang lain pula yang kena. Haruskah ditukar peribahasa mengikut peredaran masa, sindir suami, pukul anak, atau sindir isteri pukul anak! Aduhai.

Kita telah mendengar macam-macam kes pukul dan dera anak dalam media sosial atau televisyen di negara ini dan luar negara yang kebanyakan sebabnya remeh temeh sahaja. Ada yang pukul anak sebab tak jawab panggilan telefon, anak rosak­kan telefon pintar, anak patahkan lipstik ibu dan macam-macam lagi. Yang amat mendukacitakan disebabkan hal-hal kecil ini, ada yang berakhir dengan kematian.

Ini semua kerana tidak dapat mengawal rasa marah. Yang hairannya, dengan orang lain, bukan darah daging sendiri, boleh sahaja mengawal emosi dan panas baran. Elok saja bercakap baik-baik. Sungguh berbudi bahasa. Tetapi apabila pulang ke rumah, jadi macam singa lapar pula.

Kata seorang rakan, yang sering kita lihat golongan ibu bapa yang mendera anak ini, tahap pendidikannya rendah. Bukan belajar tinggi hingga ke peringkat universiti atau kolej. Sebab itu, hilang pertimbangan. Tidak dapat berfikir dengan baik. Benda-benda yang remeh pun dia ambil kira cukup besar.

Saya kurang setuju. Mak bapa kita pun dulu kebanyakan bukannya ber­pe­lajaran tinggi. Ada yang bersekolah sampai darjah tiga atau enam saja. Tak berse­kolah pun ada. Elok saja mereka membesarkan anak-anak. Cukuplah sifat sampai kita dewasa. Masih ada tangan, kaki, telinga semua cukup. Taklah kedengaran dulu cerita-cerita penderaan anak.

Orang tua-tua dahulu, boleh tahan juga garangnya. Kadang-kadang, apa saja tercapai oleh tangan, kalau sebelah itu ada pokok ubi kayu, ketika marah, dipatahnya pokok itu dijadikan rotan, kena balun dululah dengan kayu ubi sebelum dapat makan ubinya.

Tahukah kesannya memu­kul secara melampau dan mendera anak? Selain mereka hilang kepercayaan kepada ibu bapa sendiri, boleh bersikap agresif atau hilang keyakinan diri, sampai tua mereka akan ingat momen-momen yang amat menyedihkan itu, jika umur panjang. Jangan hidup macam pokok pisang. Ada jantung, tapi tiada hati.

Memikirkan kesakitan dan ketakutan yang terpaksa dirasai anak-anak akibat penderaan, saya cukup sebak. Fikiran kembali serabut. Saya berhenti di sini.