Sejak itu, saya anggarkan sudah beribu-ribu rakyat kita dan rakyat asing terkorban di atas jalan raya Malaysia.

Jumlah besar membabitkan korban sekali gus biasanya membabitkan bas. Bas ekspres kita boleh dianggap sebagai raja apabila berada di atas jalan raya.

Sudah menjadi pemanda­ngan biasa di atas jaringan le­buh raya kita, bas-bas ekspres kita adalah juara berdasarkan kelajuan dan cara pemanduannya.

Pemandunya lagak pakar ilmu fizik apabila berada di belakang stereng. Mereka seolah-olah seorang pilot yang cukup hebat mengetahui kemampuan kenderaannya. Harus diingat, bas sekarang bukan macam bas era 70-an.

Enjin bas zaman ini cukup besar dan berkuasa.

Bas juga bukan lagi setingkat, rata-rata bas ekspres di Malaysia ialah dua tingkat, mewah dan ala pesawat terbang.

Oleh kerana itu juga pemandunya memandu bagaikan pesawat terbang. Dalam insiden nahas di Muar menjelang Krismas baru-baru ini, bas ekspres yang nahas itu diberi tajuk besar oleh sebuah akhbar sebagai “bas terbang!”

Malang sekali, pemandu bas kita memandu sebuah bas ala pesawat terbang tetapi tidak setaraf juruterbang yang cukup profesional dengan latihan yang terancang.

Mari kita soal apa tahap pemandu bas kita? Apakah kelayakan, dan tahap pemikiran mereka? Apakah tahap psikologi, kesihatan dan kecergasan mereka?

Adakah syarikat-syarikat bas ekspres sekadar tangkap muat untuk mencari pemandu, di musim-musim puncak perayaan?

Apakah pemandu bas ekspres yang membawa pelbagai nyawa penumpangnya diwajibkan menjalani pemeriksaan setiap tahun atau setiap enam bulan di JPJ?

Apa pula tahap pendidikan mereka dan IQ mereka?

Dalam kes terbaharu, kononnya pemandu itu hanya berehat tiga jam selepas satu perjalanan jauh, sebelum memulakan perjalanan selepas tengah malam?

Benarkah tiada pemandu ke­dua dalam bas malang itu?

Seorang rakan wartawan, Datuk Seri Azman Ujang menulis selepas insiden bas ekspres di Muar itu, dengan mempersoalkan mengapa bas ekspres itu bergerak pada waktu tersebut. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4 pagi, mengorbankan 14 nyawa.

Azman mengulas, pada waktu itu sistem semula jadi manusia sedang tidur.

Banyak lagi senarai soalan yang boleh kita tanya. Jawapannya kita serahkan kepada JPJ untuk menjawabnya.

Satu lagi pertanyaan yang turut menimbulkan kemusykilan saya ialah:

Jika semua keluarga penumpang yang terbabit dalam nahas itu menyaman syarikat itu, atau menuntut gantirugi setaraf nahas pesawat terbang, saya yakin syarikat itu akan gulung tikar jatuh bankrap.

Tetapi banyak juga syarikat bas ekspres yang terbabit dalam nahas dahsyat dilihat masih meneruskan operasi mereka sehingga kini?

Tidak terfikirkah pihak media untuk menyiasat berapa jumlah pampasan gantirugi yang dibayar oleh syarikat-syarikat bas itu, setiap kali berlaku nahas fatal?

Adakah nyawa penumpang bas dan penumpang pesawat terbang berbeza apabila kemalangan berlaku? Kita mahu tahu mengenai perkara ini.

Apakah sudah sampai ma­sanya syarikat insurans me­ngenakan premium yang tinggi kepada syarikat-syarikat bas yang berisiko tinggi ini, supaya ganti rugi kepada kehilangan nyawa penumpang dapat dibayar dengan tinggi?

Banyak juga kemalangan yang berlaku membabitkan pemandu-pemandu lori yang cuai, yang turut membabitkan kenderaan yang lain.

Itu tidak termasuk pemandu-pemandu kereta yang terkorban di atas jalan raya. Persoalannya adakah kualiti pemandu kita ini terlalu rendah atau kualiti kenderaan kita terlalu baik atau sesuatu yang tidak betul de­ngan lebuh raya kita?

Terus terang saya kurang arif mengenai hal itu. Kita serahlah kepada pakar kita, yang selama ini saya yakin masih belum dapat mencari jawapannya.

Selepas nahas bas ekspres baru-baru ini, saya ada me­nerima mesej daripada kawan-kawan. Antaranya berbunyi: “Assalamualaikum. Bila kemalangan bas, KP JPJ pun membebel... Tadi saya ke Seremban dari Putrajaya nampak ada bas bawa laju potong kiri kanan biasa saja. Banyak perkara yang Malaysia kena reform. Tk.”

Saya tak mahu komen ba­nyaklah. Semasa saya menulis ini, saya menerima satu viral mengenai gelagat pemandu bas ekspres yang sempat dirakamkan orang ramai -- pemandu bas ekspres sedang menghisap rokok dan menggunakan telefon sambil memandu bas. Hebatkan?

Adakah selepas kejadian kemalangan bas ekspres yang turut mengorbankan pemandunya itu -- pemandu yang berada di atas jalan sekarang sudah insaf?

Itu pun saya tak mahu komen banyak. Sudah banyak perkara ini diperbincangkan. Tiada apa yang berlaku?

Seperti yang saya katakan di atas, adakah itu tahap kualiti pemandu-pemandu bas kita? Itu baru hisap rokok, kita tidak tahu sama ada dia mengambil pil kuda atau apa-apa pil khayal yang lain?

Bayangkan jika juruterbang kita berperangai macam itu ketika di udara. Sudah tentu lesen dia akan dibatalkan, yang sudah tentu perkara ini jarang berlaku kerana itu adalah disiplin yang paling dipegang oleh pilot seluruh dunia.

Sebulan lalu, saya kebetulan berada di negara Jerman, sebuah negara yang menghasilkan kereta-kereta berprestasi tinggi, tapi dengan jumlah kemalangan yang rendah.

Saya bertanya seorang rakan rakyat Jerman ketika dia memandu di lebuh raya autobahn di Franfkurt, mengapa lebuh rayanya tiada had laju, dia menjawab: “Penetapan had laju bukan persoalannya, yang penting ialah cara kita memandu dan guna akal.”

Hmmm, guna akal? Itulah kata-katanya. Ada antara autobahn di Jerman kini sudah ada had laju 130km/j dan ada yang bebas had.

Akhir sekali, selepas 27 tahun menjadi pemberita di bumi bertuah ini, adakah saya akan me­nyaksikan lagi perkara-perkara yang tidak diingini itu?

Untuk makluman umum, purata kematian atas jalan raya di negara kita ialah sekitar 160 orang setiap hari, dan mening­kat tinggi semasa musim pe­rayaan.

Saya faham maksud takdir, erti kemalangan dan sebagai­nya, tetapi dalam tempoh tiga tahun ke 2020 Malaysia ke sebuah negara maju, adakah kita masih mahu berpegang kepada takdir?

Saya tidak pasti...hmmmm (mengeluh panjang).

Semoga Malaysia pada kedatangan 2017 ini akan terus aman, makmur; dan rakyatnya -- tak kiralah siapa mereka dan kedudukan -- menjadi lebih matang!