Beliau akan memanggil dalam kalangan khalayak naik ke pentas untuk berinteraksi langsung dengannya. Orang itu kemudiannya akan dihadiahkan dengan sebuah basikal tetapi sebelum itu perlu menjawab soalan berkaitan negara.

Ada mesej yang mahu disampaikan daripada hadiah basikal itu. Basikal, menurut Jokowi, ada elemen kemajuan, kelajuan dan kecepatan dihasilkan daripada usaha sendiri, gerak tubuh sendiri, tanpa bantuan enjin atau dorongan tenaga orang lain.

Seberapa cepat kita ingin sampai ke tujuan tergantung seberapa keras kita mengayuh. Berbasikal itu gambaran kebersamaan daripada anggota badan yang beragam bentuk, fungsi dan kedudukannya. Dengan mengayuh basikal seluruh anggota badan bergerak secara harmoni.

Jika jalan berbukit, badan sedikit membongkok. Jika berbelok ke kanan atau ke kiri, badan ikut menyelaraskan. Satu yang tetap, titik berat penunggang basikal sentiasa di tengah-tengah.

Berbasikal itu untuk semua orang, semua usia, kaum dan peradaban. Tambahan pula berbaskal itu sihat, baik untuk alam sekitar, kata Jokowi.

Itulah juga yang dilakukan semasa merasmikan Hari Wartawan Indonesia 2018 (HPN 2018) di kota Padang, Jumaat lalu Jokowi menjemput wartawan naik ke pentas. Banyak yang mengangkat tangan. Yang dipilih ialah seorang wartawan dari Surabaya yang memperkenalkan dirinya sebagai Muhamad Yusri Raja Agam. Tindakan spontan Jokowi yang bersahaja dan popular sebagai pemimpin rakyat itu mendapat tepukan dan sorakan kira-kira 3,000 tetamu termasuk 35 delegasi Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswamj) diketuai Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Setelah naik ke pentas, Jokowi menawarkan mereka bertukar peranan. Jokowi sebagai wartawan manakala Yusri menjadi Presiden. Maka berlakulah dialog yang sebenarnya luahan perasaannya terhadap sikap beberapa media terhadap pemerintahannya. Bukan sekadar Jokowi, Presiden sebelum ini juga sering mengeluh dengan sikap media republik ini yang sering keterlaluan dalam menyampaikan pandangan mereka.

Di tangan Jokowi yang selalu tenang dan gemar berjenaka, beliau mahu nenyampaikan pesan bahawa menjadi Presiden Indonesia itu bukanlah mudah. Walaupun jengkel, Jokowi tetap mengambil sikap bersahabat dengan media yang dianggap tiang keempat demokrasi Indonesia.

Begitupun terlalu sukar untuk mengawal media di negara ini. Jumlahnya terlalu banyak - kira-kira 47,000 media cetak, televisyen, radio dan dalam talian. Daripada jumlah itu, 2,000 ialah media cetak, 674 radio, 523 televisyen termasuk lokal.

Terdapat lebih 43,000 media dalam talian dan hanya 168 diiktiraf sebagai profesional yang disahkan oleh pihak Dewan Wartawan Indonesia. Dewan pula setakat ini telah mendaftar 14,000 wartawan.

Begitupun perang terhadap berita palsu yang diisytiharkan semasa HPN 2017 di Ambon, Maluku disifatkan banyak pihak telah banyak memberikan kesan positif. Dewan Wartawan Indonesia dengan dibantu banyak pihak termasuk Persatuan Wartawan Indonesia telah melakukan banyak aktiviti termasuk kempen perangi berita palsu dalam kalangan masyarakat.

Berita palsu turut disentuh oleh Jokowi dalam ucapannya. Beliau masih bimbang dengan kesan berita palsu terutama semasa pemilihan ketua daerah tahun ini dan pemilihan Presiden tahun depan.

Sekali lagi walaupun menghadapi cabaran besar, media arus perdana perlu terus bertahan dengan senjata menyampaikan berita benar dan berfakta selain seimbang. Jokowi percaya, dengan cara itu media arus perdana akan terus wujud dan semakin penting peranannya dalam menyampaikan berita benar dan aspirasi masyarakat. Banyak cerita yang boleh dikongsi pada HPN 2018 yang bertemakan Meminang Keindahan di Padang Kesejahteraan ini. Kota Minang memang benar-benar telah sejahtera.

Kesengsaraan gempa bumi 2009 yang menggorbankan 1,117 jiwa seakan-akan telah dilupakan. Gempa bumi ini pun tidak disebut-sebut lagi. Sempena sambutan HPN 2018 ini pihak pemerintah turut mengiklankan kejayaan menyiapkan bangunan baharu menggantikan bangunan kerajaan yang rosak akibat gempa.

Bukan sekadar meminang keindahan, ada kumpulan wartawan kanan melencong ke tempat lain untuk tujuan meminang juga. Cuma misi mereka tidak berakhir dengan khabar gembira.


Presiden Jokowi bertukar peranan menjadi wartawan

Wartawan Yusri (W): Baik, saudara wartawan. Apa yang mau ditanyakan?

Presiden Jokowi (J): Sudah bagus tuh. Saya saja tidak berani, yakin. Kalau Presiden bagus. Begini, bapak punya menteri 34, menteri mana menurut bapak yang anggap paling penting?

W: Sebenarnya semua penting, tapi yang paling penting menteri yang bisa (boleh) membuat Presidennya nyaman.

J: Bererti menteri yang bapak anggap paling penting yang mana? To the point saja. Jangan berputar gitu. Saya belum bisa tulis.

W: Menteri yang uruskan wartawan.

J: Bererti yang paling penting uruskan wartawan. Menteri apa itu?

W: Menteri Komunikasi dan Informatika (Menkominfo).

J: Kenapa?

W: Supaya informasi bisa disampaikan mulai dari kota sampai ke desa. Semua menerima informasi.

J: Ini jawaban politis? (Para hadirin kembali tertawa)

W: Termasuk.

J: Saya seringkali sebal, jengkel pertanyaan awal itu enak-enak. Tapi begitu di tengah pertanyaannya sulit-sulit. Sekarang saya tanya kepada Presiden, media apa paling menyebalkan? Yang bapak sering jengkel.

W: Media abal-abal (akhbar nyamuk).

J: Di Istana tidak ada media abal-abal. Medianya rasmi semuanya tapi banyak yang menyebalkan. Sampaikan apa adanya. Yang mana Pak? Entah TV atau media cetak atau online.

W: Yang paling menyebalkan (ialah) Rakyat Merdeka.

J: Bapak tahu perasaan saya. Sama persis. (Para hadirin kembali tertawa). Kenapa? Kenapa Rakyat Merdeka?

W: Kalau Rakyat Merdeka itu pemimpinnya kan susah.

J: Pemimpinnya susah maksudnya?

W: Kalau rakyat merdeka semua, padahal ada peraturan pemerintah.

J: Ya terima kasih. Beri dia (Yusri) sepeda (basikal) satu.